Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Umum » Diabetic Neuropathy: Kerosakan Saraf di Kalangan Pesakit Diabetis

Diabetic Neuropathy: Kerosakan Saraf di Kalangan Pesakit Diabetis

Bagi pesakit diabetis, pernahkah kulit kaki anda berasa sakit apabila menyentuh sarung tilam di katil? Atau tiba-tiba jantung berdegup laju ketika anda rehat? Atau jika anda seorang lelaki, anda tidak mampu lagi menunaikan tanggungjawab sebagai suami bersama isteri kerana ‘mati pucuk’?

Semua masalah ini biasa diceritakan oleh pesakit diabetis akibat kerosakan saraf yang dikenali sebagai diabetic neuropathy. Hampir  separuh pesakit diabetes mengalami kerosakan saraf akibat beberpa faktor yang akan disebutkan nanti.

Sebelum itu elok juga jika saya sebutkan bahawa dalam tubuh kita terdapat beberapa jenis saraf. Diabetes akan merosakkan saraf-saraf ini bergantung kepada jenisnya, iaitu:

  • Peripheral Neuropathy, iaitu kerosakan saraf yang menjaga deria rasa dan pergerakan otot di bahagian tangan, jari, kaki dan jari kaki;
  • Autonomic Neuropathy, iaitu kerosakan saraf yang menjaga organ yang kita tidak dapat mengawal pergerakan organ ini. Contohnya saraf yang menjaga degupan jantung, tekanan darah, ransangan seksual dan berpeluh.

Jika kerosakan saraf ini menjadi lebih teruk, ia akan menjejaskan kesihatan tubuh secara keseluruhan.

Oleh itu untuk menghalang kerosakan ini menjadi lebih teruk, amat penting bagi pesakit mengawal kandungan gula dalam tubuh.

Banyak kajian mendapati bahawa jika seseorang pesakit diabetik mampu mengawal kandungan glucose dalam darah dengan baik, dan pesakit diabetik itu mengalami kerosakan saraf di peringkat awal, maka kerosakan saraf yang lebih teruk dapat dihalang sebanyak 60%, malah akan menggalakkan proses penyembuhan.

Sayang sekali ramai pesakit diabetik yang tidak mengetahui bahawa mereka telah mula mengalami diabetik neuropathy kerana mereka tidak diberitahu, sehingga akhirnya mereka mengalami kerosakan saraf yang amat teruk dan dimasukkan ke hospital.

Maka saya akan memberitahu tahu tanda-tandanya agar kerosakan saraf ini dapat dicegah dan dikawal di peringkt awal.

 

Tanda-tanda kerosakan saraf Peripheral Neuropathy

Kerosakan saraf Peripheral Neuropathy selalunya menyebabkan kerosakan saraf yang menjaga deria rasa pada tangan dan kaki.

Kerosakan ini bermula pada bahagian jari kaki atau jari tangan dan kemudian akan melarat ke bahagian kaki dan tangan dan seterusnya ke bahagian betis dan lengan. Maka pesakit boleh berasa:

  • Rasa sesemut bermula di jari kaki atau jari tangan.
  • Rasa kebas iaitu tidak dapat merasakan sejuk, panas atau sakit pada kaki dan tangannya.
  • Rasa seperti dicucuk-cucuk jarum
  • Rasa lemah otot pada lengan dan mengalami kesukaran untuk bergerak tangannya atau lemah pada betis/peha dan mengalami kesukaran untuk menggerakkan kakinya
  • Rasa tidak dapat mengimbangi badan apabila bangun dari berdiri
  • Rasa amat sensitif pada sentuhan yang lembut
  • Luka pada kaki dan tangan yang lambat sembuh

Maka pesakit diabetis harus selalu memeriksa kaki, terutama di bahagian celah-celah kaki. Ini kerana pesakit diabetic tidak perasan jika mereka mengalami luka dan kecederaan di situ lalu mengabaikan luka itu sehingga ia menjadi lebih parah dan membusuk.

Tanda-tanda kerosakan saraf Autonomic Neuropathy

Saraf Autonomic akan memastikan sistem tubuh berfungsi dengan baik. Kerosakan saraf ini akan menyebabkan tubuh badan pesakit diabetis ’serba tidak kena’. Mereka merasakan keganjilan yang merisaukan terjadi dalam tubuh mereka.

Tanda-tandanya:

  • Erectile dysfunction (mati pucuk)- tidak boleh mengeraskan zakar ketika berjima’ kerana tiada lagi tindak balas terhadap rangsangan sentuhan pada zakar.
  • Kerap mengalami jangkitan air kencing dan sukar menahan kencing kerana saraf yang mengawal pundi kencing telah rosak
  • Mengalami masalah penghadaman, loya, muntah dan kembung perut secara tiba-tiba kerana saraf dalam perut telah rosak dan gagal mengawal pergerakan peristalsis usus.
  • Pesakit berasa pening dan mahu pitam bila berdiri kerana saraf yang mengawal degupan jantung tidak dapat memberikan tindak balas apabila pesakit bertukar posisi
  • Pandangan kabur apabila keluar dari kawasan gelap ke kawasan terang atau keluar dari kawasan terang masuk ke kawasan gelap kerana saraf yang mengawal anak mata tidak berfungsi dengan baik.

Sayangnya perubahan sebegini tidak dapat dijelaskan oleh sesetengah doctor yang kurang berpengalaman. Pesakit diperiksa dengan lebih kurang dan diberitahu tidak mengalami apa-apa sakit.

Maka pesakit akan berjumpa ‘perawat yang mendengar’ (bomoh) dan akhirnya pesakit percaya yang dirinya mungkin telah dirasuk oleh jin atau disihir oleh musuhnya.

Selain itu terdapat dua jenis lagi kerosakan saraf.

Diabetic amyotrophy, iaitu kerosakan saraf yang mengawal otot besar. Pesakit diabetik akan merasakan otot peha merasa sakit dan lemah. Mereka mengalami kesukaran untuk berdiri dari kedudukan mencangkung atau memanjat tangga.

Adakalanya kerosakan saraf hanya melibatkan satu saraf saja. Keadaan ini dinamakan focal neuropathy. Sebagai contoh kerosakan saraf hanya melibatkan facial nerve iaitu saraf yang menjaga deria rasa di bahagian muka. Pesakit akan rasa kebas pada setengah muka mereka.

Risiko bagi mendapat Diabetic Neuropathy

1. Kandungan gula yang tinggi.

Pesakit diabetis yang tidak mengawal kandungan glucose dalam darah dengan baik selama 10 tahun mempunyai risko yang tinggi untuk mendapat kerosakan saraf.

Namun begitu setiap mereka mempunyai nasib berbeza antara satu sama lain.

Ada pesakit diabetis selama 20 tahun, namun tiada kerosakan saraf. Selalunya pesakit ini menjaga kandungan glucose dengan baik dengan tidak lupa makan ubat, melakukan riadah dan menjaga pemakanan.

Tetapi ada pula pesakit diabetis yang baru mengalami diabetis kurang dari 10 namun telah mengalami kerosakan saraf yang teruk. Ini semua bergantung kepada kesungguhan menjaga paras glukose dalam darah.

 

Pesakit diabetic seharusnya mempunyai motivasi yang tinggi, bersemangat untuk mengawal kandungan glucose dalam darah, mengamalkan program riadah yang bersesuaian dan menjaga pemakanan.

Namun jika kandungan glucose masih tidak dapat dikawal dengan baik, haruslah berjumpa doctor agar ubat yang lebih baik dapat diberikan.

 

2. Mengalami Diabetes melebihi 10 tahun.

Pesakit diabetis seharusnya memeriksa gula dalam darah di rumah sekerap yang mungkin. Jangan mengharap pemeriksaan gula di hospital yang dilakukan sesekali.

Isu ini telah saya tuliskan dalam http://drzubaidi.com/blog/?p=1720.

Selain itu pemeriksaan darah HbA1c perlu dilakukan sekurang-kurangnya dua kali setahun. Ia akan memberitahu secara purata tahap kawalan gula 2-3 bulan sebelum ini.

Bagi mereka yang tidak dpat mengawal kandungan glucose dengan baik, seelok-eloknya pemeriksaan HbA1c dilakukan setiap 3 bulan.

 

3. Pesakit diabetes yang obese.

Ramai pesakit diabetes bermula dengan masalah kegemukan. Diabetes dan obesiti adalah kombinasi yang akan meninggikan risiko untuk mengalami kerosakan saraf, akhirnya menyebabkan serangan sakit jantung atau stroke.

Walau bagaimana pun mengurangkan berat badan bukanlah sesuatu yang mudah. Ia dapat dilakukan dengan cara pemakanan yang betul dan senaman.

 

4. Pesakit diabetic yang mengalami tahap kolestrole yang tinggi.

Kebanyakan pesakit diabetic juga mengalami masalah tahap kolestrole yang tinggi dalam darah, terutamanya triglycerides dan LDL yang tinggi yang menyebabkan risiko serangan sakit jantung.

Pemeriksaan tahap kolesterol harus dilakukan sekurang-kurang setahun sekali bagi lelaki sihat, namun bagi pesakit diabetis selalunya dinasihatkan melakukannya dua kali setahun.

Tahap kolestrole yang normal
mg/dL: mmol/L:

Total cholesterol

Normal < 200 < 5.1
Borderline 200 – 239 5.1 – 6.1
Tinggi > 239 > 6.1

LDL cholesterol – kolesterol ‘jahat’

Optima < 100 < 2.6
Normal 100 – 129 2.6 – 3.3
Borderline 130 – 159 3.3 – 4.1
Tinggi 160 – 189 4.1 – 4.8
Terlalu tinggi > 189 4.8

HDL cholesterol – kolesterol ‘baik’

Rendah (tidak bagus) < 40 < 1.0
Tinggi (bagus!) > 60 > 1.5

Serum triglycerides

Normal < 150 1.7
Borderline 150 – 199 1.7 – 2.2
Tinggi 200 – 499 2-2 – 5.6
Sangat tinggi > 499 > 5.6
* Jadual ini diperolehi dari American Heart Association.

 

5. Pesakit diabetic yang merokok.

Nikotine pada rokok boleh menyebabkan kerosakan pada saraf dan saluran darah. Gabungan nicotine dan gula akan menyebabkan kerosakan saraf dan salur darah secara berganda.

 

6. Pesakit diabetis yang meminum arak (alcohol).

Alkohol boleh menyebabkan kandungan glucose dalam darah sukar dikawal. Selain itu alcohol juga merosakkan saraf secara langsung.

Walaupun banyak laporan perubatan dari barat membenarkan pesakit meminum tidak lebih dari 2 gelas sehari, namun lebih baik untuk meninggalkannya. Kita sebagai Muslim tentunya bersyukur kerana meminum arak bukanlah sebahagian dari budaya kita, maka mudah bagi kita untuk menjauhinya.

Kesimpulannya, untuk mengelakkan kerosakan saraf, pesakit diabetic haruslah mengawal kandungan glukose dan kolestrole dalam darah, mengurangkan berat badan, menghentikan tabiat merokok dan menjauhi arak.

Inilah lima perkara asas yang harus dijaga untuk mengelakkan diabetic neuropathy.

 

Wallahu a’lam.

 

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad

7 comments

  1. assalamualaikum doctor!
    terima kasih atas info yg berguna ini. My mother in law (70+ years old) sering juga sakit-sakit saraf seperti disentap. menghidap diabetis almost 30years… ingatkan sakit saraf ni xda kaitan dgn diabetis

    thank you so much 🙂

  2. Salam Dr,
    Saya ingin bertanya. Saya tidak ada kencing manis atau darah tinggi tapi bahagian dagu terasa kebas. saya ada sakit gigi yang lama iaitu sebulan lebih dan saya ada mengambil ubat yang dibeli di kedai. apakah sebab berlakunya kebas.

  3. Assalammualikum Dr.,

    Suami saya sorg pengidap diabetis type 2. Alhamdulillah kami sempat dikurniakan seorg anak perempuan yg comel. Sy inginkan anak yg kedua, tetapi tiada sedikit pun air mani yg terhasil. Adakah ada kaitan dgn saraf? Harap Dr. boleh membantu.

  4. assalamualaikum
    dr.saya mengalami masalah seperti yang dr terangkan. ada apa- apa ubat terkini yang boleh saya ambil untuk tujuan penyembuhan . buat masa kini saya mengunakan ammitypelin sebagai ubat penahan sakit dan tremedol.

    Ada tak apa – apa vitamin untuk support.

    Harap dr dapat membantu, terima kasih

  5. mohamed nasuha

    Assalamualaikum Dr,

    Saya seorang pesakit diabetes type 2. Telah berkahwin tetapi masih belum mempunyai anak. Saya mendapat sejak dari tingkatan 3 (sekarang 29 tahun) dan hanya mendapat rawatan ( insulin dan metformin) pada tahun 2010. Saya masih boleh mencapai ereksi tetapi tiada langsung air mani yang terhasil. Adakah saya masih mempunyai harapan untuk mendapat anak. Adakah apa-apa rawatan atau ubatan yang dapat membantu saya.

  6. Salam Dr.Saya salah seorang pengidap diabetis meliutus tahap 2.Mempunyai kolestrol jahat dlm badan yg tinggi.Kesan sekarang yg paling ketara adalah susut badan yg agak cepat.Awal tahun 2010 72 Kg sekarang 62 kg.Makan ubat kolestrol Lseric 2 biji setiap mlm.Makan diet control.Cuma skrg kesan saraf pd tubuh mula ketara spt kebas/sakit/mencucuk..Rujuk pd Dr di Poliklinik Kerajaan spt dlm blog Dr(barang kali mereka ini kurang pengalaman) jd kebanyakkan ubat yg diberi hanya magnesium.Pertanyaan saya adakah apa2 ubatan yg boleh di beli di farmasi atau lain2 tpt yg sesuai utk pesakit diabetis dan saraf.Sebelum ini saya ada juga membeliproduk2 makanan kesihatan tp tidak byk pun perubahan..tg jumpa kebanyakkan utk rawatan ereksi sja

  7. alhamdulillah,ayah saya pesakit kencing manis dan semakin sembuh dengan mengamalkan produk shaklee. Kalau ada kawan2 nak cuba boleh la contact saya..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top
error: Content is protected !!