Kecederaan: Tuam dengan Air Panas atau Pek Ais?

Selalu saja ada kekeliruan di kalangan para pelatih First Aid ketika saya mengajar mereka menangani kecederaan. Mungkin pengetahuan mereka yang lama tidak digilap, hanya mengingati pengetahuan ketika menyertai Persatuan Bulan Sabit Merah atau St John Ambulance dua puluh tahun yang lalu.

Saya tidak menyalahkan mereka kerana mereka hanya sesekali berjumpa dengan kemalangan dan kecederaan. Saya pula setiap hari dihantar pesakit yang cedera kemalangan ketika beriadah/sukan atau kemalangan jalan raya.

”Doktor, bila harus kita gunakan pek ais dan bila pula kita boleh tuam dengan air panas? ”

Itulah soalan yang sering ditanya dan saya telah bersiap dengan jawaban.

Membezakan kecederaan Acute dan Chronic

Pesakit yang mengalami kecederaan itu selalu mengadu kesakitan pada sendi atau bahagian badan mereka. Dengan bertanya kepada mereka samada ianya kecederaan baru atau kecederaan lama, ia sebenarnya dapat membantu saya merawat mereka.

Kecederaan acute adalah kecederaan baru yang berlaku secara tiba-tiba. Kesakitannya digambarkan menyucuk-cucuk. Terdapat kesan radang pada kecederaan itu.

Tanda-tanda radang pada  kecederaan acute adalah sakit, bengkak, kulit menjadi merah dan rasa hangat bila disentuh.

Kebanyakannya disebabkan oleh kecederaan hentakan atau trauma seperti terjatuh di padang atau berlanggar sesama pemain bola. Kecederaan yang disebabkan oleh kemalangan jalanraya adalah lebih parah.

Kecederaan chronic pula ialah kecederaan lama yang berulang. Pesakit mungkin pernah mengalami kecederaan dulu, dan ianya berulang semula ketika beriadah atau bersukan atau ketika mengangkat benda berat. Ianya berlaku apabila kecedaraan acute yang tidak dirawat dengan sempurna.

Merawat dengan pek ais

Kecederaan acute seharusnya dirawat dengan menggunakan pek ais. Ianya akan mengurangkan sakit dan lebam. Ais adalah mempunyai ciri vaso-constrictor yag menyebabkan saluran darah menjadi mengecut dan secara tidak langsung mengurang bengkak dan pendarahan dalaman.

Caranya ialah dengan menuamkan ais yang dibalut dengan tuala nipis pada bahagian yang cedera selama 10-15 minit. Kemudian angkat. Biarkan kulit menjadi suhu persekitaran semula.

Kemudian tuam untuk kali kedua dan ketiga dan seterusnya. Boleh tuamkan bahagian yang cedera itu untuk beberapa hari menggunakan ais.

Rawatan menggunakan pek ais juga membantu bagi kecederaan chronic (overuse injuries) jika ianya kecederan baru di tempat yang sama.

Sebagai contoh seorang atlet yang mempunyai masalah kecederaan lutut yang lama. Ketika itu dia berlari dan tercedera semula.

Kecederaan ini mesti dirawat.Namun rawatan menggunakan pek ais tidak membantu kesakitan chronic sebelum terjadi kecederaan.

Rawatan dengan menuam dengan air panas

Rawatan ini dilakukan dengan cara menuamkan menggunakan tuala basah.

Haba biasanya digunakan untuk kecederaan chronic yang tidak bengkak dan tiada radang. Sebagai contoh sakit sendi pada lutut atau bahu, sakit pinggang atau sakit otot perut atau peha.

Atlet yang mempunyai kecederaan chronic bolehlah menggunakan rawatan sebegini sebelum melakukan exercise untuk meningkatkan regangan elasticity pada sendi dengan menggalakkan pengaliran darah.

Jangan gunakan rawatan ini selepas melakukan latihan/exercise. Selepas latihan, rawatan menggunakan ais adalah cara yang terbaik.

Rawatan sebegini juga membantu merehatkan otot yang kejang (muscle spasm). Tuamlah selama 15-20 minit dan gunakan lapik di antara penuam dengan kulit untuk mengelakkan daripada kulit terbakar.

Jika kecederaan itu serius, bawalah berjumpa doktor apabila ianya melebihi 48 jam.

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (270810)

http://www.facebook.com/drzubaidi

http://drzubaidi.com/blog/

  3 comments for “Kecederaan: Tuam dengan Air Panas atau Pek Ais?

  1. Danganum
    28/08/2010 at 9:04 am

    Terima Kasih atas penerangannya. Hari ini dapatlah saya sedikit ilmu yang boleh juga saya berkongsi sama dengan ahli keluarga dan teman2.

    Tahnkiu again! :)

  2. siti z
    17/01/2011 at 4:12 pm

    salam..nak tanya..apakah masalah sebenar pada sendi2 yg mengeluarkan bunyi2?dan mengapakah kdg2 bahu rasa cepat lenguh@letih?
    -TQ-

  3. Osama Laden
    28/02/2012 at 1:25 pm

    subhanallah…. terima kasih doktor…. saya juga sering bertanya perbezaannya tp tidak mendapat jawapan yg tepat…. syukran…. =)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *