Advertorial
Home » Catatan Peribadi » Jangan mendengar kata-kata negatif orang sekeliling

Jangan mendengar kata-kata negatif orang sekeliling

panjat tiang licin

 

Saya bukan dari keluarga yang berada atau terpelajar. Ibubapa saya hanya lulus darjah enam dan ayah saya terpaksa bertungkus lumus bekerja sebagai pemandu kren di sebuah kilang di Singapura untuk membesarkan lima orang adik beradik saya.

 

Kami tinggal di kawasan setinggan berdekatan dengan bandar Johor Bahru. (Alhamdulilah sekarang telah mendapat geran tanah dari kerajaan negeri)

 

Banyak cerita suka duka ketika saya menuntut ilmu. Saya ingin berkongsi cerita yang saya dengar dari guru saya.

 

Mungkin cerita ini bermanfaat pada adik-adik yang masih belajar dan pada sesiapa saja yang masih mengejar impian mereka.

 

Cerita ini biasa didengar dan saya ingin mengulang bercerita semula. Ia akan memberi kesan kepada jiwa kita yang selama ini mungkin gagal untuk meraih satu kejayaan kerana kita terpengaruh dengan kata-kata orang di sekeliling kita.

Ceritanya begini. Ada seorang profesor psikologi di universiti yang sedang mengadakan penelitian terhadap kesan kata-kata orang di sekeliling terhadap prestasi seseorang.

 

Mulanya professor itu memasang tiang yang licin dilumuri dengan minyak hitam dan di hujung tiang itu diletakkan wang seribu ringgit sebagai hadiah kepada sesiapa yang Berjaya memanjat sampai ke puncak tiang itu.

 

Dua orang lelaki yang gagah mencuba nasib. Seorang demi seorang. Mereka mencuba dengan bersungguh-sungguh malangnya tiang itu terlalu licin. Mereka terjatuh beberapa kali.

 

Mereka berusaha berulang kali, akhirnya mereka mengaku kalah walaupun menerima sorakan memberi semangat oleh orang ramai yang menonton. Mereka berdua merasakan tertekan dengan sorakan dari penonton itu kerana mereka adalah dua orang yang gagah dalam kampung itu yang sangat tangkas memanjat pokok kelapa.

 

Mereka gagal memanjat dan berasa kecewa dan kemudian marah.

Kemudian, datang pulang seorang pemuda mencuba nasib. Namun segera dua orang pemuda tadi berbisik kepada pemuda ini.

 

“Sia-sia saja kamu memanjat. Kami yang gagah dan pakar memanjat ini pun tidak berjaya memanjatnya.”

 

Pemuda tadi termenung dan cuba memanjat  tiang itu. Namun dia tidak mencuba sedaya upaya kerana memikirkan kebenaran kata-kata dua orang pemuda tadi. Baru sekali dua mencuba dia terus mengaku kalah.

 

Kemudian datang pula pemuda yang keempat, kelima, keenam dan seterusnya sehingga ke sepuluh. Semuanya menerima bisikan dari dua orang pemuda tadi. Mereka hanya mencuba secara tidak bersungguh-sungguh.

 

Kesemua perbuatan yang berlaku di situ telah dicatatkan oleh professor tadi.  Dia hanya menunggu dan lihat sambil mencatatkan setiap perbualan dan gerak-geri peserta.

 

Kemudian dating pemuda yang ke sebelas. Dia mendengar bisikan dua orang pemuda itu. Setelah mengangguk-anggukkan kepala dia terus memanjat. Berusaha berulang kali. Semakin dia lama dia mencuba, semakin meningkat prestasinya.

 

Mulanya dia hanya mampu memanjat beberapa kaki dari tanah. Kemudian dia jatuh. Setelah mencuba lagi dan lagi dengan menggunakan teknik yang lain, semakin lama semakin tinggi panjatannya sebelum dia jatuh.

 

Dia semakin mahir memanjat dan akhirnya setelah dia mencuba berapa puluh kali dengan pelbagai teknik akhirnya dia berjaya sampai ke puncak dan mendapatkan wang yang berada di situ.

 

Ramai bersorak dan professor ini memanggil pemuda tadi.

 

“Apa rahsia kamu sehingga berjaya memanjat sampai ke puncak tiang?”

 

Lelaki itu menggeleng-gelengkan kepala sambil memberikan isyarat. Datang pula wanita tua yang merupakan ibu kepala pemuda tadi.

 

“Maaf tuan. Anak saya cacat pendengaran. Dia tidak mendengar kata-kata yang dicakapkan kepadanya”

 

Apa moral cerita ini?

 

Kita menjumpai ramai orang di sekeliling kita yang mempunyai personality seperti dua orang pemuda tadi. Mereka mempengaruhi orang lain untuk tidak berusaha, dengan menanamkan input negatif kepada orang lain. Mereka berusaha mengelirukan orang. Mereka mahu orang lain gagal seperti mereka.

 

Padahal kita tidak mengetahui nasib dan rezeki kita sebelum kita mencuba. Setiap kejayaan memerlukan pengorbanan, asalkan saja kita tidak cepat berputus asa.

 

Sebenarnya semua pemuda yang cuba memanjat tiang tadi berpotensi untuk berjaya mendapatkan wang hadiah di puncak tiang itu.

 

Jangan dengar kata-kata negative dari orang sekeliling. Hanya ALLAH saja yang tahu nasib kita. Teruskan usaha..

 

Semasa saya remaja, saya pernah menceritakan hasrat saya dan bercita-cinta menjadi seorang doctor.  Saya menceritkan pada ketua kampung, imam surau dan orang-orang tua di kampung saya.

 

Malangnya tiada satu kata-kata semangat yang saya terima. Semuanya kata-kata yang meruntuhkan impian saya.

 

Antara kata-kata itu yang saya masih ingat ialah:

 

“Tak payahlah berangan. Bukan senang tau nak jadi doctor”

 

“Boleh ke? Belum ada lagi tau budak-budak kampung yang masuk universiti. Inikan pula nak jadi doctor”

 

“Ala kerja kilang je dah lah. Sekarang ni ramai menganggur. Lagi pun belanja nak belajar ni besar. Mampu ke bapa kau tu nak tanggung..”

 

Saya mengadu pada emak. Emak memujuk saya.

 

“Ala biarlah orang nak cakap apa. Rezeki kita siapa yang tahu. Belajar je bersungguh-sungguh..”

Oleh kerana saya bukan dari keluarga orang kaya dan ibubapa saya bukan dari kalangan yang terpelajar, ia memberikan kesan pada saya.

 

Namun sikap positif emak saya sangat hebat. Dia selalu melihat sesuatu dengan positif.

 

Saya masih ingat sepanjang Ramadan tahun itu saya tidak berhenti berdoa. Supaya Allah berikan yang terbaik bagi saya..

 

Alhamdulillah sekarang ia hanya menjadi kenangan untuk saya kongsikan dengan adik-adik yang masih belajar.

 

Berusahalah walaupun orang di sekeliling itu telah menyerah kalah.

 

Leave a Reply

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: