Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Fiqh Perubatan » Ibrar Pemakanan Rasulullah SAW: Banyakkan Serat dalam Diet
Ibrar Pemakanan Rasulullah SAW: Banyakkan Serat dalam Diet

Ibrar Pemakanan Rasulullah SAW: Banyakkan Serat dalam Diet

Seorang rakan menghantar SMS menyatakan dia tidak dapat berjumpa saya dan kawan-kawan di sebuah café. Kebetulan petang itu memang beberapa orang teman berkumpul untuk berbual-bual dan berkongsi informasi baru.

Rakan tadi memberitahu bahawa dia sedang berada di Jabatan Kecemasan di salah sebuah hospital swasta untuk mendapatkan rawatan. Menurutnya lagi, kemungkinan besar dia akan ditahan di wad bagi menjalani beberapa pemeriksaan.

Apa ?? Berak darah??” …

“Ini mesti perbuatan khianat. Aku tahu ini mesti santau sebab ramai orang dengkikannya. Bukankah dia tu peniaga di pasar malam?”

“Tak baik menuduh. Kita tidak ada bukti dan tuduhan itu boleh jatuh pada sesiapa saja di antara kita.”

Saya menggeleng-gelengkan kepala mendengar perbualan rakan-rakan. Banyak sangat melihat drama dan filem Melayu yang berkisar tentang kisah khianat, dengki dan sihir.

“Apa pendapat you, doc?”

Ini peluang untuk saya membidas semua hujah-hujah mereka.

“Memandangkan dari segi fizikal si Hamid tu yang besar, dan gemar makan daging kambing dan ayam, ada kemungkinan ia disebabkan oleh masalah pemakanan”

Semua mata memandang saya tercengang. Akhirnya saya dapat menarik perhatian mereka kepada masalah yang lebih logik dan bukan berdasarkan tekaan sembarangan.

Saya pernah membaca satu penulisan dalam British Medical Journal bahawa “orang yang tidak gemar memakan sayur dan gemar memakan daging, tiga kali lebih mudah untuk menghidap penyakit diverticular berbanding dengan mereka yang memakan sayur-sayuran”.

(rujuk : David J Humes and Joe West. Diet and risk of diverticular disease. BMJ, 2011; 343)

Berbalik kepada anjuran Rasulullah s.a.w sendiri, agar bersederhana dalam pemakanan.

”Makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan. (QS: Al A’Raaf (7) : 31).

Rasulullah s.a.w juga memberitahu,

“Makanlah ketika lapar dan berhentilah sebelum kenyang, isilah perut kalian dengan 1/3 makanan, 1/3 minuman dan 1/3 udara. Orang yang paling disukai Allah di antara kalian yang paling sedikit makannya dan paling ringan tubuhnya”(HR. Ibnu Abbas).

Namun ramai antara kita yang melampau dalam pemakanan mereka malah lebih suka makan daging berbanding sayur-sayuran kerana mereka menganggap Rasulullah SAW gemar memakan daging kambing.

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Aisyah berkata,

“Ada ketikanya dapur rumah kami tidak berasap selama sebulan. Yang ada (untuk dijadikan makanan) hanyalah buah tamar dan air. Melainkan kadangkala diberikan kepada kami sedikit daging”.

Walaupun Rasulullah SAW gemar memakan daging, ini tidak bermakna baginda makan daging setiap hari dan pada setiap hidangan. Dalam kehidupan baginda yang sederhana, peluang untuk baginda menikmati daging setiap hari amat terbatas.

Sebenarnya dari segi pemakanan, baginda lebih banyak mengambil makanan daripada jenis biji- bijian, sayur-sayuran dan buah-buahan. Rasulullah SAW biasa memakan roti yang diperbuat daripada gandum asli (whole grain wheat) yang mengandungi kadar protein, serat dan vitamin E yang tinggi.

Mengikut riwayat oleh Bukhari dan Muslim, Aisyah berkata,

”Keluarga nabi tidak pernah kenyang, hanya dengan memakan roti gandum dua hari berturut- turut dan (pada hari mereka tidak memperolehi roti) mereka memakan tamar”.

Buah tamar mengandungi serat yang tinggi dan lemak yang rendah serta gabungan beberapa zat lain yang terkandung di dalam buah tamar menyebabkan ia amat berkhasiat dan menjadi hidangan penting bagi nabi dan keluarga.

Rasulullah SAW juga memakan buah- buahan lain seperti tembikai. Sehubungan dengan ini, Abu Daud dan Tirmizi meriwayatkan bahawa Aisyah pernah berkata,

Rasulullah pernah memakan buah tembikai bersama-sama dengan buah tamar basah”.

Beliau menggemari sayuran dari jenis mentimun yang kaya dengan silika, air dan vitamin C yang mampu meredakan radang kulit. Silika pula merupakan unsur penting yang diperlukan bagi menjamin kesihatan sistem saraf yang melibatkan otot, tendon, ligamen dan tulang.

Oleh itu, pengambilan biji-bijian sempurna, buah-buahan dan sayur-sayuran yang diamalkan oleh Rasulullah SAW merupakan aturan yang baik untuk mengekalkan kesihatan dan ia telah pun dibuktikan melalui kajian sains semasa akan kelebihannya.

“Doc, apa kaitan makan daging dengan berak darah?”, Saya disergah semula oleh rakan semeja.

Berak darah adalah fenomena di mana seseorang dapat melihat terdapat darah merah segar keluar dari duburnya. Ini disebabkan oleh pelbagai sebab, antaranya radang pada diverticula.

Penyakit radang pada diverticular (diverticulitis) dikatakan penyakit orang kaya yang banyak berlaku di negara-negara barat kerana pemakanan mereka lebih berorientasikan daging. Tidak hairanlah kalau negara seperti UK dan US mempunyai bilangan pesakit yang lebih ramai menghidap penyakit itu berbanding orang-orang di Afrika.

Diverticula sebenarnya ‘kantung-kantung’ (pouches) yang terbentuk pada dinding usus besar terutama pada sigmoid colon. Pembentukan kantung-kantung ini adalah fenomena yang tidak dapat dielakkan akibat tekanan dari dalam usus. Ia ibarat belon yang mengelembung ke luar usus.

Namun apabila ada jangkitan kuman dan menjadi radang, ia akan menjadi bengkak dan mudah berdarah. Ia dinamakan “diverticulitis”. Selalunya mereka yang mengalami jangkitan diverticulitis akan berasa sakit pada sebelah kiri abdomen, berasa demam, ceret-beret dan diikuti dengan sembelit dan kurang selera makan. Ia juga mungkin mengalami kembung perut.

Selain itu, diverticulitis boleh menyebabkan pembentukan nanah dan menyebabkan penyempitan rongga usus (stricture). Pendarahan dari usus besar juga boleh berlaku tanpa sebarang tanda-tanda awal. Ini bermakna seseorang itu boleh berada dalam situasi yang kritikal kerana pembentukan nanah, kembung perut dan pendarahan dalam usus memerlukan seseorang pesakit menjalani pembedahan.

(rujuk : Bogardus ST. What do we know about diverticular disease? A brief overview. Journal of Clinical Gastroenterology. 2006;40:S108–S111).

Dr Francesca Crowe dan pasukan saintisnya dari Unit Epidemiologi Kanser, Universiti Oxford telah melakukan kajian bagi menentukan sama ada pemakanan sayur-sayuran dan pengambilan serat dalam pemakanan membantu mengurangkan terjadinya jangkitan pada penyakit diverticular.

Kajian ini melibatkan seramai 47,033 orang dewasa British yang mengambil berat terhadap kesihatan mereka. Mereka dimasukkan dalam program kajian European Prospective Investigation into Cancer and Nutrition (EPIC)-Oxford. Seramai 15,459 orang mengambil pemakanan secara vegetarian.

Pada akhir kajian ini mendapati, peserta yang mengambil serat dalam pemakanan 25g sehari mempunyai risiko yang rendah untuk dimasukkan ke hospital atau mati akibat penyakit diverticular berbanding dengan peserta yang mungkin mengambil kurang dari 14g serat dalam sehari.

Ini menyokong cadangan bahawa masyarakat kita harus memakan makanan yang mempunyai banyak serat sama ada dari roti wholemeal, cereal wholegrain, buah-buahan dan sayur-sayuran.

(rujuk Francesca L Crowe, Paul N Appleby, Naomi E Allen and Timothy J Key. Diet and risk of diverticular disease in Oxford cohort of European Prospective Investigation into Cancer and Nutrition (EPIC): prospective study of British vegetarians and non-vegetarians. BMJ, 2011;)

Boleh dikatakan juga amalan pemakanan Rasulullah s.a.w adalah sebagai satu teladan bagi mencegah seseorang dari mendapat penyakit. Saya percaya bahawa pengamalan pemakanan yang ditunjukkan (dengan memakan banyak sayuran yang mempunyai banyak serat) juga memastikan individu Muslim menjadi manusia yang sihat.

Dan kepada sahabat saya tadi, semoga beroleh kesembuhan dan dapat berkumpul untuk berkongsi cerita dengan kami lagi.

Wallahu a’lam

 

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (230711)

5 comments

  1. Salam,dr..saya ada dua soalan,..perlukah minum banyak air bagi org yg makan banyak makanan yg tinggi serat?

    Apakah mekanisma yg menyebabkan berlakunya diverticulitis daripada keadaan diverticulosis?

  2. saya setuju ngn doc. ..lebihkan mkn sayuran dan kurangkan daging amatlah baik…setahu saya,orang2 sufi byk mengamalkan pemakanan seperti ini…dan setahu saya,ia membantu dalam mengawal nafsu..waallahua’lam..:)

  3. salam doktor..
    saya menghadapi masalah kebas2 anggota badan dan kadang ada rasa panas(bukan demam, macam aliran darah) di mana2 sahaja anggota badan…ada juga bunyi berdesing di telinga, kebiasaan belah kiri..lidah pun kdg2 trasa mcm kebas tp sgt minor..yg pasti, sejak mei lalu rasa ni on off dlm selang 3-4hari..sy byk g cek, kbnyakan doc kata asid dlm badan yg jd punca, kalo org tua2 panggil angin…ada yg kaitkan dgn blood circulation..ada juga bgtau usus sy ada pocket(divertucula) dan mungkin jd punca makan ubat apa2 pun tak berkesan..apa pendapat doc?

  4. terima kasih dr.. sy akan cuba…

  5. Salam .Saya tertarik dengan tulisan Dr berkaitan pemakanan Rasulullah dan penyakit diverticular. Jika Dr izinkan, boleh tak saya gunakan bahan artikel tersebut untuk dimuatkan dalam majalah institusi saya. Terika kasih.

Leave a Reply to su Cancel reply

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: