Hikmah Larangan Jimak ketika Haids

 

 

 

Setiap dari kita mempunyai nafsu dan akal yang bertujuan untuk menimbangkan antara yang baik dan yang buruk. Nafsu dan akal juga membantu kita membuat pertimbangan agar dapat menyalurkan syahwat ke arah kebaikan, iaitu  melalui perkahwinan yang sah.

 

Dengan berkahwin, hubungan jimak yang halal dibenarkan asalkan mengikut garis panduan yang dibenarkan oleh syarak. Malah melakukan hubungan ini secara halal antara suami dan isteri, dikira sebagai ibadah dan diberikan pahala.

 

Perkara ini dijelaskan oleh rasulullah s.a.w di dalam satu riwayat hadis. “Sahabat-sahabat Nabi bertanya, ‘Ya Rasulullah, adakah jika salah seorang daripada kami memuaskan nafsu syahwatnya secara halal, dia diganjari pahala?

 

Nabi Muhammad bersabda , Tidakkah jika kamu memuaskan nafsu secara haram kamu berdosa? Justeru, jika kamu melakukannya secara halal kamu memperolehi pahala’.” (Riwayat Muslim)

 

Ramai ahli perubatan dan pakar psikologi yang bersetuju bahawa hubungan jimak sebagai satu terapi (rawatan) yang menenangkan jiwa dan mencegah penyakit-penyakit kronik.

 

Malah ulama terkenal, Ibn Qaiyim Al-Jauziyah menulis dalam kitabnya yag terkenal Tibbun Nabawi,  bahawa “Tabib-tabib yang mahir berpandangan jimak adalah di antara cara yang terbaik untuk memelihara kesihatan seseorang.”

 

Jadi hubungan jimak boleh dilakukan pelbagai cara, asalkan mengikut panduan yang dibenarkan oleh Islam. Ini bertepatan dengan firman Allah,  “Isterimu adalah kebun bagimu maka datangilah kebunmu dengan cara mana yang kamu mahu.” (Surah Al-Baqarah ayat 223)

 

Islam mengharamkan hubungan jimak ketika isteri mereka kedatangan haid. Hukum ini dijelaskan oleh Allah melalui firmanNya,

 

Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: “Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri”. (surah Al Baqarah: 222)

 

Malah rasulullah s.a.w bersabda, “Sesiapa yang menyetubuhi wanita yang sedang haid ataupun menyetubuhi wanita di saluran duburnya ataupun mendatangi tukang tenung nasib dan mempercayainya, sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang diturunkan ke atas Muhammad.” (Riwayat Ahmad dan Tarmuzi)

 

Larangan ini jika difikirkan secara positif, adalah suatu ujian kesabaran bagi suami-isteri yang masih muda dan baru melangsungkan perkahwinan.

 

Di awal perkahwinan, nafsu syahwat kedua-dua suami isteri masih bergelora. Namun halangan mengadakan hubungan jimak ketika isteri mereka sedang haids adalah ujian ketaatan kepada Allah. Hanya mereka yang beriman dan taqwa, mampu menjalani ujian ini dengan baik.

 

Sebenarnya banyak hikmah dan kebaikan yang Allah berikan kepada mereka yang taat meninggalkan hubungan jimak ketika mereka sedang haids.

 

Kekeliruan mengenai darah haids

 

Banyak kekeliruan tentang darah haids. Sesetengah masyarakat di dunia menganggap bahawa darah haids sebagai ‘darah kotor’ dan ia merupakan satu penghinaan kepada kaum wanita. Maka kaum lelaki tidak boleh bercampur gaul dan berbual dengan isteri mereka yang sedang haids. Malah wanita-wanita itu dipaksa untuk tidur di bilik berasingan atau di dapur.

 

Dalam sesetangah masyarakat pula, darah haids dianggap sebagai darah yang biasa dan tidak dianggap kotor, sehingga mereka sanggup hubungan jimak ketika isteri mereka sedang haids. Mereka menganggap bahawa hubungan jimak ketika haids adalah hak suami dan isteri, dan tidak memberikan kesan buruk.

 

Dalam ilmu perubatan, kitaran haids adalah kitaran fisiologi tubuh wanita yang sihat. Wanita yang kedatangan darah haids setiap bulan adalah wanita yang subur. Wanita yang sihat akan mengalami kitaran haids selepas baligh hingga mereka mengalami menopause.

 

Kedatangan darah haids juga dikenali sebagai ‘menstruation‘ atau ramai yang menyebutnya sebagai ‘period‘. Ia adalah darah yang keluar dari rahem (uterus) melalui faraj (vagina), berlaku pada setiap bulan dan berlangsung selama antara 2 hingga 10 hari. Purata tempuh haids bagi wanita ialah 7 hari. Ia berlaku akibat perubahan hormon dalam tubuh wanita itu.

 

Darah haids pula  adalah gumpalan darah dan tisu endometrium pada lapisan dalam rahem yang gugur apabila tidak berlaku persenyawaan antara benih lelaki (sperma) dan benih wanita (ovum). Maka seorang wanita yang sedang mengalami haids, menandakan beliau tidak hamil.

 

Hukum darah haids adalah najis kerana ia adalah darah terpisah dari tubuh. Dari pandangan kasar, ia adalah suatu yang menjijikkan dan kotor. Jika dibiarkan ia boleh mengumpulkan dan membiakkan kuman.

 

Ramai yang bertanyakan, jika darah haids adalah darah yang kotor bolehkah si suami memakai sarung kondom untuk mengelakkan penyakit ketika melakukan hubungan jimak? Mengapa Islam sangat bertegas melarang hubungan jimak dilakukan ketika wanita (isteri) sedang mengalami haids?

 

Kemudharatan jimak ketika haids

 

Banyak kajian saintifik yang dilakukan menunjukkan kebenaran larangan ini. Malah banyak lagi bukti yang masih dalam kajian tentang keburukannya.

Wanita yang mengalami haids sebenarnya mengalami perubahan hormone dalam tubuhnya. Saluran darah di rahem dan di faraj membesar dan mengembang. Oleh kerana saluran darah ini sangat lembut, ia mudah pecah apabila berlaku tusukan zakar pada faraj dan pangkal rahem.

 

Darah yang keluar ketika hubungan jimak, mungkin bukan setakat darah haids tetapi darah yang keluar akibat luka dari saluran darah yang pecah. Ini boleh mengakibatkan pendarahan yang banyak.

 

Tusukan zakar juga boleh menyebabkan pangkal rahem menjadi luka dan radang. Akhir jika tidak dirawat boleh menyebabkan jangkitan kuman dan pembentukan kanser pangkal rahem (cervical cancer).

 

Banyak  kajian yang menunjukkan wanita yang mengamalkan hubungan jimak ketika haid juga mengalami masalah keputihan yang kronik. Ini kerana ketika haids, keadaan faraj mengalami yang kurang berasid menyebabkan fngal mudah membiak. Slalunya keputihan sering berulang dan sukar diubati.

 

Apa yang lebih bahaya, ketika darah haids dikeluarkan, rahem juga mudah dijangkiti kuman yang disebarkan oleh tusukan zakar.

 

Jika jangkitan kuman ini merebak ke saluran fallopian, ia boleh saluran ini tersumbat seterusnya masalah kesuburan (infertility) dan meningkatkan risiko hamil di luar rahem, (ectopic pregnancy). Bukan mudah merawat kerosakan pada saluran fallopian yang disebabkan oleh kuman tersebut.

 

Hubungan jimak ketika haids juga boleh mengundang penyakit pelvic inflammatory disease, iaitu penyakit yang menyebabkan pengumpulan radang dan nanah di bahagian saluran pembiakan manusia. Penyakit ini menyebabkan wanita mengalami sakit perut secara berkekalan yang sukar dikesan serta sukar diubati.

 

Dalam satu kajian yang diterbitkan dalam Journal Sex Transmitted Disease menunjukkan bahawa amalan melakukan hubungan jimak ketika haids boleh meningkatkan risiko jangkitan kuman bagi penyakit kelamin (sexually transmitted diseases) di Amerika Syarikat.

 

Kajian ini dilakukan di sana kerana amalan melakukan jimak ketika haids telah menjadi kebiasaan dan kebanyakan mereka mempunyai teman tidur melebihi dari 5 orang.

 

Oleh itu wanita yang mengamalkan hubungan jimak ketika haids didapati lebih mudah dijangkiti HIV dan penyakit-penyakit kelamin yang lain berbanding dengan mereka yang tidak mengamalkan hubungan jimak ketika haids.

 

(rujuk: Sex Transm Dis. 1996 Sep-Oct;23(5):395-401. “Sexual intercourse during menstruation and self-reported sexually transmitted disease history among women”).

 

Ini memberikan satu peringatan bahawa kuman penyakit HIV dan penyakit kelamin yang lain lebih mudah menyerang wanita yang sedang haids ketika melakukan jika dengan pasangan mereka yang sudah mempunyai penyakit-penyakit ini.

 

Malah doktor-doktor pakar yang berfikiran liberal juga mengesyorkan  agar wanita yang kedatangan haids tidak melakukan jimak. Walaupun mereka menggalakkan safe sex , tetapi mereka berpendapat banyak kebaikan jika tidak melakukan hubungan jimak ketika haids.

 

Satu penghinaan kepada wanita

 

Saya berpendapat bahawa melakukan hubungan jimak ketika haids adalah suatu penghinaan mental kepada wanita. Ketika haids, wanita mengalami tekanan mental dan perasan akibat perubahan hormon yang dialaminya.

 

Tidak hairanlah,ramai wanita yang mengalami premenstrual syndome (PMS) seperti sakit perut yang kuat (senggugut), sakit kepala, sakit pinggang dan mood yang tidak menentu. Melakukan hubungan jimak hanya memberi kepuasan pada pihak suami saja, sedangkan pihak isteri terpaksa melayan kepuasan suami ketika penderitaan PMS.

 

Ada di kalangan wanita yang mengalami mood yang tidak baik, dan kemurungan (depression). Hubungan jimak akan menambah lagi perasaan sedih si isteri kerana menganggap si suami tidak memperdulikan perasaan yang dialaminya.

 

Perasaan syahwat isteri selalunya berkurangan ketika itu. Ramai wanita yang tidak berminat apabila diajak untuk melakukan jimak. Mereka juga mengalami suhu badan yang lebih rendah dari biasa, menyebabkan mereka rasa pening dan letih.

 

Selain itu jika pendarahan haids yang keluar terlalu banyak, wanita akan berasa lemah, penat dan tidak bermaya. Jadi melakukan jimak pada waktu ini, merupakan satu kezaliman kepada mereka.

 

Islam memberikan keadilan pada wanita untuk sama-sama menikmati kepuasan hubungan jimak bersama suami dan seterusnya mendapat zuriat dari hubungan itu.

 

Apa salahnya jika suami bersabar untuk beberapa hari dan menunggu isteri mereka membersihkan diri (mandi junub) dahulu. Pada waktu itu, isteri lebih bersedia untuk sama-sama menikmati hubungan jimak bersama.

 

Bukan hanya sebab darah haids

 

Ramai ahli sains dan pakar perubatan percaya bahawa banyak lagi kemudharatan yang belum lagi dibuktikan secara saintifik apabila melakukan hubungan jimak ketika haids,

 

Larangan melakukan hubungan jimak ketika haids bukanlah disebabkan oleh ‘darah haids’ saja, malah lebih dari itu. Islam mensifatkan melakukan amalan ini dianggap sebagai ‘satu kemudharatan’ dari segi kesihatan, emosi dan syariat.

 

“Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat”

 

Amaran mengenai kemudharatan ini harus diambil secara serius oleh orang yang beriman. Ia bukan setakat kemudharatan dari segikesihatan, tetapi mental dan syarak. Inilah ujian keimanan kita terhadap ayat Allah walaupun rasional di sebalik perintah itu tidak dapat difikirkan.

 

Kita harus kekal taat kepada perintah Allah kerana ’Allah adalah Pencipta yang mengetahui hal terbaik bagi makhluk yang diciptaNya’. Kajian saintifik hanya membantu kita mengenal hikmah setiap perintahNYA.

 

Wallahu a’lam.

 

Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (120612)

 

2 comments

  1. Doc, apa pulak kesannya utk kaum lelaki? Tidakkah ia juga membawa kemudaratan?

  2. salam dr..sy nk tanya kenapa sebelum saya period sy akn kerap buang air besar?

Leave a Reply to tasyaCancel reply

error: Content is protected !!