Kehamilan Semula Selepas Pembedahan Caesarean

Kini di Malaysia ramai ibu yang telah melahirkan anak secara pembedahan Caesarean, sama ada dilakukan secara elektif atau kecemasan. Pembedahan Caserean secara elektif bermakna pembedahan yang dijalankan untuk mengeluarkan bayi dalam rahem pada tarikh yang dirancang, sementara pembedahan secara kecemasan ialah pembedahan yang dilakukan serta-merta kerana bayi dalam rahem atau ibu yang hamil berada dalam keadaan yang bahaya.

Dalam kedua-dua pembedahan ini, banyak darah yang hilang semasa pembedahan. Dianggarkan seorang wanita yang menjalankan pembedahan Ceseran akan kehilangan antara 200ml hingga 1500 ml, bergantung kepada kesukaran ketika pembedahan. Jika ia dilakukan secara kecemasan, sudah tentu lebih banyak darah yang hilang berbanding dengan pembedahan Ceserean secara elektif.

(rujuk: “Estimation of blood loss during Caesarean Section: an audit” Fauzia A. Khan, Mueenullah Khan, Asif Ali, Ursula Chohan; Department of Anaesthesia, Aga Khan University, Karachi)  Vol. 56, No. 12, December 2006 Journal Pakistan Medical Association.

Selain itu, ketika pembedahan Caserean dijalankan, banyak otot pada abdomen dan saluran darah yang terpaksa dipotong untuk memberikan ruang agar bayi dapat dikeluarkan. Dalam pembedahan itu, doktor akan memotong kulit, kemudian otot-otot pada abdomen dan akhir sekali ialah memotong otot rahem bagi mengeluarkan bayi.

Oleh kerana ia melibatkan kecederaan pada otot-otot besar, proses penyembuhan sudah tentu mengambil masa yang agak lama. Ia bergantung kepada individu. Secara keseluruhannya, penyembuhan otot-otot ini sebanyak 50% akan berlaku selepas tiga bulan dan otot mempunyai kekuatan sebanyak 80% apabila mencapai setahun.

Walaupun sudah sembuh, harus diingat bahawa kekuatan otot yang telah ‘cedera’ akibat pembedahan tidak akan kembali seperti keadaan sebelum pembedahan.

Bagi wanita muda dan sihat, tentu akan mengalami penyembuhan yang agak cepat. Mungkin selepas setahun, luka dan darah wanita itu akan pun pulih.

Tetapi bagi wanita yang berusia melebihi 35 tahun atau mempunyai penyakit-penyakit kronik seperti diabetes mellitus sudah tentu ia akan mengambil lebih banyak masa.

Jadi persoalannya bilakah masa yang sesuai bagi seorang wanita untuk hamil semula selepas menjalani pembedahan Ceserean?

Ramai pakar perbidanan mencadangkan agar wanita yang baru melahirkan anak secara pembedahan Caserean perlu menunggu antara 18-24 bulan untuk hamil semula, bagi membolehkan proses penyembuhan pada rahem dan proses penggantian semula darah yang hilang semasa pembedahan ini.

Semakin lama masa untuk menjarakkan kehamilan seterusnya, semakin baik untuk proses penyembuhan. Ini kerana proses kehamilan adalah satu proses yang agak mencabar dari segi fizikal dan mental seorang wanita.

Menjarakkan anak ini juga memberikan masa untuk para ibu berehat kerana membesarkan bayi yang berumur kurang dari setahun bukanlah suatu yang mudah. Bayangkan seorang wanita yang hamil dan terpaksa menjaga anak yang berumur kurang setahun pula. Hanya Allah yang dapat membantu wanita-wanita ini menjalani cabaran dengan sabar.

Menjarakkan anak juga dapat memberikan faedah kepada bayi dan anak yang sedang dibesarkan, terutama jika bayi itu mengalami masalah kesihatan. Banyak perhatian dan masa yang perlu diberikan kepada bayi seperti ini. Jadi kebanyakan doktor berpendapat bahawa mempunyai anak seorang lagi bukanlah langkah yang baik.

Dari segi perubatan pula, jika wanita tidak diberikan masa rehat yang secukupnya untuk penyembuhan luka, terdapat risiko (walau pun rendah)  untuk rahem menjadi koyak ketika mereka menjalani proses kelahiran.

Ini kerana dalam proses kelahiran yang normal, iaitu kelahiran melalui faraj (vagina), otot rahem akan mengecut kuat untuk mengeluarkan bayi. Ketika ini jika luka pembedahan Ceserean yang lalu belum sembuh sepenuhnya, otot rahem akan koyak dan menyebabkan musibah yang lebih besar.

Namun begitu, ia boleh diatasi jika wanita itu menjalani pembedahan Ceserean untuk kehamilan kali ini bagi mengeluarkan bayi. Dengan cara ini otot rahem tidak perlu mengecut ketika proses kelahiran.

Selain itu, wanita yang tidak cukup rehat bagi kelahiran seterusnya mempunyai risiko untuk mengalami keadaan yang dinamakan placenta previa di mana uri pada rahem berada berdekatan dengan pembukaan rahem, yang menyebabkan pendarahan yang banyak.

Walaubagaimanapun terdapat beberapa kes yang perlu dipertimbangkan. Antaranya ialah wanita itu sudah berusia lewat 30an. Jika wanita itu menangguhkan kehamilan seterusnya, dibimbangi akan berlaku masalah ketidaksuburan kerana kesuburan wanita berkait dengan umur. Semakin meningkat usia seorang wanita, risiko untuk mengalami ketidaksuburan adalah semakin tinggi.

Dalam hal ini, wanita itu boleh berbincang dengan doktor untuk menilai keadaannya untuk hamil semula selepas sembilan bulan atau selepas setahun.

Begitu juga jika seorang wanita yang muda, secara tanpa diduga telah hamil semula sebelum enam bulan. Kandungan itu tidak perlu digugurkan kecuali ada faktor-faktor lain yang boleh mengancam nyawa ibu yang hamil. Jadi jangan panik, tetapi berbincanglah dengan doktor yang merawat.

Di Malaysia adakalanya doktor dan jururawat bersikap agak sinikal terhadap wanita yang hamil sebelum mencapai masa dua tahun dari tarikh kelahiran lepas. Namun percayalah, ramai yang hamil semula sebelum mencapai masa enam bulan, dan melahirkan bayi yang sihat dan selamat.

Oleh itu berbincang dengan doktor jika mahu kehamilan semula dengan cepat. Ini kerana pihak doktor akan lebih memberikan tumpuan pada kehamilan seperti ini. Walaupun kehamilan sebegini dianggap sebagai kehamilan yang berisiko tinggi, namun banyaklah berdoa semoga ia tidak menghadapi masalah.

Saya berpendapat jarak kehamilan yang sesuai bagi wanita yang telah menjalankan pembedahan Ceserean pada kelahiran yang lepas ialah di antara 18-24 bulan . Bagi wanita yang hamil kurang dari setahun, jangan risau. Berbincanglah dengan doktor, lakukan pemeriksaan antenatal dengan lebih kerap dan banyaklah berdoa kepada Allah.

Wallahu a’lam.

 

Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (290512)

 

Rujukan:

1.Naef RW, Washburne JF, Martin RW, Magann EF, Scanlon PH Jr, Mossison  JC. Hemorrahge associated with cesarean delivery: when is transfusion needed? J Perinatol 1995; 15: 32-5.

2. Imberti R, Preseglio I, Trotta V, Filisetti P, Mapelli A.. Blood transfusion during cesarean section. A 12 years retrospective analysis. Acta Anaesthesiol Belg 1990; 41: 139- 44.

3. Maxwell CN. Blood transfusion and caesarean section. Aust NZJ. Obstet Gynaecol 1989; 29: 121- 3.

4. Glat PM, Longaker MT. Wound healing. In: Aston SJ, Beasley RW, Thorne CHM, eds. Grabb and Smith’s Plastic Surgery. 1997:chap 1.

8 comments

  1. aslmkm Dr.Jika boleh bertanya dan meminta pandangan Dr.
    Saya berumor 31thn,telah melahirkan anak pada 6july2011 lepas dan kini anak dah berumur 10bulan++,melalui Ceaser due to serviks tidak lembut dan maseh ketat pada due date dan juga saya tiada turun tanda untuk melahirkan. kerana tali pusat baby ada di leher jadi dr.cadang supaya saya di Ceaser.
    Saya menyusu baby secara Eksklusif selama ini dan oleh demikian saya lansung belum periodpun. Saya ingin mengandung semula kerana faktor umor dan ingin anak yang dekat beza umo la. Baru baru ini saya telah berjumpa dengan Dr. yang bedah saya tu,dia kata boleh dah start mengandung kembali. dan pandangan dia mengenai period saya,ialah memang normal tiada haid kerana menuyusu baby..selagi menyusu haid memang tidak ada. Dr.cadangkan saya berhanti menyusu jika ingin mengandung untuk haid saya kembali.ermm….adakah Dr.bersetuju dengan pendapat dr.tersebut?Adakahkah saya tidak berovulasi (mengeluar telur) jika tiada haid?…bagaimana menentukan waktu perlu nersama suami jika tiada haid?…berat badan saya juga telah kembali normal pada sebelum mengandung..saya dah memastikan badan saya bersedia untuk mengandung cuma saya tiada haid la Dr. Bagaimana nasihat Dr. ya? Harap boleh membantu?

    Rafidah, Miri Swk

  2. Assalamualaikum doktor…

    saya nak berkongsi pengalaman sy mengandung selepas bersalin secara emergency caserean tahun lepas ketika anak pertama berumur 13 bulan.. semasa mengandung saya tiada sebarang masalah dan komplikasi.. Alhamdulliah saya selamat bersalin anak ke-2 secara normal namun selepas beberapa saat proses jahitan selesai, saya mengalami pendarahan yang banyak. Time tu sakitnya tuhan je yang tahu…sangat sakit lebih dari sakit nak bersalin.. saya dikejarkan ke OT untuk dibuka balik jahitan dan mendapat rawatan pendarahan tersebut yang istilahnya ditulis dlm rekod saya sebagai ‘HEMATOMA’. Hampir 2 jam saya di bius separuh badan dan dirawat.

    Selesai pembedahan tersebut, tekanan darah saya pula rendah dan terpaksa di pantau lagi setiap 1-2 jam di bilik bersalin. Rasanya pengalaman selepas bersalin normal ni paling memeritkan buat saya, walaupun dapat bersalin normal dengan mudah. Dalam tempoh berpantang juga saya mengambil masa yang agak lama untuk recover sepenuhnya, seksanya lebih dari bersalin secara pembedahan anak pertama.

    Soalan saya, apa pendapat doktor tentang komplikasi yang saya hadapi tersebut, adakah disebabkan saya mengandung terlalu awal selepas pembedahan anak pertama iaitu ketika berumur 13 bulan saya mengandungkan anak ke-2 namun dapat bersalin secara normal?

    Soalan ke-dua, sekiranya saya mengandungkan anak ke-3, adakah terdapat risiko yang sama sekiranya saya bersalin secara normal juga? saya agak fobis untuk bersalin normal lagi selepas pengalam anak ke-2 ini..

    Jawapan dari doktor sangat saya hargai kerana selepas bersalin doktor yang merawat saya tidak menjelaskan dengan terperinci kompplikasi yang saya alami.. Wassalam..

  3. assalamualaikum doktor…

    saya berumur 29 tahun…saya melalui prosedur caeserean sewaktu melahirkan anak pertama dahulu..kini anak saya berusia 1 tahun 5 bulan..dan kini saya hamil lagi 8minggu..pada pandangan doktor,adakah jarak ini selamat?alhamdulillah secara luaran,bekas pembedahan telah sembuh dan tidak pernah terbuka atau bernanah seperti yang di alami sesetengah ibu..mohon pandangna doktor..terima kasih

    wassalam

  4. sy ingin bertanya pd doktor, adakah masalah placenta preavia akan berulang utk kandungan seterusnya jika pernah mengalaminya sebelum ini? (pacentapreavia type 3)..

  5. Doktor,apakah punca jika tidak mengandung lagi selepas pembedahan anak yg pertama.skrg anak sulong saya hampir 6thn.

  6. Salam Dr, Pada tahun lepas saya telah bersalin secara caesarean kerana tekanan darah tinggi naik secara tiba-tiba. saya juga dipaksa bersalin kerana kandungan saya hanya 50%/50% dan risau jikalau berlaku apa2 terhadap kandungan saya. tapi Alhamdulillah saya telah selamat melahirkan bayi lelaki seberat 1.0kg dan bayi saya kini sihat dan cerdik. Saya ingin minta pendapat Dr. apakah saya akan mengalami komplikasi yang sama apabila saya bersalin ke-2 kerana saya kini telah Hamil 2 bulan. tp saya belum berjumpa doktor lagi kerana saya tidak mendapat kelulusan cuti. Apakah saya dibenarkan hamil lagi kerana saya ada pengalaman darah tinggi. Saya betul2 takut dengan kehamilan ke-2 saya ini. Saya takut akan mengalami perkara yang sama.
    Mohon pandangan doktor.

  7. salam.doktor sy ingin bertanye mcm sy sudah hampir 9 thn blm d kurniakan zuriat lg.sy sering mengalami senggugut pd setiap bln.apabila period darah beku x keluar hanye darah yg cair saje.blh kah diktor membantu sy?

  8. saya bersalin anak yang ke2 bulan 9,sesuaikah saya hamil selepas 6bulan bersalin secara caseran,anak saya meninggal sehari selepas bersalin

Leave a Reply to RafidahCancel reply

error: Content is protected !!