Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Fiqh Perubatan » Hukum Gelatin dalam Ubat

Hukum Gelatin dalam Ubat

gelatin ubat

 

 

 

Penggunaan gelatin telah digunakan begitu lama dan secara meluas dalam industri makanan, kecantikan dan perubatan.  Di hospital dan klinik, gelatin digunakan dalam bentuk kapsul ubat dan kapsul lembut seperti yang kapsul minyak ikan dan extrak minyak zaitun.

 

Sementara dalam industri makanan ia digunakan dalam penyediaan gula-gula, coklat, yogurt, keju, mentega, aiskrim, makanan pencuci mulut segera seperti agar-agar dan pudding, dan gula-gula getah.

 

Isu utama di sini adalah bolehkan pesakit Muslim menggunakan ubat yang mengandungi kapsul yang diperbuat dari gelatin? Adakah ia halal?

 

Kapsul ubat menggunakan gelatin yang dihasilkan dari proses pengasingan protein kolagen yang diambil dari tubuh haiwan. Protein kolagen ini diperolehi dari sumber kulit, tulang, dan tendon haiwan. Dalam teknolgi terbaru, pengeluar gelatin boleh menghasilkan gelatin dari beberapa jenis tumbuhan rumpai laut atau alga merah.

 

Namun begitu ramai pengeluar gelatin yang yang menggunakan gelatin daripada haiwan babi (porcine) kerana kosnya lebih murah berbanding dengan gelatin dari lembu (bovine). Gelatin yang dibuat dari tumbuh-tumbuhan pula adalah gelatin yang paling mahal kerana sukar diproses.

 

Oleh kerana kebanyakan pengeluar ubat tidak menyatakan dengan jelas sumber gelatin yang digunakan, ini menyebabkan kita sebagai pengguna Muslim berada dalam keresahan.

 

Jika gelatin dalam kapsul ubat yang menggunakan sumber dari haiwan, ia boleh jadi dari haiwan babi atau dari haiwan yang halal dimakanan seperti lembu tetapi tidak disembelih mengikut syarak Islam.

 

Jadi setakat ini, ubat-ubatan yang menggunakan kapsul yang diperbuat dari tumbuh-tumbuhan saja yang dianggap halal.

 

Maka ramai pesakit yang menolak dan tidak mahu menggunakan ubat-ubatan dari hospital kerana tiada siapa yang menjamin status halalnya dan tiada penerangan dari pegawai farmasi yang memberikan ubat itu.

 

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Ad-Darda’ bahawa Rasulullah S,A.W bersabda: Maksudnya: “ Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan ubat, dan dijadikan bagi setiap penyait itu ubatnya, maka berubatlah kamu dan jangan kamu berubat dengan yang diharamkan.”

 

Islam sangat mementingkan aspek khasiat dan kebersihan supaya ubat yang dimakan selain membawa manfaat, tidak juga memberikan kemudaratan.

 

Walau bagaimana pun Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-8 yang bersidang pada 24 – 25 September 1984 telah memutuskan bahawa penggunaan gelatin dalam ubat pada masa sekarang adalah diharuskan kerana dharurat. Sekiranya telah ada bahan halal yang dapat menahan ubat dari cepat rosak, maka penggunaan gelatin dalam ubat tidaklah lagi diharuskan.

 

Dalam hujah yang digunakan dalam Majlis Fatwa Kebangsaan ialah secara amnya, penggunaan bahan-bahan yang haram atau yang bercampur dengan najis untuk tujuan perubatan adalah haram.

 

Walaubagaimanapun menggunakan ubat dari benda yang najis selain dari benda yang memabukkan dalam keadaan dharurat adalah harus sebagaimana pendapat Ibnu Ruslan (Mazhab Shafie) dalam Kitab Sunan Abi Daud.

 

Pendapat ini berlandaskan kepada Hadith al-‘Urniyyin yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah s.a.w. menyuruh Sahabat meminum air kencing unta membuat ubat.

 

Ramai ulamak yang mengambil hadis ini sebagai kebenaran khas dimana umumnya adalah diharamkan berubat dengan benda yang haram kecuali tiada bahan lain yang boleh menggantikannya (dharurat).

 

Sebagai pesakit dan pengguna Muslim, kita ada hak untuk bertanya kepada pihak yang memberikan ubat sam ada yang didapati dari hospital, klinik, farmasi dan penjualan online, tentang status halal ubat bagi memastikan semua ubatan yang digunakan menggunakan bahan yang halal.

 

Wallahu a’lam.

Leave a Reply

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: