Demam suatu musibah atau rahmat?

Saya sering didatangi oleh pesakit yang demam. Demam bukanlah suatu penyakit tetapi lebih kepada tanda-tanda kewujudan penyakit dalam tubuh.

Sungguhpun ia hanya suatu tanda, tetapi sudah cukup untuk menyebabkan seseorang yang demam merasa menderita akibat rasa tidak sedap badan, kurang berselera makan, sakit kepala dan tubuh dan malah ada yang menggigil.

Saya pernah ditanya, “Sebagai seorang doctor Muslim, adakah doctor berpendapat bahawa kita perlu mengambil ubat demam? Bukankah itu kifarah dosa?

“Jadi apa tujuan tuan datang berjumpa saya? Untuk menerima rawatan atau hanya bertanya hukum?” soal saya pula.

“Kedua-duanya, doctor..”

Saya merasakan ia seolah-olah soalan perangkap. Entah apa tujuannya bertanyakan hukum agama pada saya yang berkelulusan MBBS saja.

Jika tuan menganggap ubat yang saya akan beri memberikan kesembuhan secara total, maka tuan berdosa. Ia mendekati syirik kecil. Tetapi jika tuan menganggap ubat itu sebagai alat untuk mendapat kesembuhan dan hanya dengan keizinan ALLAH, tuan akan sembuh, maka hukumnya harus..”

Pertanyaan saya, apakah mendapatkan rawatan untuk demam itu dibenarkan, kerana demam ini kifarah dosa..” soalnya bertubi.

Tuan, bukankah kita dibenarkan mencari ubat, apatah lagi jika dengan kesihatan yang baik, kita dapat menyempurnakan ibadah?”

Saya sengaja tidak membawa dalil, walaupun saya tahu bahawa ada sebuah hadis mengenainya. Sabda Rasulullah s.a.w ,diriwayatkan oleh Abu Darda’ :

Sesungguhnya Allah Ta’ala menurunkan penyakit dan ubatnya dan dijadikan bagi setiap penyakit itu ubatnya, maka berubatlah kamu dan jangan sekali kali berubat dengan sesuatu yang haram

Demam, lebih dikenali oleh masyarakat perubatan sebagai pyrexia berlaku apabila suhu badan melebihi julat biasa 36.5–37.5 °C (98–100 °F). Demam bukanlah penyakit, tetapi tanda-tanda kewujudan penyakit dalam tubuh.

Ia merupakan satu tindak balas imunisasi yang normal. Demam akan merangsangkan system pertahanan dalam tubuh untuk membuat lebih banyak antibody dan sel darah putih untuk melawan jangkitan bacteria atau virus.

Walau bagaimana pun peningkatan suhu badan tidak semestinya menandakan seseorang itu mengalami demam, kerana ia boleh terjadi selepas aktiviti fizikal seperti berlari atau mengangkat benda berat.

Saya berpendapat, apabila seseorang itu mengalami demam, tidak semestinya perlu diberikan ubat bagi merendahkan suhu badan. Saya hanya memberikan ubat demam jika sekiranya :

  1. Pesakit mempunyai suhu badan yang tinggi melebihi 39 darjah celcius, terutamanya kanak-kanak kerana boleh mengakibatkan sawan.
  2. Demam yang berlarutan melebihi 3 hari, terutama sekiranya di kawasan yang diketahui mempunyai lapuran kes demam denggi, malaria atau sebarang penyakit bawaan nyamuk di kawasan sekitar.
  3. Demam yang menyebabkan pesakit tidak mampu menjalankan rutin kerjanya seharian, menyebabkan beliau terbaring, tidak mempunyai selera makan dan sangat lemah.

Banyak kajian mendapati demam sangat penting dalam system pertahanan tubuh. Suhu yang tinggi dalam tubuh dapat merencatkan pembiakan kuman-kuman bakteria atau virus.

Saintis juga mendapati bahawa demam memiliki beberapa fungsi penting dalam proses penyembuhan:

  1. Peningkatan pergerakan sel darah putih, leukocytes.
  2. Peningkatan proses phagocytosis oleh sel darah putih, leukocytes.
  3. Pengurangan kesan racun endotoksin yang dikeluarkan oleh kuman yang menyerang.
  4. Peningkatan pengeluaran sel T yang menjadi sebahagian dari system pertahanan tubuh.
  5. Peningkatan aktiviti antibody interferon yang sangat penting membunuh kuman bakteria dan virus.

( Rujuk: Fischler, M.P.; Reinhart, W.H. Fever: friend or enemy? Schweiz Med Wochenschr 1997; 127: 864-70)

Pada saya isu yang penting bukanlah pertanyaan ‘salahkah kita mendapatkan rawatan ketika demam’. Soalan yang penting ialah apakah sikap kita apabila diserang demam? Apakah kita perlu mengeluh atau merasa marah kerana menderita demam?

Demam adalah suatu ujian yang Allah berikan kepada hamba-hambaNYA yang terpilih bagi melihat amalan siapakah yang lebih baik, siapakah yang redha dengan ketentuanNYA dan siapakah yang mengharapkan pengampuananNYA.

Mengeluh dan bersikap marah ketika demam adalah reaksi biasa pesakit yang harus dielakkan ketika demam. Dibimbangi dengan bersikap begitu, kita seolah-olah mempersoalkan takdir dan ujian yang diberikan oleh NYA.

 

“Janganlah kamu mencaci-maki penyakit demam, kerana sesungguhnya (dengan penyakit itu) Allah akan menghapuskan dosa-dosa anak Adam sebagaimana tungku api menghilangkan kotoran-kotoran besi”.  (HR. Muslim no. 2575).

Ini adalah suatu peluang untuk kita menebus dosa dengan meminta ampun dari ALLAh atas kesalahan-kesalahan kita yang sengaja dan tidak sengaja, yang diketahui dan tidak diketahui, dan yang disedari dan tidak disedari.

Ambillah peluang ini dengan memperbanyakkan zikir dan istighfar.

“Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya, melainkan Allah akan mengugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang mengugurkan daun-daunnya”.    (HR. Bukhari no. 5660 dan Muslim no. 2571).

Kesimpulannya, jika demam mengganggu pesakit dari menjalani tugas sehariannya, terutama dalam menyempurnakan ibadah, maka carilah penawar demam. Jika tidak, bolehlah bertahan dan mengharapkan tubuh menjalankan proses penyembuhan secara semulajadi.

Sama ada kita mendapatkan ubat atau tidak, apa yang penting ialah sikap kita ketika diuji dengan demam. Bersabar dan redha atas ujian itu menandakan kita adalah muslim yang baik.

Wallahu a’lam.

Leave a Reply

error: Content is protected !!