Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Ulasan Berita » Isu Kesihatan Dakwat Indelible Ink untuk PRU13
Isu Kesihatan Dakwat Indelible Ink untuk PRU13

Isu Kesihatan Dakwat Indelible Ink untuk PRU13

Baru-baru ini, kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengumumkan akan menggunakan dakwat yang kekal (indelible ink) untuk pilihanraya umum ke 13.

Penggunaan dakwat yang kekal menjadi perbebatan ilmiah dan politik di kalangan ramai rakyat Malaysia. Saya sendiri tidak percaya bahawa penggunaan dakwat ini dapat mengurangkan ketidaktelusan ketika pengundian yang dijalankan.

Secara peribadi saya melihat penggunaan dakwat ini hanya melambangkan ’rasa tidak percaya terhadap sistem pengundian yang dijalankan’ oleh SPR. Penggunaan dakwat ini belum tentu dapat meningkatkan ketelusan pilihanraya atau mendatangkan rasa puas hati pada pihak-pihak yang bertanding.

Maksud saya, bolehkah kita menutup mulut-mulut mereka yang tidak puas hati apabila kalah nanti walaupun penggunaan dakwat ini telah diperkenalkan dalam PRU13?

Mencalitkan dakwat Indelible Ink pada jari pengundi hanya bermakna pengundi telah melakukan sekali undian dan menjadi bukti bahawa dia tidak boleh mengundi lagi.

Satu calitan dakwat ini pada jari pengundi akan memberi tanda coklat kehitaman yang akan kekal selama beberapa hari. Ia dianggap sebagai kaedah yang terbaik untuk mengelakkan penipuan undi atau pengundi yang membuang undi lebih daripada sekali.

Ketidaktelusan pilihanraya (jika berlaku) boleh dilakukan dengan cara lain. Rasa tidak puas hati pihak yang kalah dengan mengadakan pelbagai alasan akan tetap berlaku.

Contohnya India telah menggunakan kaedah calitan jari pengundi ketika pilihanraya sejak tahun 1962 lagi. Tetapi penganalisa politik dunia masih meragui ketelusan pilihanraya di sana.

Saya serahkan kepada rakyat Malaysia untuk menilai kebaikan penggunaan dakwat yang kekal (indelible ink) dalam PRU13 kerana penggunaannya juga akan melibatkan peruntukan wang yang besar.

Saya cuma tertarik kepada kesan terhadap kesihatan akibat penggunaan dakwat (indelible ink) ini.

Berdasarkan laporan ujikaji komposisi kimia yang dilakukan oleh Jabatan Kimia Malaysia, dakwat yang diimport daripada India ini mengandungi tiga bahan utama iaitu air, ethanol (55 peratus) dan Silver nitrate .

Apa yang menjadi persoalan dalam isu kesihatan ialah adakah penggunaan unsur ’silver nitrate’ selamat untuk orang awam terutama kepada wanita hamil dan wanita yang menyusukan anaknya?

Penggunaan dakwat yang kekal (indelible ink) tidak akan mendatangkan sebarang mudharat jika digunakan pada kuku dan jari.

Mengikut panduan yang diberikan oleh United States Enviromental Protection Agency pada tahun 1991, dos yang dibenarkan untuk mengelakkan kesan buruk kesihatan ialah harus kurang dari 5 µg/kg dalam sehari. Oleh itu ia selamat jika dicalitkan sedikit dikulit jari atau kuku.

(rujuk: Fung MC, Bowen DL (1996). “Silver products for medical indications: risk-benefit assessment”. Journal of Toxicology 34 (1), 119–26)

Ia hanya akan mendatangkan kesan buruk pada kesihatan sekiranya termakan atau terminum dalam kuantiti yang banyak.

Kesan buruk juga boleh berlaku jika pendedahan pada jangka masa yang lama biasanya berlaku secara beransur-ansur pada dos antara 50 ppm hingga 200 ppm sehari.

Ini boleh berlaku apabila seorang pekerja kilang yang membuat dakwat terhidu unsur silver ketika sedang bekerja atau terdapat sedikit unsur silver pada jari dan kuku dan tidak membasuhnya ketika makan.

Ini menyebabkan keracunan bahan silver (silver toxicity) dan ia akan berkumpul pada rambut, kulit, ginjal, hati, jantung dan otot.

Pendedahan pada jangka waktu yang lama juga akan menyebabkan kulit dan kuku mengalami keadaan yang dinamakan skin argyria, di mana kulit akan bertukar menjadi warna yang lebih gelap. Namun tidak mungkin berlaku pada calitan yang sedikit dalam waktu yang pendek.

D, Park B, Hoang M, Jacobe HT (August 2005). “Argyria secondary to ingestion of homemade silver solution”. Journal of the American Academy of Dermatology 53 (2 Suppl 1): S105–7.

Keracunan ini juga boleh menyebabkan sawan, kegagalan fungsi jantung dan hati, rasa sakit kepala yang kronik, sering rasa lemah dan rasa selesa pada abdomen dan kulit menjadi rosak.

(rujuk: Mirsattari SM, Hammond RR, Sharpe MD, Leung FY, Young GB (April 2004). “Myoclonic status epilepticus following repeated oralingestion of colloidalsilver”  Neurology 62 (8): 1408–10.)

Calitan yang sedikit tidak merbahaya kepada kulit kecuali kepada orang yang mengalami alahan pada silver atau dakwat yang digunakan.

Dalam hal ini, Suruhan Pilihanraya dan kerajaan Malaysia harus memberikan pilihan kepada rakyat Malaysia yang mempunyai alahan kulit agar dikecualikan. Cara terbaik ialah pengundi harus mengemukakan surat pengesahan dari doktor kulit.

Walaupun mempunyai risiko kecil, saya mencadangkan selepas membuang undi, harus segera membasuhnya selepas masa pengundian tamat. Ini mengelakkan kesan buruk yang mungkin terjadi pada sesiapa saja terutama wanita hamil dan wanita yang menyusukan anak.

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 8 Ogos 2007 telah membuat keputusan mengenai Hukum Penggunaan Indelible Ink Dalam Pilihanraya Malaysia.

Oleh kerana ia tidak mengandungi bahan-bahan najis yang diharamkan oleh syarak, tidak mendatangkan mudharat kepada kesihatan dan tidak menghalang air untuk sampai ke kulit apabila digunakan, penggunaannya dibenarkan (harus) oleh syarak kerana ia tidak akan menimbulkan masalah kepada ibadah sebahagian besar umat Islam.

Berdasarkan kajian, penggunaan Indelible Ink pada kuku boleh dihilangkan dalam tempoh tiga (3) hari dan jika digunakan pada kulit, ia akan hilang dalam tempoh tujuh (7) hari.

Tetapi untuk kegunaan dalam pilihanraya, SPR hanya akan mencalitkan Indelible Ink tersebut dalam kuantiti yang sedikit yang dijangka dapat bertahan sekurang-kurangnya 24 jam.

Saya mencadangkan agar setelah selesai mengundi, kita terus menghilangkan kesan dakwat ini. Bagi kita yang tidak ada kepentingan politik, tidak ada gunakanya menyimpan bekas dakwat ini pada jari kita.

Lagi pun menyimpannya akan melambang keperibadian seseorang yang tidak bersih dan dapat mengurangkan kemudharatannya. Walaupun dakwat kekal ini mungkin sukar ditanggalkan, namun ia masih lagi boleh ditanggalkan.

Antara langkahnya.

  1. boleh dapatkan alcohol swab (yang digunakan untuk membersihkan kulit sebelum melakukan suntikan) dari farmasi.
  2. setelah itu boleh membilasnya menggunakan sabun dan air mengalir yang bersih.
  3. kemudian bersihkan dengan kain yang bersih dan kering.

Walau pun tujuan penggunaan dakwat ini untuk mengelakkan penipuan dalam PRU13, saya harap pihak SPR dapat memberikan kelonggaran kepada wanita hamil, ibu yang menyusukan anak dan pesakit kulit yang kronik.

Wallahu a’lam.

 

Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (180112)

2 comments

  1. saya sokong 100%… kelonggaran kepada wanita hamil, menyusukan anak dan juga seperti saya yang menguruskan anak kecil…

  2. betul tu.. sy juga sokong & mohon pengecualian buat kaum ibu yg menyusukan, mempunyai anak kecil dan wanita hamil..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top
error: Content is protected !!