Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Bina Keluarga » Kaitan Pil Perancang Keluarga Dengan Stroke
Kaitan Pil Perancang Keluarga Dengan Stroke

Kaitan Pil Perancang Keluarga Dengan Stroke

Baru-baru ini staff saya memberitahu bahawa kakaknya yang berusia 43 tahun dimasukkan ke hospital akibat pengsan di rumah ketika memasak.

Pada mulanya keluarganya enggan membawa pesakit ke hospital kerana menyangka beliau diserang santau. Kebetulan sebelum ini pesakit ada bertengkar dengan keluarga berkenaan harta peninggalan nenek mereka.

Setelah tidak sedarkan diri hampir 12 jam, dan berusaha semua ’cara kampung’, akhirnya atas nasihat seorang ustaz, mereka membawa pesakit ke hospital.

Waktu itu tengah malam dan keadaan pesakit semakin teruk. Mukanya pucat dan mulutnya mula berbuih.

”Iskh, sah lah ini santau..” bisik orang kampung bila melihat keadaan pesakit.

Namun apa yang mereka tidak sedari pesakit mempunyai tekanan darah tinggi yang tidak terkawal. Sesekali pesakit terlupa menelan ubat darah tingginya.

Menurut rekod kesihatan di hospital, tekanan darah yang terakhir dilakukan pada dua minggu lepas adalah 160/100. Dan beliau masih lagi mengamalkan pil perancang keluarga yang dibeli dari farmasi.

Akhirnya pesakit ditahan di ICU dan CT scan otak mendapati bahawa pesakit mengalami darah beku di otak yang serius.

Tentu ramai yang pernah dengar cerita seperti ini.

Ramai wanita tidak menyedari bahawa pil perancang keluarga atau pil pencegah kehamilan adalah pil yang dimasukkan ke dalam kategori ’ubat yang terkawal’. Ini bermakna pil-pil ini tidak boleh dibeli tanpa preskripsi dari doktor.

Apatah lagi jika pil-pil ini diberikan oleh ’pembantu kedai’ yang bekerja di farmasi yang tiada pengetahuan tentang bahaya pil ini. Oleh itu, pil-pil ini harus diberikan secara berhati-hati.

Saya sertakan panduan yang diberikan oleh WHO mengenai wanita yang tidak boleh mengamalkan pil perancang keluarga.

Wanita yang tidak boleh mengamalkan Pil Perancang Keluarga

Tidak boleh langsung mengamalkannya

Selepas melahirkan anak kurang dari 6 minggu

Wanita yang berumur 35 tahun ke atas dan merokok melebihi 15 batang rokok sehari

Wanita yang mempunyai penyakit darah tinggi (systolik >160mmHg atau diastolic >100 mmHg)

Wanita yang pernah mengalami penyakit venous thromboembolism (VTE)

Wanita yang pernah diserang sakit jantung dan mempunyai penyakit ischemic heart disease

Wanita yang pernah diserang stroke

Wanita yang mempunyai penyakit injap jantung (bersama dengan masalah pulmonary hypertension, atrial fibrillation, subacute bacterial endocarditis)

Wanita yang mempunyai migraine bersama simptom focal neurology

Wanita yang mempunyai penyakit kanser payudara

Wanita yang mempunyai diabetes yang tidak terkawal bersama dengan masalah mata(retinopathy), ginjal (nephropathy) dan saraf (neuropathy)

Wanita yang mempunyai penyakit hati cirrhosis dan kanser hati (adenoma atau hepatoma)

Boleh mengamalkan tetapi berisiko tinggi untuk mendapat stroke

Wanita yang berumur 35 tahun dan merokok kurang dari 15 batang sehari

Wanita yang mempunyai penyakit darah tinggi (systolic 140 – 159mmHg atau diastolic 90 – 99mmHg)

Wanita berumur 35 tahun dan mempunyai migraine

Wanita yang mempunyai penyakit batu hempedu

Wanita yang mempunyai penyakit hati cirrhosis yang terkawal

Wanita yang sedang dalam rawatan dan boleh mengganggu metabolisma OCP.

(rujuk : World Health Organization.  Improving access to quality care in family planning:  medical eligibility criteria for contraceptive use.  2nd ed.  Geneva:  WHO;  2001).

Dari pengalaman saya, ramai yang tidak mengetahui bahawa seorang wanita yang menghidap sakit kepala akibat migraine tidak boleh mengamalkan pil perancang keluarga. Begitu juga wanita yang mempunyai tekanan darah yang tinggi yang tidak terkawal. Selain itu, pil ini juga boleh menyebabkan sakit kepala bagi sesetengah wanita.

Ini bermakna sakit kepala adalah kesan sampingan yang utama kepada pengguna pil ini. Sebagai perbandingan, sepuluh orang wanita menghidap sakit kepala sedang mengamalkan pil ini berbanding dengan seorang wanita yang sakit kepala tetapi tidak mengamalkan pil ini.

(rujuk : Larson-Cohn U, Lundberg PO. “Headache and treatment with oral contraceptives”Acta Neurol Scand. 1970; 46:267-278.)

Banyak teori menerangkan bagaimana pil perancang keluarga yang mengandungi hormone estrogen ini boleh menyebabkan sakit kepala. Antara teori itu ialah hormon estrogens yang berada dalam pil itu boleh menyebabkan darah menjadi pekat dan mudah membeku. Darah yang membeku di otak akan menyebabkan angin ahmar (thrombotic stroke).

Terdapat beberapa kajian yang menunjukkan bahawa wanita yang berumur 35 tahun dan mempunyai penyakit migraine boleh diserang stroke jika mengamalkan OCP.

Keadaan menjadi lebih teruk jika mereka adalah penghisap rokok. Ini kerana narcotine dalam rokok boleh menyebabkan darah mudah membeku. Oleh itu jika seorang wanita yang mengamalkan pil perancang keluarga, berumur 35 tahun ke atas, perokok tegar dan mempunyai migraine, tentu kebarangkalian untuk diserang stroke amat tinggi.

Secara purata, kebarangkalian untuk mendapat stroke di kalangan wanita yang mengamalkan pil perancang dan mempunyai penyakit migraine adalah sebanyak 19/100,000 setahun.

(rujuk: Tzourio C, Tehindrazanarivelo A, Iglesias S, et al. “Case-control study of migraine and risk of ischaemic stroke in young women”. Br Med J. 1995; 310:830.)

Secara kesimpulannya saya menasihatkan wanita yang mengambil pil perancang keluarga agar melihat semua profile kesihatan mereka. Buat pemeriksaan darah untuk mengesan penyakit-penyakit yang mungkin menyebabkan mereka terdedah pada bahaya serangan stroke.

Bagi wanita yang berumur 35 tahun ke atas dan mempunyai sakit kepala akibat migraine atau mempunyai tekanan darah yang tidak terkawal, harus berbincang dengan doktor untuk mencari pilihan lain bagi merancang keluarga.

Wallahu a’lam.

 

Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (281011)

4 comments

  1. Salam dr. Ibu saya berumur 48 tahun dan mempunyai penyakit migraine, tp seldom attack. She is now taking pil perancang utk melakukan ibadah haji for 45 days. So is it okay? This is her first time taking pil tu.

  2. Salam.
    Dr, bagaimana pula dgn kaedah implanon?
    Apakah cara lain yang lebih selamat?
    Harap Dr dapat senaraikan..
    Terima kasih

  3. IMPLANO

    DOC SYA BARU SHJ MEMASANG IMPLANO UTK TEMPOH 3 TAHUN. SYA INGIN BERTANYA ADAKAH SELEPAS 2WEEKS TEMPAT DIMANA IMPLANO ITU DIMASUKKAN AKAN MENJADI GATAL DI BAHAGIAN DALAM DAN KEBIRUAN DI LUAR KULIT (SPT BENGKAK)

  4. Salam doc
    Cara terbaik untuk merancang keluarga camana..saya dh serik nk mkn pil perancang..sekarang ni sy kerap sakit tgn n ldg2 sampai nk angkat tgn pon xblh..harap doc dpt membantu…sy amat buntu..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top
error: Content is protected !!