Doktor, kenapa anak saya tak mahu makan?

eat

 

” Doktor, saya mempunyai seorang anak berumur 1 tahun 6 bulan. Apa yang merisaukan saya ialah anak saya agak sukar untuk makan.Beliau hanya makan apabila benar-benar lapar, itu pun satu dua suap saja. Saya pernah memberikan anak saya vitamin untuk menambah selera makan beliau, tetapi nampaknya tidak berkesan. Saya amat risau apabila anak saya kelihatan kurus, walaupun beliau aktif.”

 

Dr Zubaidi Hj Ahmad: Wa alaikum mus salam. Masalah anak yang agak sukar untuk makan agak biasa berlaku, terutama apabila umur beliau memasuki umur setahun.

 

Banyak punca anak mempunyai masalah ini. Jika anak puan sihat dan telah mendapat pemeriksaan doctor, maka ada beberapa langkah yang puan boleh ambil untuk mengurangkan masalah ini.

 

1. Kebiasaannya kanak-kanak mempunyai sikap memilih makanan. Ada makanan yang tidak disukai dan ada beberapa makanan yang amat disukainya.

Jangan memaksa anak anda mencuba makanan yang baru, sentiasa menyediakan makanan kegemarannya. Cuma pastikan makanan itu berkhasiat.

 

2. Jangan cuba memujuk anak anda dengan menjanjikan sesuatu jika dia menghabiskan makanan yang diberikan. Ada ibu yang berjanji akan memberikan anak mereka gula-gula atau coklat jika menghabiskan makanan yang diberikan. Ini adalah satu langkah yang silap, kerana kanak-kanak itu akan menjadi lebih gemar kepada gula-gula atau kek, bukannya makanan yang disediakan. Ini menyebabkan mereka menjadi peminat makanan yang tidak berkhasiat.

 

3. Cuba sediakan makanan yang nampak sedap dengan menghiasakan makanan itu dengan warna-warna terang seperti meletakkan lobak merah dan sayuran-sayuran berwarna yang lain. Pastikan makanan itu mempunyai warna yang terang dan menarik.

 

4. Galakkan anak untuk memakan dengan lebih banyak. Sekiranya beliau tidak dapat habiskan makanan itu , jangan paksa dengan memarahi atau mengugut. Jangan berikan wajah yang marah dan risau apabila anak tidak dapat habiskan makanan atau tidak mahu makan. Kanak-kanak ada kalanya akan sengaja tidak mahu makan untuk menarik perhatian ibubapa mereka.

 

5. Jangan memberikan makanan yang sama sepanjang hari. Walaupun kanak-kanak sepatut makan tiga kali sehari, tetapi mereka juga harus diberikan makanan lain selain nasi, sekurang-kurangnya dua kali dalam sehari. Makanan selain daripada nasi seperti keju, biskut ‘whole-grain’,yogurt, epal dan strawberi kisar boleh diberikan kepada mereka.

 

6. Sekiranya kanak-kanak itu masih tidak mahu makan nasi yang biasa dihidangkan, jangan paksa. Berikan makanan selain nasi dengan lebih banyak (pastikan ia berkhasiat) setelah beberapa jam kemudian.

 

7. Ketika menyediakan makanan, beritahu anak bahawa hidangan sedang disediakan, sekurang-kurangnya 15 minit lebih awal. Ada sesetengah kanak-kanak mengambil masa yang lebih lama untuk membina selera, terutama sekali sekiranya mereka tengah asyik bermain.

 

8. Pilih masa makan yang tetap kerana ini membantu kanak-kanak menjadi lebih mudah lapar apabila waktu yang ditetapkan tiba.

 

9. Makan bersama ahli keluarga yang lain dan jadikan sesi makanan sebagai satu aktiviti keluarga yang ceria. Makan bersendirian akan mengurangkan selera mereka.

 

10. Jangan bertelagah dan marah-marah ketika makan. Jadikan suasana makan sebagai suasana yang santai dan menggembirakan.

 

Wallahu a’lam.

Leave a Reply

error: Content is protected !!