Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Bina Keluarga » Kegemukan Suami dan Kesuburannya
Kegemukan Suami dan Kesuburannya

Kegemukan Suami dan Kesuburannya

Saya masih teringat peristiwa seorang kanak-kanak yang agak montel, menjerit-jerit ketika dikhatankan. Saya dan pembantu bersusah payah dalam usaha melakukannya. Apa tidaknya, tidak ubah seperti mahu menyembelih seekor kambing.

Pembantu saya memegang tangan. Bapanya memegang peha agar punggungnya tetap di atas katil, sementara seorang rakan bapanya menekan dada budak itu agar tidak bergerak.

Lima orang sedang ‘bergelut’ di bilik yang kecil, menyebabkan kesemua kami berpeluh. Lolongan dan teriakan budak tadi akhirnya berakhir setelah saya menyempurnakan tugas itu dengan kepayahan dan mengambil masa sejam.

Bapanya berjabat tangan dan mengucapkan terima kasih.

“Sebelum ini dah lima kali saya ke klinik, semua doktor menolaknya. Terima kasihlah doktor kerana mengkhatankan anak saya. Lepas tanggungjawab saya sekarang…”

Saya juga menarik nafas lega. Kemudian saya menelefon seorang rakan doktor menceritakan peristiwa itu. Dia ketawa terbahak-bahak.

Biar gemuk selepas kahwin, jangan gemuk sebelum kahwin. Kote kecik, harap badan je besar, hati kecil macam semut

Saya terdiam dan memikirkan kata-katanya, sehingga saya membaca artikel-artikel bertajuk “Men’s Weight and Sperm Count Connected”, “Fat men have lower sperm count”, dan “Male Infertility and Obesity” di beberapa jurnal perubatan.

Adakah ini bermakna ketakutan kanak-kanak lelaki yang gemuk disebabkan oleh tahap hormon lelaki yang kurang? Apakah kegemukan ini (rendah tahap hormone lelaki) berkait rapat dengan masalah kesuburan dan bilangan sperma yang rendah?

Banyak perdebatan mengenai topik yang sama. Isu yang sentiasa dibahaskan ialah ‘adakah kanak-kanak yang gemuk merupakan kanak-kanak sihat atau lemah’.

Apa yang dibimbangi, kanak-kanak yang gemuk selalunya akan meneruskan tabiat pemakanan yang kurang sihat dan mereka kekal gemuk ketika dewasa.

Saya ada membincangkan tentang masalah kegemukan di kalangan kanak-kanak di http://drzubaidi.com/blog/?p=1686.

Kita juga sedia tahu bahawa Islam amat menggalakkan lelaki menjadi sihat dan kuat agar dunia dapat dimakmurkan dan Islam dapat dikembangkan melalui usaha yang bersungguh-sungguh dan berterusan.

Dalam dunia perubatan, kegemukan pada lelaki hampir sinonim dengan lelaki yang lemah dan mempunyai pelbagai penyakit.

Firman Allah swt: “Dan hendaklah kamu bersedia untuk berjihad semampu mungkin dengan menghasilkan kekuatan…” (60 : al-Anfal).

Al-Quran juga memuji tubuh badan yang gagah dan memanggapnya sebagai suatu kelebihan.

Firman Allah swt: “Dan Allah telah menambahkan kekuatan ilmu dan tubuh badan pada diri talut.” (247 : al-Baqarah)

Orang yang kuat tubuh badannya lebih disukai oleh Allah.

Nabi saw bersabda, maksudnya: “Orang beriman yang kuat lebih baik dan lebih disukai oleh Allah dari orang beriman yang lemah. Kedua-duanya ada kebaikan.” (Muslim –sahih).

Sebelum ini ramai yang menganggap kerandut zakar (scrotum) yang terdedah pada haba yang panas boleh menyebabkan ketidaksuburan. Banyak petua yang tidak menggalakkan lelaki untuk berendam dalam kolam air panas atau memakai seluar dalam yang ketat.

“Doktor benarkah kita lelaki tidak boleh berendam dalam kolam panas lama? Saya dengar boleh menyebabkan telur kita separuh masak”

Emm.. Adakah ini suatu lawak atau dia betul-betul tidak faham.

“Ya, suhu yang panas pada kerandut zakar menyebabkan banyak sperma-sperma yang sihat terkorban kerana kepanasan. Tapi tidaklah sampai telur awak menjadi separuh masak..”

Professor subjek anatomi saya pernah berkata, “Sebab itu tuhan mencipta telur zakar (dalam kerandut) tergantung di luar tubuh, agar suhu yang panas dari tubuh tidak membunuh sperma-sperma anda”. Subhanallah..sempurna sungguh ciptaan Allah.

Pelbagai faktor yang menyebabkan seorang lelaki menghadapi masalah kesuburan. Masalah kesuburan yang dimaksudkan adalah samada sperma lelaki itu kurang bilangannya atau kualiti sperma yang kurang baik.

Sebelum saya membincangkan kesan kegemukan pada ketidaksuburan, World Health Organisation (WHO) telah memberikan definasi ‘sperma normal’ sebagai :

  1. Kepekatan sperma sekurang-kurangnya 20 juta dlam setiap ml, dan mempunyai isipadu sekurang-kurangnya 2 ml.
  2. Jumlah sperma keseluruhannya sekurang-kurangnya 40 juta.
  3. Sekurang-kurangnya 75% sperma hidup.
  4. Sekurang-kurangnya 30% sperma mempunyai saiz dan bentuk.
  5. Sekurang-kurangnya 25% sperma boleh berenang ke hadapan dengan laju.
  6. Sekurang-kurangnya 50% sperma berenang ke hadapan walaupun dengan perlahan

 

 

Rujukan :

1. Menkveld R, Wong WY, Lombard CJ, Wetzels AM, Thomas CM, Merkus HM, Steegers-Theunissen RP. Semen parameters, including WHO and strict criteria morphology, in a fertile and subfertile population: an effort towards standardization of in-vivo thresholds. Hum Reprod 2001;16:1165 –1171)

2. Human Reproduction Update Advance Access published December 4, 2009. World Health Organization reference values for human Semen characteristics. Trevor G. Cooper, Elizabeth Noonan, Sigrid von Eckardstein, Jacques Auger, H.W. Gordon Baker, Hermann M. Behre, Trine B. Haugen, Thinus Kruger, Christina Wang, Michael T. Mbizvo, and Kirsten M. Vogelsong.

Satu kajian yang dilakukan oleh pakar-pakar dari Sweden terhadap sperma yang diberikan oleh 2,000 orang lelaki dan dibandingkan dengan berat badan mereka. Kajian ini dibentangkan di  European Society of Human Reproduction and Embryology (ESHRE) di Stockholm2011.

Mereka mendapati lelaki yang mempunyai berat badan yang lebih (BMI>25-30) mempunyai bilangan sperma 10% lebih rendah berbanding dengan lelaki yang mempunyai berat badan yang normal (normal BMI di antara 18.5 hingga 24.9). Sementara lelaki yang obese (BMI>30 ) mempunyai bilangan sperma 20% lebih rendah dari lelaki yang normal.

Perkara ini dijelaskan oleh Prof Dr Paul Cohen-Bacrie, pengarah Eylau-Unilabs di Paris, sebagai “berat yang berlebihan akibat kegemukan menyebabkan gangguan keseimbangan hormon lelaki, yang seterusnya menyebabkan bilangan, pergerakan dan kualiti sperma menjadi tidak normal”.

Kualiti dan bilangan sperma yang tidak normal akan menyebabkan kehamilan tidak menjadi, sama ada tidak berlakunya persenyawaan sama sekali atau kehamilan yang sebentar diikuti dengan keguguran.

Sebelum ini ada kajian yang hampir sama menunjukkan peningkatan berat badan sebanyak 20lb (kira-kira 10kg) akan menjejaskan kesuburan sebanyak 10%.

Kesimpulannya, para saintis berpendapat bahawa kegemukan menyebabkan gangguan hormone dan seterusnya mengganggu pengeluaran sperma yang sihat dan normal. Selain itu kegemukan boleh menyebabkan suhu yang tinggi pada kerandut zakar dan mengurangkan libido (syahwat terhadap isteri).

Jadi cara terbaik bagi lelaki yang mempunyai masalah sperma yang kurang berkualiti dan bilangannya kurang, haruslah berusaha mengurangkan berat badannya dengan menjaga pemakanan dan melakukan senaman yang berterusan. Banyaklah bersabar dan solat. Semoga usaha yang dilakukan dan doa yang dipanjatkan akan dimakbulkan..

Wallahu a’lam.

 

Rujukan lain :

  1. ABC of subfertility: Extent of the problem : Alison Taylor BMJ 2003;327:434  (Published 21 August 2003)
  2. Management of infertility. D J Cahill, P G Wardle BMJ 2002;325:28  (Published 6 July 2002)
  3. Carlson E, Giwercman A, Keiding N et al. Evidence for decreasing quality of semen during the past 50 years. BMJ 1992; 305: 609-13.

 

Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (100711)

4 comments

  1. salam .umur saya 36 thn .berkahwin 5 tahun . belum ada anak.mengalami endomtriosis peringkat 3.sejak setahun lalu saya mengalami tempoh period yg panjang sehingga 25 hari. hari pertama hingga ke 3 sangat heavy.hari ke 4 pakai pantyliner hinggalah hari ke 25. keadaan ini terjadi selepas saya menjalani proses iui. tetapi proses itu gagal.sekarang saya musykil adakah period yg panjang ini kesan dari proses iui dulu. saya amat buntu & tertekan .tq

  2. Salam Dr,

    Saya nak bertanya adakah demam boleh menjejas kualiti sperma?

Leave a Reply

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: