KANSER PANGKAL HIDUNG (NPC) DIALAMI DATUK LEE CHONG WEI
Sebentar tadi (jam 12.00 tengahari pada 24 September 2018) radio BERNAMA menelefon saya untuk interviu secara live, berkaitan dengan penyakit NPC (Nasopharyangeal Cancer). Ini berkaitan dengan penyakit yang menimpa Datuk Lee Chong Wei.
Saya tidak membicarakan tentang kes yang dialami beliau, cuma saya berkongsi pengetahuan dan pengalaman berkaitan dengan penyakit ini secara am.
Nasopharyngeal carcinoma (NPC) adalah kanser yang utama berlaku di kawasan nasopharynx (sebutan: nesofaring) yang terletak di belakang hidung di bahagian atas tekak.
NPC banyak berlaku di kalangan penduduk Asia Tenggara. Di Malaysia, NPC adalah kanser yang keempat yang banyak berlaku di kalangan rakyat Malaysia.
Penduduk berbangsa Tionghua di Semenanjung lebih berisiko tetapi di Sabah dan Sarawak, penduduk Melayu dan Bidayuh pula lebih ramai yang mengalami penyakit ini.
Namun begitu, tidak bermakna jika sesorang individu berbangsa Melayu duduk di Semenanjung, mereka terlepas dari penyakit NPC ini. Ini kerana budaya dan genetic masyarakat Malaysia yang semakin recam, membuatkan semua orang berisiko untuk mendapat penyakit yang dulu mereka jarang menghadapinya.
Sebarang penyakit kanser bermula di peringkat genetik, di mana struktur DNA diganggu sehingga mengganggu fungsi normal sel. Proses ini dinamakan mutasi DNA. Dalam kes kanser, sel membiak dan membesar secara luar biasa dan tidak terkawal sehingga mengambil ruang sel-sel yang lain.
Tiada siapa yang dapat menjawab soalan, apakah punca penyakit ini. Ia masih lagi tiada jawaban yang tepat. Tetapi diperhatikan beberapa factor yang menyebabkan seorang pesakit mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding dengan orang lain.
Pertama, pesakit yang pernah mengalami jangkitan Epstein-Barr virus.
Kedua, individu yang merokok lebih mudah mendapat penyakit ini, tetapi tidak bermakna orang yang tidak merokok bebas diri risiko mendapat penyakit ini.
Ketiga, jantina. Lelaki lebih ramai dari wanita mendapat penyakit ini berbanding dengan wanita.
Keempat, orang yang mengambil makanan bergaram (seperti daging salai, ikan masin) lebih mudah mendapat penyakit ini kerana factor memproses makanan begini yang semakin tidak natural.
Kelima, bangsa Tionghua lebih ramai yang menghidap penyakit ini, berbanding dengan bangsa Melayu dan India. Ini tidak bermakna bangsa lain tidak boleh mendapat penyakit ini.
Keenam, selalunya berusia antara 30 dan 50.
Ketujuh, faktor keturunan. Mereka yang mempunyai saudara terdekat seperti adik abang dan kakak yang mengalami penyakit ini lebih mudah mendapat sakit yang sama.
Kelapan, pengambilan alkohol meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit ini.
Bagaimana hendak mencegah penyakit ini?
Nasopharyngeal carcinoma sangat sukar dikesan di peringkat awal. Tanda-tanda awal penyakit NPC kadang kala serupa seperti serangan selsema dan batuk. Rasa sakit tekak dan hidung tersumbat yang berulang dialami oleh pesakit. Kadang kala pesakit hanya membeli ubat tanpa buat pemeriksaan yang lengkap. Bila batuk dan selsema sudah sembuh, pesakit menyangka bahawa beliau tiada ada masalah ini.
Ia juga boleh bermula dengan pembengkakan kelenjar pada leher. Oleh itu pesakit yang mempunyai bengkakan kelenjar yang berlarutan lama, harus dilakukan pemeriksaan segera. Jangan bertangguh.
Selalunya penyakit ini dikesan setelah ketumbuhan ini terlalu besar. Pesakit telah mengalami tanda-tanda yang lebih serius, berkemungkinan kanser sudah menjadi lebih teruk.
Antara tanda-tanda tersebut adalah:
- banyak kelenjar di leher membesar dengan lebih besar
- rasa pening (giddiness) dan berdengung (tinnitus)
- pendarahan yang berulang dari hidung
- air liur yang mengandungi darah
Bila mahu berjumpa doctor? Oleh kerana tanda-tanda awal penyakit NPC adalah terlalu ringan dan biasa seperti batu, selsema, sakit tekak dan hidung tersumbat, maka banyak pesakit yang tidak dapat didiagnosa pada peringkat awal.
Pesakit selalunya datang apabila kanser telah terbentuk dan memberikan masalah yang lebih teruk.
Jadi bagi mereka yang ada mengalami masalah batuk, selsema, sakit tekak, kelenjar leher yang membesar dan hidung sumbat yang berulang, boleh membuat pemeriksaan hidung dengan memasukkan kamera ke dalamnya bagi melihat jika ada tanda-tanda awal kanser.
Bagi mereka yang ada masalah seperti pening, berdengung, pendarahan dari hidung atau ada darah pada air liur, dan banyak kelenjar pada leher, pemeriksaan doctor adalah wajib.
Doktor mungkin akan melakukan pemeriksaan nasoscope dengan memasukkan kamera ke dalam hidung. Doktor mungkin akan mengambil sampel ketumbuhan jika terdapat di bahagian ini untuk dihantar ke makmal bagi pengesahan kanser NPC.
Selalunya pesakit datang ke klinik pakar ENT, apabila kanser ini telah membesar atau pergi ke tempat lain. Tanpa rawatan segera, NPC boleh membesar sehingga memenuhi rongga hidung dan tekak. Ia juga boleh mengubah struktur tulang di muka.
Selain itu, bagi penyakit NPC yang advanced, sel-sel kanser telah pergi jauh ke kelenjar sekeliling leher, masuk dalam tulang besar seperti tulang peha, organ hati dan kemungkinan ke otak.
Rawatan bagi NPC selalunya dalam bentuk radiotherapy, chemotherapy atau kombinasi keduanya. Rawatan untuk pesakit kanser yang masih di peringkat awal, adalah sangat baik. Bagi pesakit yang mengalami metastases (sel kanser telah pergi ke tempat lain), selalunya ia boleh berulang dan agak sukar dirawat.
Semoga bermanfaat.
One comment
Pingback: Kanser Pangkal Hidung – Tips Kesihatan