Jangkitan Cytomegalovirus (CMV) ketika hamil

CMV

 

“Assalamualaikum Dr, saya baru sahaja menjalani procedure D&C kerana kehamilan saya tidak berjaya. Enam bulan yang lalu saya turut mengalami keguguran atas sebab yang sama. Pada bulan November tahun lepas pulak saya mengalami “silent miscarriage” pada usia kandungan 14minggu. Ketika itu bila ujian darah di lakukan, saya di dapati mendapat jangkitan cytomegalovirus (CMV). Sekarang bila kejadian (keguguran) ini berlaku saya terfikir adakah ini berkaitan dgn virus tersebut? Saya cuba bertanya kepada doctor gynea saya, tapi jawapan yg diberikan tidak memuaskan hati saya. Saya ingin menambah zuriat. Adakah virus ini akan menghalang saya untuk menambah zuriat Dr? Dan apakah langkah-langkah yang perlu saya ambil utk menghalang virus ini dari menganggu kandungan saya nanti? Harap Dr boleh bagi penjelasan. Sekian , terima kasih.”

 

Wa alaikum mus salam.

 

Saya bersimpati dengan masalah puan.

 

Sebenarnya begitu banyak punca keguguran yang mungkin doctor yang memeriksa puan terlepas pandang. Jangkitan virus CMV hanya merupakan salah satu penyebab keguguran.

 

Cytomegalovirus adalah sejenis virus dari kumpulan herpes. Wanita yang disahkan menghidap jangkitan CMV boleh menyebabkan jangkitan pada bayi mereka yang masih berada dalam rahim.

 

Ramai wanita tidak menyedari bahawa mereka dijangkiti virus ini kerana ada kalanya ia tidak menunjukkan sebarang tanda yang khusus kecuali demam.

 

Setelah dijangkiti, virus ini akan tinggal diam dalam tubuh. Apabila seorang wanita itu mengalami masalah daya ketahanan yang rendah, terutama ketika hamil, virus ini akan aktif semula dan boleh menjangkiti bayi dalam rahim. Keadaan ini dinamakan sebagai ‘recurrent CMV infection’.

 

Walau pun begitu, risiko untuk virus ini menjangkiti bayi dalam rahim adalah rendah. Ini bermakna tidak semestinya seorang wanita yang pernah dijangkitan CMV akan melahirkan anak yang cacat atau mengalami keguguran.

 

Doctor akan mengesyaki seorang wanita mengalami jangkitan virus pada bayi dalam rahim jika terdapat beberapa tanda semasa melakukan pemeriksaan antenatal seperti kandungan air tuban (amniotic fluid) yang sedikit dalam rahim, tubuh bayi tidak membesar dalam rahim, dan bayi mungkin mempunyai kepala yang besar.

 

Jika kehamilan masih awal, jangkitan CMV pada pada bayi yang masih berada dalam rahim, boleh disahkan dengan kaedah “amniocentesis” iaitu mengambil contoh air tuban dalam rahim untuk dikaji dalam makmal.

 

Setelah dilahirkan bayi boleh diuji dengan pemeriksaan air liur, air kencing dan darah bagi pengesahan.

 

Hanya sebahagian kecil saja, wanita yang dijangkiti CMV akan melahirkan bayi mengalami kecacatan. Kebanyakan bayi yang dijangkiti ini kelihatan normal ketika dilahirkan. Kecacatan ini hanya dapat dikesan apabila mereka berumur satu tahun.

 

Kecacatan yang biasa dialami ialah ialah masalah pendengaran. Bayi yang tidak mendengar akan tidak mampu belajar bercakap. Jadi jika bayi berumur satu tahun masih tidak bercakap, segeralah dibawa untuk pemeriksaa.

 

Hanya sebahagian kecil bayi yang dilahirkan mengalami kecacatan yang teruk semasa dilahirkan seperti kecacatan saraf, masalah tumbesaran, kepala yang kecil, bengkakan pada hati dan limpa, dan lebam akibat pendarah di bawah kulit dan kekuningan (jaundice).

 

Sebilangan kecil mereka yang meninggal dunia dan sebahagian mereka dapat meneruskan hidup dengan penderitaan akibat kecacatan mereka.

 

Nasihat saya jika puan disahkan mendapat jangkitan CMV, dan ingin hamil, berjumpalah dengan doctor untuk membuat pemeriksaan semula.

 

Doktor mungkin akan memberikan rawatan ubat antiviral seperti ganciclovir, valganciclovir, dan cidofovir terlebih dahulu. Ini bergantung kepada keputusan pemeriksaan yang dijalankan.

 

Ketika hamil pula puan harus menjalani pemeriksaan berkala, dan mungkin menjalani pemeriksaan amniocentesis, iaitu prosedur mengambil contoh air tuban, bagi memastikan anak puan telah dijangkiti CMV atau tidak.

 

Wallahu a’lam.

 

Leave a Reply

error: Content is protected !!