Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Bayi/Kanak-kanak » Jangkitan Respiratory Syncytial Virus (RSV)

Jangkitan Respiratory Syncytial Virus (RSV)

Baru-baru ini seorang rakan FB menandakan gambar anaknya yang sedang dirawat di ICU di sebuah hospital awam ke dalam dinding GB saya. Beliau mengesahkan bahawa nak beliau sedang dijangkiti oleh virus RSV.

Melihat gambar bayi yang sedang dimasukkan tiub melalui mulut dan beberapa wayar di beberapa tempat di tubuhnya, saya dapat memahami kepiluan seorang ibu.

“Bersabarlah dengan ujian ini, dan harapkanlah yang terbaik dari ALLAH.”

Dalam keadaan ini, doctor hanya melakukan rawatan setakat yang mereka mampu. ALLAH yang akan menyembuhkan kanak-kanak ini. Banyaklah berdoa…

 

Jangkitan Respiratory Syncytial Virus (RSV), boleh menyebabkan jangkitan pada paru-paru dan saluran pernafasan yang lain, terutama pada kanak-kanak kecil. RSV adalah virus dalam kumpulan Paramyxoviridae, yang juga mempunyai ‘adik beradik’ virus yang menyebabkan jangkitan measles dan mumps.

 

Jangkitan ini cepat merebak melalui pergaulan kanak-kanak di sekolah dan pusat penjangaan. Bayi yang kecil selalunya dijangkiti oleh kanak-kanak yang lebih besar apabila mereka pulang dari sekolah ke rumah.

 

Di Amerika Syarikat, hampir kebanyakan kanak-kanak yang berumur 2-3 tahun telah dijangkiti oleh virus ini.  Jangkitan virus ini sebanranya dianggap sebagai jangkitan yang sederhana. Selalunya bayi atau kanak-kanak yang dijangkiti akan baik sendiri apabila diberikan air yang cukup.

 

Kebanyakan mereka hanya mengalami demam, batuk, selsema dan tiada selera untuk makan. Malangnya sebanyak 2-3% dari mereka mengalami jangkitan paru-paru, bronchiolitis dan perlu dirawat di hospital. (Glezen, WP; Taber, LH; Frank, AL; Kasel, JA : 1986). Namun pulih setelah diberikan rawatan.

 

Sebahagian kecil, bayi yang dirawat akan meninggal dunia kerana tubuh badan mereka tidak mampu menentang jangkitan kuman dan mengalami kesukaran bernafas. Selalunya ia berlaku pada kanak-kanak yang mempunyai daya tahan yang rendah atau bayi yang dilahirkan secara pramatang.

 

 

Namun begitu, jangkitan RSV boleh berlaku di kalangan orang dewasa. Ia hanya menyebabkan tanda-tanda demam, batuk dan selsema saja.  Dalam keadaan yang lebih serius mereka mungkin mengalami sakit tekak, sakit kepala dan sakit badan. Namun jarang menyebabkan jangkitan pada saluran pernafasan dan paru-paru kecuali pesakit mengalami diabetes mellitus dan penyakit yang menyebabkan daya tahan mereka menjadi kurang.

Bagaimana RSV boleh merebak?

 

RSV sangat mudah merebak melalui air hembesan (droplets) yang mengandungi virus ini apabila pesakit batuk atau selsema. Virus ini boleh hidup di permukaan meja, lantai atau tombol pintu, pada tangan atau pada pakaian. Apabila seseorang memegang pada tempat itu, maka virus mula merebak melalui sentuhan.

 

Doktor kebiasaannya akan bertanyakan kepada pesakit beberapa soalan, dan melalui pemeriksaan fizikal. Secara amnya, doctor di kilinik tidak melakukan pemeriksaan teliti untuk mendiagnosa sama ada seseorang mengalami jangkitan virus itu. Ini kerana pesakit selalunya tidak dalam keadaan serius dan akan sembuh, insya ALLAH dengan rawatan yang ringan dan nasihat untuk minum air secukupnya.

 

Tetapi apabila seseorang pesakit mengalami jangkitan yang teruk dan dimasukkan ke hospital, maka doktor akan melakukan pemeriksaan yang lebih teliti bagi menentukan jenis virus yang menyerang. Contoh lendiran dari hembesan hidung akan diambil dan dihantar untuk pemeriksaan.

 

RSV hanya dapat dielakkan dari merebak dengan melakukan amalan ‘kerap membasuh tangan’. Dalam hal ini, benarlah kata ulamak bahawa wuduk atau air sembahyang mampu mencegah penyakit, terutama penyakit berjangkit.

 

Ibubapa dan penjaga kanak-kanak haruslah membasuh tangan mereka setelah selesai memegang anak yang sedang mengalami jangkitan virus. Selain itu bagai kanak-kanak yang lebih besar yang sedang dijangkiti , harus dijauhkan daripada bayi yang kecil.

 

Rawatan RSV

 

Kebanyakan jangkitan RSV adalah tidak serius dan ‘akan baik sendiri’ tanpa rawatan, asalkan pesakit meminum air yang secukupnya. Jika terdapat tanda-tanda berikut, bayi atau kanak-kanak harus dibawa berjumpa doktor.

 

  1. Demam yang tinggi dan tidak aktif
  2. Hembesan hidung yang pekat
  3. Batuk yang teruk dan lender berwarna kuning, hijau atau bersama darah
  4. Tanda-tanda dehidrasi (kekurangan air)

 

Bayi yang kecil selalunya akan sering merengek, tidak aktif dan tidak mahu menyusu. Jika bayi mengalami tanda-tanda sukar bernafas, maka bawa terus ke Jabatan Kemesan di mana-mana hospital.

 

Tiada antibiotic yang sesuai untuk merawat jangkitan RSV dan oleh itu doktor tidak seharusnya memberikan antibiotik kepada mereka kerana ia tidak berkesan. Ubat Salbutamol boleh diberikan untuk melegakan bronchospasm, jika ia berlaku. Ubat paracetamol boleh diberikan jika mereka mengalami demam.

 

 

Bayi atau kanak-kanak yang dijangkiti oleh RSV harus diberikan air secukupnya. Namun bagi pesakit yang tidak ada selera makan dan tidak mahu minum, ibubapa haruslah bersabar memberikan mereka minuman sekadar yang mereka mampu minum tetapi dalam kadar yang lebih kerap.

 

Bagi bayi yang tidak boleh menghembuskan lendiran pada hidung  mereka, ibubapa boleh menggunakan penyedut yang boleh dibeli di farmasi untuk menyedut lendiran itu di hidung mereka.

 

 

Untuk membantu bayi atau kanak-kanak bernafas dengan lebih baik, lendiran pada hidung yang telah pekat haruslah dikeluarkan. Ibubapa boleh menggunakan cool-mist humidifier, yang tidak menggunakan air yang panas.

 

 

Satu kajian yang dilakukan mendapati, dengan memberikan nebulizer hypertonic saline dapat membantu kanak-kanak atau bayi yang sedang dirawat di hospital yang mengalami jangkitan virus pada paru-paru, bronchiolitis. (Kuzik, BA; Al-Qadhi, SA; Kent, S; Flavin, MP; Hopman, W; Hotte, S; Gander, S : 2007)

 

Jika jangkitan ini serius, bayi akan dimasukkan ke hospital bagi rawatan yang lebih teliti.

 

Wallahu a’lam.

Rujukan:

  1. Glezen, WP; Taber, LH; Frank, AL; Kasel, JA (1986). “Risk of primary infection and reinfection with respiratory syncytial virus.”. American journal of diseases of children (1960) 140 (6): 543–6.
  2. “Respiratory Syncytial Virus”. CDC, Respiratory and Enteric Viruses Branch. Reviewed on October 17, 2008.
  3. Bourke TW, Shields MD. Bronchiolitis. BMJ Clinical Evidence. 2011;04:308
  4. Handforth, J.; Sharland, M; Friedland, JS (2004). “Prevention of respiratory syncytial virus infection in infants”. BMJ 328 (7447): 1026–7
  5. Kuzik, BA; Al-Qadhi, SA; Kent, S; Flavin, MP; Hopman, W; Hotte, S; Gander, S (2007). “Nebulized hypertonic saline in the treatment of viral bronchiolitis in infants”. The Journal of pediatrics 151 (3): 266–70, 270.e1.
  6. Mandelberg, A.; Tal, G; Witzling, M; Someck, E; Houri, S; Balin, A; Priel, IE (2003). “Nebulized 3% Hypertonic Saline Solution Treatment in Hospitalized Infants With Viral Bronchiolitis”. Chest 123 (2): 481–7

One comment

  1. Sayangnya kebanyakkan doktor-doktor muda di hospital kerajaan sekarang ni cepat sangat buat kesimpulan tanpa pemeriksaan terperinci. Pengalaman sendiri, bawak anak yg wheezing ke Unit Kecemasan Hospital Klang, cek paru paru tak sampai 10 saat. Terus kata Lung clear.. bila saya suruh tgk corak pernafasan anak dan lekuk pada abdomen.. terus sound “ARE YOU A DOCTOR?”

    oh well, bergegas la kami ke PRIVATE HOSPITAL.

Leave a Reply to Jiji Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: