Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Umum » Hyponatraemia: Penyakit Misteri?

Hyponatraemia: Penyakit Misteri?

woman on IV drip

”(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata : Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali” (al Baqarah 156)

Membongkar misteri dengan usaha dan doa

Saya masih ingat lagi satu kes yang agak pelik ketika saya bekerja di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru. Seorang wanita dalam usia 30an mempunyai seorang anak dimasukkan ke hospital kerana lemah badan dan ketika itu dia tidak mampu berjalan, malah sukar berdiri.

Saya mengingati kes ini kerana pada masa itu banyak kedengaran kata-kata yang menyindir wanita itu.

”Ala mengada-ngada pesakit ni. Harap je muka cantik, tapi lembik”

Saya tidak pasti mana datangnya suara itu. Namun ianya tentulah tidak adil baginya kerana hanya orang yang sakit saja mengetahui keadaan dirinya.

Dan apa yang lebih menjadikan saya geram apabila suaminya sendiri melabelkan penyakit isterinya sebagai penyakit misteri.

Memanglah misteri kalau tidak diketahui puncanya. Sesuatu penyakit adakalanya mudah dirawat dan adakalanya sukar dirawat. Kita tidak seharusnya berputus harap. Kita kenalah banyakkan tawakal dengan berusaha mencari penawarnya dan berdoa.

Menjejaskan sistem saraf

Wanita itu dibawa oleh suaminya dengan dipapah. Bila sampai di wad Kecemasan dan Trauma (A&E), dia kelihatan dehidrasi dan lemah.  Seolah-olah tiada tenaga dan dia sudah tidak memperdulikan orang sekeliling yang memandangnya.

Setelah beberapa ketika di Jabatan A&E, dia dimasukkan ke dalam wad kerana tiada perubahan walaupun sudah diberikan suntikan dan IV drips.

Dia seolah-olah keliru dan hampir tidak mengenal suami yang membawanya ke hospital. Hanya memandang kosong ke siling.

Menurut cerita melalui historing taking oleh doktor pelatih, pesakit ini telah lama mengalami kepenatan dan keletihan tanpa diketahui puncanya.

Walaupun dia tidak membuat kerja berat, dia mengalami keletihan melampau sehingga dia tidak mampu menguruskan kerja-kerja rumah dengan sempurna.

Oleh kerana dia seorang suri rumah, maka kebanyakan masa dia akan berbaring dan tertidur. Keadaan yang sebegini membuatkannya sering rasa keliru dan sangat muram (depressed).

Otot-otot kakinya juga mudah kejang terutama di waktu malam atau awal pagi yang sejuk. Kekejangan otot-ototnya juga melibatkan otot lengan dan peha, membuatkan dia sering mengadu sakit-sakit badan.

Malah doktor yang memeriksanya di Pusat Kesihatan tidak mengesyaki apa-apa, hanya menasihatkannya agar minum lebih air kerana dehidrasi  dan membekalnya dengan multivitamin.

Seminggu keadaannya semakin teruk akibat tidak selera makan dan keadaannya bertambah lemah. Oleh kerana keadaannya yang keliru, suaminya telah berusaha dengan memanggil orang bomoh dan ustaz untuk merawatnya. Namun Allah belum mengembalikan nikmat kesihatan kepadanya.

Beberapa hari sebelum dia dimasukkan ke wad, dia mengalami sawan dan pengsan beberapa kali. Setelah dinasihatkan untuk dibawa isterinya ke hospital, akhirnya si suami akur.

Setelah dimasukkan ke wad dan dimasukkan air melalui IV drip, akhirnya keadaannya bertambah baik. Dia mampu bangun untuk duduk di tepi katil setelah tiga hari di situ.

Puncanya bukan disebabkan jin

Semasa diskusi bersama Nephrologist mengenai keadaannya, banyak pertanyaan yang dikemukakan. Pesakit ini merupakan contoh kes hyponatraemia yang typical. Pemeriksaan darah untuk fungsi ginjalnya mendapati, dia kekurangan mineral sodium yang amat teruk.

Seperti biasa pada kebanyakan orang Melayu yang kurang tahap pendidikannya, apabila simptom pengsan dan sawan sudah hilang, dan pesakit boleh bangun melakukan kerja, mereka tidak berminat untuk tahu apa yang sebenarnya berlaku pada mereka.

Jadi punca hyponatraemia masih tidak dapat dikesan kerana wanita itu tidak lagi datang untuk follow up. Perlu diketahui bahawa hyponatraemia bukanlah suatu penyakit, tetapi ia lebih kepada simptom bagi penyakit yang lebih serius.

Namun saya percaya keadaannya akan berulang. Ini kerana punca sebenar keadaannya belum dirawat. Kekurangan mineral sodium pada tahap yang teruk akan menyebabkan kesan buruk pada saraf dan otak.

Apa yang terjadi pada kes yang teruk ialah pembengkakan otak kerana pergerakan air (akibat hyponatraemia, cecair badan menjadi hypotonic) memasuki sel saraf dan otak menyebabkan otak bengkak.

Itu yang menyebabkan pesakit itu datang dalam keadaan keliru, sawan dan pengsan.

Jadi apa sebenarnya hyponatraemia ini?

Ia terjadi apabila kepekatan mineral sodium dalam darah menjadi tidak normal. Bacaan yang normal ialah 136-145 mmol. Bacaan yang kurang 130 mmol akan memberikan simptom seperti pesakit tadi.

Tetapi jika bacaanya kurang dari 125 mmol, ia menjadi lebih bahaya dan boleh menyebabkan pengsan dan koma.

Mineral sodium ini amat penting kerana ia berfungsi dalam pengaliran impulse dalam saraf, terlibat dalam proses penyerapan beberapa nutrient dalam usus dan menstabilkan tekanan darah.

Tubuh kita amat unik dalam mengawal kestabilan mineral sodium ini. Jika kita kekurangan mineral sodium, usus kecil akan menyerap lebih sodium dari diet yang kita makan dan mengurangkan pembuangan sodium oleh ginjal melalui air kencing.

Manakala jika terlalu banyak mineral sodium dalam darah, usus kecil akan mengurangkan  penyerapannya dan ginjal pula akan  mengeluarkan lebih banyak sodium dari tubuh melalui air kencing.

Punca-punca lain

Terdapat banyak penyakit yang boleh menyebabkan hyponatremia, termasuk penyakit yang berasal dari ginjal itu sendiri , kelenjar pituitary, dan kelenjar hypothalamus.

Kalau dalam keadaan biasa hyponatraemia biasanya berlaku pada atlet yang berlari dalam pertandingan marathon di hari yang panas. Rakan saya seorang pelari marathon yang amatur, memberitahu seorang rakannya yang menjadi juara marathon tahun lepas, telah mati ketika sedang berlari untuk pertandingan tahun ini. Pada hal sebelum ini dia dalam keadaan sihat dan tiada penyakit kronik.

Apa yang terjadi biasanya pelari kehilangan air yang banyak. Peluh yang keluar bersama dengan mineral sodium menyebabkan kepekatan sodium itu menjadi rendah.

Apabila dia meminum air yang tiada kandungan mineral (eg air suling), darahnya pula terus bertambah kekurangan sodium kerana menjadi cair.

Oleh tu pastikan air yang kita minum itu air mineral yang membekal mineral-mineral yang seimbang.

Di kalangan orang tua juga boleh terjadinya hyponatraemia. Biasanya terjadi pada orang tua yang tiada selera untuk makan dan minum. Dehidrasi menjadi masalah utama. Ia menjadi bertambah buruk apabila beberapa ubat yang dimakan mungkin menyebabkan kandungan mineral sodium semakin berkurang.

Begitu juga jika pesakit mengalami cirit-birit dan muntah yang teruk dan berlarutan. Air najis dan muntah juga mengandungi mineral sodium yang perlu diganti. Selalunya doktor akan membekal Oral Redydration Solution (ORS) untuk membetulkan keadaan ini.

Hyponatremia boleh didiagnosa dengan pemeriksaan sampel darah untuk fungsi ginjal. Namun untuk mengetahui punca sebenar simptom-simptom ini, pemeriksaan lanjut haruslah dijalankan.

Bagi mereka yang mengalami sakit-sakit badan yang berlarutan dan juga lemah badan hingga tidak bertenaga, periksalah kandungan mineral dalam darah. Selepas mendapat keputusan darah, tanyakanlah kepada doktor sama ada ketidakseimbangan mineral itu disebabkan penyakit lain yang mungkin merbahaya.

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (300810)

http://www.facebook.com/drzubaidi


[subscribe2]

2 comments

  1. sy br memperolehi satu keputusan ujian darah melibatkan diri sy bkaitan dgn sodium dan pottasium. boleh saya email result tsbt kpd doktor utk 2 nd opinion?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top
error: Content is protected !!