Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Umum » Kekurangan Berat Badan (Underweight)

Kekurangan Berat Badan (Underweight)

Baru-baru ini, saya dikunjungi oleh seorang ibu bersama anak gadisnya yang berumur 15 tahun. Anaknya mengalami sakit perut dan ceret beret. Mulanya saya menjangkakan ia adalah masalah keracunan makanan atau acute gastroenteritis yang disebabkan oleh virus. Namun apabila saya diberitahu bahawa anaknya minum teh herba pelangsing, saya terdiam.

Saya terkejut dengan tindakan nekad gadis itu. Saya cuba menyelami pemikiran gadis itu secara serius. Seorang gadis muda sanggup minum tea herba pelangsing kerana ‘desakan rakan sebaya’ yang meletakkan kecantikan seorang wanita pada tahap kerampingan pinggangnya.

Tidak lama selepas itu datang pula seorang gadis berumur awal 20an memberitahu bahawa dia sangat kurus. Berat badannya 55 kg dan ketinggiannnya 160 cm. Menurutnya dia telah cuba menambahkan berat badannya namun tidak berjaya.

Setelah dikira, didapati BMI gadis ini mencecah 21.5 lalu saya terus memberitahunya bahawa berat badannya sebenarnya normal. Tiada apa yang perlu diperbetulkan.

Dalam kes berasingan, saya pernah ditanya oleh seorang ibu yang risau tentang berat badannya. Pada pendapat saya jika BMI seseorang itu normal, atau mungkin rendah sedikit, tetapi sihat dan telah dikurniakan anak, maka tiada apa yang perlu dirisaukan. Buanglah pemikiran negatif tentang diri ‘terlalu kurus’ kerana ramai wanita yang ‘sanggup mati’ untuk menjadi kurus.

Beberapa tahun lepasdi Singapura, seorang artis wanita mengalami kerosakan hati dan terpaksa menjalani pemindahan hati akibat menelan dos ubat pelangsing berlebihan. Alasannya kerana mahu cepat menjadi kurus.

 

Underweight dan BMI

Istilah ‘kurang berat badan’ (underweight) sebenarnya merujuk kepada seseorang yang mempunyai berat badan yang kurang dari sepatutnya berdasarkan umur, berat dan ketinggiannnya. Ianya selalunya dikira dengan menggunakan formula body mass index (BMI).

18.5 atau kurang Kurang berat
18.5 – 24.99 Normal
25 – 29.99 Overweight
30 – 34.99 Obesiti (Kelas 1)
35 – 39.99 Obesiti (Kelas 2)
40 atau lebih Morbid Obesiti

Seperti yang dapat kita lihat dalam jadual di atas, anda dikira sebagai kurang berat badan jika BMI anda kurang dari 18.5. Individu yang mengalami berat badan ini bolehjadi sihat atau mungkin berpenyakit. Jika berat badannya berkurangan secara berterusan, dikhuatiri dia akan mengalami kekurangan zat makanan (malnourished). Oleh itu kekurangan berat badan dan kekurangan zat makanan haruslah dibezakan.

 

Punca

Kebanyakan faktor utama seseorang mengalami kekurangan berat badan adalah disebabkan kurang pengambilan makanan. Kekurangan makanan ini adakalanya terlalu subjektif. Ada sebilangan wanita yang mengaku makan banyak, padahal dia hanya makan satu pinggan dan tidak habis pula. Dia merasakan bahawa dia telah makan dengan banyak, namun malangnya tenaga kalori yang diperolehi tidak mencukupi.

Selain itu kekurangan berat badan juga boleh disebabkan oleh masalah penyakit yang melibatkan mental atau fizikal.

Antaranya Anorexia nervosa, Bulimia nervosa, kanser, Tuberculosis, Hyperthyroidism, Type 1 Diabetes, kemurungan (depressive disorders), penyalahgunaan dadah, Inflammatory Bowel Disease (Penyakit Radang Usus), masalah penghadaman, kegiatan sukan yang keterlaluan (endurance sports), HIV/AIDS , dan remaja (ketinggian bertambah, tetapi berat badan tidak).

Keturunan juga memainkan peranan dalam menentukan berat badan. Bagi individu yang mempunyai baka genetik di mana kadar metabolismanya tinggi, badannya tidak menyimpan banyak kalori sebagai lemak, tetapi disimpan untuk dibakar sebagai tenaga.

Masalah pemakanan seperti anorexia atau bulimia, adalah masalah yang berkaitan dengan psychological, kerana seseorang merasakan beliau terlalu gemuk, pada hal sebaliknya. Pesakit ini akan mengurangkan pemakanannya.

Para atlit professional yang menghabiskan masa berjam-jam untuk berlatih juga membakar kebanyakan kalori, sekaligus boleh menyebabkannya kekurangan berat badan.

Selain itu, mungkin terdapat beberapa parasit yang tinggal dalam dalam usus manusia seperti cacing tapeworm. Parasit ini selalunya memakan nutrisi yang dimakan oleh manusia.  

Inflammatory Bowel Disease atau penyakit radang usus, akan menyebabkan usus menjadi bengkak dan radang. Semua makanan yang dimakan tidak dapat diproses dengan baik, menyebabkan seseorang itu akan menghadapi ceret beret dan sakit perut. Seterusnya gejala ini akan menyebabkan pesakit ini kehilangan banyak berat badan.

 

Masalah

Kebanyakan masalah kekurangan berat badan selalunya disebabkan oleh penyakit yang dialaminya. Oleh itu bagi mereka yang tidak mengetahui punca kekurangan berat badan secara jelas, haruslah berjumpa doktor. Pemeriksaan kesihatan haruslah dilakukan.

Kekurangan berat badan ini selalunya menyebabkan kekurangan stamina dan lemah daya tahan imuniti. Kedua-dua ini akan menyebabkan seseorang itu mudah dijangkiti kuman.

Ini kerana masalah kekurangan berat badan yang keterlaluan amat berkait rapat dengan masalah kekurangan nutrisi (micronutrient deficiencies). Mereka yang mengalami kekurangan nutrisi selalunya mengambil kadar kalori yang rendah, sekaligus mengehadkan penyerapan nutrisi penting seperti amino acid dan micronutrients yang lain seperti vitamin dan mineral. Ini menyebabkan kekuatan imuniti untuk melawan penyakit menjadi lemah.

Di kalangan wanita, kekurangan berat yang ketara boleh menyebabkan ketiadaan kitaran haids (amenorrhea) dan mungkin mengalami masalah jika wanita itu hamil. Kekurangan berat badan juga boleh menyebabkan anemia (kekurangan sel darah merah), keguguran rambut, risiko kereputan tulang (osteoporosis) walaupun wanita ini masih muda.

Rawatan

Jika anda mengalami kekurangan berat badan yang ketara dan menghidap beberapa penyakit, maka hendaklah anda cuba sedaya upaya untuk mendapatkan rawatan dan menambahkan berat badan anda.

Setelah sembuh dan pulih dari penyakit, anda perlu menambahkan jumlah tenaga kalori yang diambil setiap hari. Selain itu anda digalakkan menjalani latihan di gym untuk meningkatkan jumlah berat otot anda. 

Cara terbaik untuk menambah berat badan ialah dengan menambah pengambilan karbohidrate kompleks terutamanya makanan berbentuk whole grain, legume (kekacang) dan buah-buahan.

 

Untuk menambahkan berat badan, pengambilan lebih kalori melalui pemakanan amat perlu. Riadah yang berterusan juga penting untuk mengurangkan pengumpulan lemak berlebihan.

Semasa menentukan apa yang harus dimakan, anda perlulah menitikberatkan bagaimana untuk mendapatkan nutrisi, bukan pada ’kilogram’ saja.

Apa yang perlu ialah penambahan berat secara perlahan dan berterusan. Ini akan membantu kita memastikan berat yang ditambah adalah berat yang merangkumi otot dan lemak, bukannya setakat lemak saja. Penambahan berat tidak seharusnya melebihi ½ kg setiap minggu.

Cara menambahkan berat badan yang sistematik akan ditulis jika ada kelapangan masa dan kesihatan, insya Allah.

Wa allahu a’lam.

 

 

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (251010)

http://www.facebook.com/drzubaidi

http://drzubaidi.com/blog/

2 comments

  1. adakah pengambilan weight gain di galakan?saya mempunyai ketinggian 168cm dan berat badan cuma 40kg.saya tidak mempunyai masalah kesihatan,tetapi tidak pernah bertemu doktor untuk membuat rawatan.pelbagai jenis ubat-ubatan terdapat di pasaran sekarang,saya ingin mencuba tetapi takut kesan sampingan.saya juga mengamalkan pengambilan vitamin b-complex,tetapi masih mempunyai masalah kurang selera makan.

  2. SITI SHAHIZA BINTI SHAARI .

    salam..saya brat bdan saya brmasalah..tinggi saya 153 dan berat saya hanye 35..umur saya skrg 23 thun..saya dh cuba plbagai produk tp ttap x mjadi…weigh gain, gain 8,vtamin…smua dh…bloeh syorkan apa yg ptut sy lakukan untuk mnambahkan brat bdan sy…saya makn byk…brselera…kdg2 mlu untuk bdepan dgn org rmai krana ditgur tlalu krus…hrap dapat bntu…terima kasih..

Leave a Reply

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: