Advertorial
Home » Akhbar » hfmd boleh membawa maut jika..

hfmd boleh membawa maut jika..

PENYAKIT TANGAN, KAKI DAN MULUT (HFMD) BOLEH MEMBAWA MAUT JIKA.. 

 

 

Inilah adalah intervieu saya dengan RADIO SALAM pada Khamis 11 Ogos 2018 730am.

 

Alhamdulillah,  Kementerian Kesihatan Malaysia pada laporan berita 5 Ogos 2018 telah merekodkan penurunan kes baharu penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di seluruh negara, sepanjang minggu lalu. Hal ini telah disampaikan oleh Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad. Sebanyak 770 kes jangkitan baharu dilaporkan, menurun 19.1 peratus berbanding 952 kes pada Khamis 2 Ogos 2018 yang lalu.

 

Walaupun terdapat penurunan laporan, bukan bermakna wabak ini telah tamat. Setiap hari ada laporan jangkitan baru. Cuma kadar jangkitan semakin menurun, seperti mana dilaporkan.

 

 

  1. Apakah punca penyakit ini?

 

Penyakit Kaki, Tangan dan Mulut (Hand, Mouth, Foot Disease, HFMD) disebabkan oleh sejenis virus dalam kumpulan (genus) Enterovirus yang mempunyai ahli keluarga termasuk polioviruses, coxsackieviruses, echoviruses, dan beberapa enterovirus yang lain.

 

Terdapat dua jenis virus enterovirus yang utama menyebabkan HFMD iaitu Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus-71 (EV71).

 

Coxsackievirus A16 adalah virus yang banyak menyebabkan HFMD di Amerika Syarikat, tetapi virus  coxsackieviruses dari sepsis yang lain juga menyebabkan penyakit yang sama.

 

Enterovirus 71 pula adalah virus yang menyebabkan wabak HFMD di kebanyakan negara-negara di Asia Tenggara dan Asia Timur. Virus ini lebih agresif dan boleh menyebabkan masalah yang lebih serius seperti encephalitis iaitu penyakit keradangan selaput otak dan boleh meragut nyawa.

 

Secara kesimpulan, HFMD bukan saja disebabkan oleh satu virus tetapi oleh beberapa jenis virus yang berada dalam kumpulan Enterovirus. Selalunya dalam satu wabak, satu atau dua jenis virus yang dikenalpasti.

 

Ramai yang menyangka hanya kanak-kanak saja yang boleh dijangkiti virus ini. Tetapi tidak. Sesiapa sahaja pada semua peringkat umur boleh mendapat jangkitan HFMD terutama individu yang mempunyai daya tahan yang rendah seperti kanak-kanak, wargamas, pesakit kronik seperti diabetes dan kanser dan mereka yang menjalani rawatan steroid.

 

Tetapi golongan kanak-kanak berusia di bawah lima tahun adalah golongan yang paling ramai dan biasa mendapat jangkitan kerana daya tahan yang rendah dan mereka selalu di tempatkan beramai-ramai di taska atau selalu dibawa ke tempat awam.

 

 

  1. Bagaimana ia disebarkan?

 

Virus yang menyebabkan HFMD selalunya terdapat pada tubuh individu yang telah dijangkiti HFMD. Antara bahagian yang terlibat:

  1. Hidung dan tekak. Jadi lendiran dari hidung dan tekak seperti air liur, kahak dan lendiran hidung mempunyai banyak virus tersebut.

 

  1. Cecair pada lepuhan

 

  1. Najis (tahi)

 

Penyebaran virus ini berlaku di tempat awam, seperti di taska, sekolah, pasaraya, taman permainan atau di mana saja orang ramai berkumpul.

 

Jadi penyebaran virus ini kepada individu lain sangat mudah dan cepat apabila sumber-sumber jangkitan ini tidak diberikan perhatian.

 

Contohnya, kanak-kanak yang telah dijangkiti HFMD bermain dengan kanak-kanak lain, penyebaran boleh berlaku melalui sentuhan fizikal seperti memeluk, atau memegang.

 

Apabila kanak-kanak tersebut itu bersin atau batuk, semburan titisan air yang halus (droplet) yang mengandungi virus akan disebarkan pada persekitaran dan boleh menjangkiti kanak-kanak lain.

 

Punggung bayi yang tidak dicuci bersih juga adalah sumber bagi jangkitan ini. Apabila kanak-kanak ini mandi di kolam mandi awam, Bersama dengan lampin yang kotor yang tidak dibersihkan boleh menyebabkan penyebaran pada kanak-kanak yang mandi di kolam mandi yang sama.

 

Menelan air dari kolam mandi yang tercemar juga (secara tidak sengaja) boleh menyebabkan penyebaran HFMD.

 

Oleh itu jika ingin mandi di kolam mandi awam harus pastikan air yang digunakan dalam kolam itu adalah air yang dirawat dengan klorin. Bukan kolam mandi segera yang hanya ditangkung air dari air paip saja.

 

Apabila seseorang memegang objek atau permukaan yang pernah dipegang atau terdapat lendiran hidung akibat bersin, seperti memegang tombol pintu, atau pemegang troli pasaraya, boleh menyebabkan jangkitan.

 

Virus HFMD tidak disebarkan kepada haiwan peliharaan dan tidak pula dijangkiti dari haiwan peliharaan.

 

  1. Apakah tanda-tanda HFMD dan adakah ia berbahaya?

 

HFMD selalunya menyebabkan jangkitan ringan dan ianya akan sembuh dengan sendiri. Namun begitu, segelintir pesakit HFMD yang disebabkan oleh jangkitan virus EV71 boleh menyebabkan komplikasi seperti radang otak dan jantung.

 

HFMD biasanya bermula dengan demam, rasa tidak sihat yang disusuli dengan kurang selera makan. Dalam sehari atau dua, luka (ulser) di mulut akan timbul. Sebilangan kanak-kanak mungkin mengalami ruam merah pada tapak tangan atau celah jari yang berkemungkinan menjadi lepuhan. Ruam ini juga boleh terjadi pada lutut, siku dan bahagian bawah badan kanak-kanak. Ruam merah ini biasanya tidak menyebabkan kegatalan.

 

Mereka mudah mengalami dehidrasi menyebabkan rasa lemah, letih dan tidak aktif disebabkan mereka kurang selera makan dan minum akibat sakit pada mulut dan demam.

 

Tidak semua individu yang dijangkiti penyakit ini akan mengalami tanda dan gejala yang sama. Sesetengah kanak-kanak mungkin hanya mengalami ruam merah atau lepuh pada kulit atau luka pada mulut. Sebilangan kanak-kanak lain mungkin dijangkiti tanpa kehadiran sebarang tanda atau gejala.

 

Masa yang paling kritikan ialah pada minggu pertama jangkitan. Pada masa ini ia mudah menjangkiti individu lain, walaupun tiada tanda-tanda yang nyata. Mungkin individu itu hanya mengalami demam, dan mula bersin dan batuk, dan menyebarkan virus tersebut.

 

HFMD boleh berulang pada individu yang sama kerana seperti yang tellah dijelaskan, penyakit HFMD disebabkan oleh beberapa jenis virus di dalam kumpulan enterovirus. Jangkitan kedua mungkin disebabkan oleh virus yang berbeza.

 

Wanita hamil boleh dijangkiti HFMD dan setakat ini  tiada kajian menunjukkan kesan kepada bayi dalam rahem. Namun bayi yang dilahirkan oleh wanita yang dijangkiti HFMD, anak yang dilahirkan ada  mendapat jangkitan penyakit HFMD ketika proses melahirkan anak.

 

Jadi secara kesimpulan, apabila seorang individu dijangkiti virus HFMD, ia boleh mengalami:

 

  1. Demam yang rendah dan kemudian baik sendiri kerana daya tahannya yang kuat. Ibubapa mungkin tidak menyedari anak mereka telah dijangkiti virus HFMD. Individu ini boleh menyebarkan virus tanpa disedari oleh sesiapa.

 

  1. Demam dan kemudian keluar semua tanda-tanda lain seperti ruam merah, lepuhan dan luka pada kaki, tangan dan dalam mulut. Ia mudah dikenalpasti. Dengan rawatan yang betul, individu ini akan kembali sihat mungkin selepas seminggu atau beberapa minggu, bergantung pada daya tahankanak-kanak itu.

 

  1. Bagi individu yang mempunyai daya tahan yang lemah atau virus terlalu agresif (highly virulence) jangkitan virus ini boleh menyebabkan komplikasi seperti jangkitan pada paru-paru (pneumonia) atau selaput otak (meningitis).

 

Dalam kes kematian, setakat ini 6 Ogos 2018 terdapat dua kes kematian di Pulau pinang dan di Sarawak.  Di Pulau Pinang, seorang bayi lelaki berumur 17 bulan meninggal dunia pada 6 Jun lalu selepas tiga hari dirawat di sebuah hospital swasta di Bayan Lepas. Pada 28 Julai lalu, seorang kanak-kanak lelaki berumur dua tahun meninggal dunia di Hospital Sibu akibat jangkitan penyakit sama.

 

 

  1. Adakah ubat untuk penyakit ini?

 

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai kemudahan untuk melakukan ujian ke atas virus penyakit ini, namun pesakit HFMD didiagnosa melalui kewujudan tanda klinikal penyakit HFMD seperti demam, ruam dan luka pada kaki, tangan dan mulut. Ujian makmal dengan pemeriksaan darah kebiasaannya tidak diperlukan, kecuali dalam kes-kes yang teruk.

 

Oleh kerana kebanyakan HFMD boleh baik sendiri (self-limiting disease) akibat jangkitan virus, tiada rawatan (antibiotic) khas untuk membunuh virus penyakit ini.  Rawatan bagi penyakit ini adalah simptomatik atau berdasarkan tanda dan gejala yang berlaku, bertujuan untuk rehidrasi dan bagi mengurangkan suhu badan (akibat demam).

 

Jangkitan penyakit ini selalunya menyebabkan jangkitan ringan dan ianya sembuh dengan sendiri dalam tempoh 7-10 hari apabila ketahanan atau imuniti tubuh terbentuk. Sebab itu penting membentuk daya tahan pesakit terutama kanak-kanak yang masih belum mempunyai daya tahan yang kuat dengan pemeberian air yang mencukupi, makanan yang bernutrisi dan suplemen seperti vitamin C dan E.

 

Enterovirus boleh hidup beberapa hari atas permukaan dalam suhu bilik. EV71 adalah virus tanpa selaput, maka ianya amat sukar untuk dimusnahkan oleh suhu persekitaran biasa. Kajian menunjukan virus EV71 di atas permukaan plastik yang didedahkan kepada persekitaran panas dan lembap masih berupaya menyebabkan penyakit dalam masa 3 hari.

 

Oleh itu kebersihan rumah, taska dan tempat awam harus diberikan perhatian. EV71 adalah lali kepada banyak jenis disinfektan (cecair pembunuh kuman) . Kaiian menunjukkan cecair yang mengandungi 95% ethanol diperlukan untuk membunuh 99.99% virus EV71. Bahan pencuci tangan yang mengandungi 75% ethanol, begitu juga cecair pencuci tangan yang mengandungi 0.5% chlorhexidine gluconate in 70% isopropanol TIDAK berkesan membunuh virus EV71

 

Oleh kerana tiada ubat yang khusus, bagi menguruskan pesakit HFMD yang ringan di rumah, saya cadangkan:

 

  1. Pesakit hendaklah mendapat rehat yang secukupnya;
  2. Diberi ubat untuk mengurangkan demam dan sakit mulut;
  3. Galakkan pesakit meminum air dan mengambil makanan bernutirisi
  4. Memantau bagi mengenalpasti gejala yang serius.

 

Tanda-tanda HFMD yang serius dan perlu segera dibawa ke hospital adalah:

  1. Sakit kepala, pening dan ketegangan pada tengkuk
  2. Rasa cepat marah, mengantuk dan menjadi keliru;
  3. Sawan atau pergerakan tak normal;
  4. Pernafasan cepat atau menjadi pucat; atau
  5. Lesu dan tidak aktif
  6. Demam yang kuat

 

Sekiranya kanak-kanak tersebut mempunyai tanda-tanda begini, ianya perlu dimasukkan ke hospital segera.

 

  1. Bagaimana mahu mencegah?

 

Orang ramai, terutamanya yang mempunyai anak-anak kecil mengambil langkah berjaga-jaga berikut untuk mengurangkan risiko mereka dijangkiti:

  1. Basuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan, selepas menukar lampin dan mencuci najis kanak-kanak.
  2. Tutup mulut dan hidung semasa batuk dan bersin.
  3. Jangan berkongsi barangan peribadi seperti berus gigi, sapu tangan, tuala, selimut, cawan, garpu, dan sudu.
  4. Sentiasa mengekalkan kebersihan di rumah, pusat penjagaan kanak-kanak, tadika dan sekolah, dan persekitarannya.
  5. Basuh semua alat mainan dan permukaan meja, kerusi, lantai, dan sebagainya, yang telah tercemar dengan air liur kanak-kanak.
  6. Bawa kanak-kanak ke klinik atau hospital terdekat jika mereka mempunyai tanda-tanda atau simptom jangkitan.
  7. Ibu bapa dinasihatkan agar tidak membawa anak-anak mereka ke tempat awam yang ramai seperti kolam renang, pasar, pusat membeli-belah, stesen bas, dan lain-lain.
  8. Ibu bapa kepada kanak-kanak yang menunjukkan tanda-tanda atau gejala jangkitan, jangan menghantar kanak-kanak tersebut ke pusat jagaan kanak-kanak, taska, tadika atau sekolah. Kanak-kanak yang sakit harus dibawa ke klinik untuk rawatan.

 

Bagi menghalang sebaran virus HFMD, langkah-langkah tersebut perlu diambil oleh pengusaha dan penjaga kanak-kanak di taska / tadika / tabika / pra-sekolah;

 

  1. Sentiasa memastikan kebersihan premis terutama peralatan yang digunakan oleh kanak-kanak dengan membersihkan dan menyahkuman meja, kerusi serta alatan mainan kanak-kanak tersebut. Ia hendaklah dilakukan sekurang-kurangnya dua kali sehari, sebelum dan selepas sesi harian;
  2. Membuat saringan di pintu masuk bagi memastikan kanak-kanak tiada tanda-tanda jangkitan HFMD. Kanak-kanak dengan gejala dinasihatkan untuk tidak hadir ke sekolah bagi mengelakkan jangkitan kepada kawan-kawannya;
  3. Sentiasa mengamalkan kebersihan diri termasuk mencuci tangan selepas menguruskan seorang kanak-kanak sebelum mengendalikan kanak-kanak lain;
  4. Membersihkan dan memastikan kebersihan tandas dengan menggunakan larutan campuran klorin;
  5. Memastikan lampin pakai-buang dibuang dalam tong sampah bertutup; dan
  6. Melaporkan kluster HFMD kepada pejabat kesihatan daerah berhampiran untuk tindakan kawalan dan pencegahan.

 

 

  1. Adakah vaksin membantu mencegah penyakit ini?

 

Pada pendapat saya vaksin bukanlah jawaban bagi masalah wabak HFMD ketiga ini.

 

  1. Vaksin yang dicadangkan adalah vaksin yang baru, belum ditentukan sama ada ia selamat atau tidak. Kita tidak mahu vaksin anti denggi yang digunakan oleh kerajaan Filipina dan menyebabkan banyak kematian selepas vaksin itu diperkenalkan. Kemudian penggunaan vaksin itu dihentikan.

 

  1. Kos bagi vaksin bukan suatu yang murah. Ia mungkin perlu diulang suntik beberapa kali sebelum ia benar-benar berjaya.

 

  1. Jumlah kanak-kanak yang perlu divaksin terlalu ramai. Setiap tahun beratus ribu bayi yang dilahirkan. Ia belum tentu berkesan.

 

  1. HFMD bukanlah penyakit yang berbahaya kecuali dalam kes-kes tertentu. Banayak cara yang lebih murah dan selamat boleh dilakukan untuk mencegah virus-virus ini disebarkan.

 

  1. Cara terbaik menangani wabak seperti ini adalah dengan cara kurantin dan tidak membawa individu yang dijangkiti (terutama kanak-kanak) ke tempat awam terutama di mana ramai kanak-kanak. Ada individu yang mungkin telah dijangkiti tetapi tidak menunjukkan tanda-tanda ruam dan luka pada kaki, tangan dan mulut mereka masih boleh menyebarkan virus-virus ini. Jadi cuba minimakan pergerakan anak-anak kecil kerana mereka mungkin akan jadi mangsa atau memangsakan kanak-kanak lain.

 

Rujukan:

 

  1. Blog, From the Desk of the Director-General of Health Malaysia. Soalan Lazim (FAQ) Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (Hand, Foot and Mouth Disease, HFMD). July 30, 2018

 

  1. Centre of Disease Control and Prevention. Hand Foot and Mouth. https://www.cdc.gov/hand-foot-mouth/about/transmission.html

 

 

Semoga bermanfaat.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: