Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Bina Keluarga » Buah Keladi untuk Masalah Ketidakseimbangan Hormon?

Buah Keladi untuk Masalah Ketidakseimbangan Hormon?

“Salam doktor, saya ingin bertanya. Isteri saya mengalami masalah yang berat iaitu beliau selalu keguguran. Doktor yang merawat memberitahu isteri saya mengalami kekurangan hormon progesterone, yang menjadi penyebab beliau selalu keguguran.


Doktor memberikan beliau ubat Susten 100 (Progesterone Soft gelatin Capsules) bagi memastikan kehamilannya dapat diselamatkan. Melalui pemeriksaan ultrasound, beliau sedang hamil 6+ minggu. Adakah makanan yang sesuai bagi membantu isteri yang sedang hamil ini?”


“Salam doktor, saya ingin bertanya adakah makanan tambahan yang boleh meningkatkan hormon progesterone dalam tubuh. Saya mengalami kitaran haid yang tidak teratur dan pernah gugur empat bulan lepas. Bolehkah keladi membantu merawat masalah ketidakseimbangan hormone saya?”


Wa alaikum mus salam, saya amat bersimpati dengan musibah yang puan hadapi. Ini semua ujian dari Allah bagi menguji keimanan kita. Dalam pada masa yang sama, janganlah kita berputus harap, banyakkan doa dan dapatkanlah rawatan dari doktor yang pakar.

 

Di pasaran kini terdapat banyak supplemen herba yang dikatakan dapat membantu masalah ketidaksuburan. Secara kebetulan pula, supplemen ini nampaknya berjaya walaupun tiada kajian yang kukuh. Ini bermakna supplemen itu bertindak sebagai placebo yang hanya memberikan kekuatan semangat dan mental, dan secara tidak langsung membantu merawat wanita yang bermasalah ini.

 

Saya berpendapat bahawa penggunaan herba akan menguatkan dan menyihatkan tubuh secara perlahan-lahan. Ia mengambil masa berminggu-minggu, ada kalanya berbulan-bulan. Ubatan atau supplemen herba tidak harus digunakan sebagai ubat yang merawat dengan memberikan kesan dengan cepat. Saya bimbang ubat herba yang memberikan kesan yang cepat sebenarnya telah dicampur dengan ubat-ubatan moden.

 

Oleh kerana kebanyakan penggunaan herba mempunyai bahan-bahan yang menyerupai ubat-ubatan moden, maka ia juga boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diduga. Oleh itu berhati-hatilah menggunakan herba.

 

Sebagai contoh bagi wanita yang mempunyai ahli keluarga yang menghidap penyakit kanser yang berkaitan dengan hormon seperti kanser payudara, kanser ovari atau kanser rahem haruslah mendapat nasihat doktor dahulu. Begitu juga jika wanita itu hamil. Supplemen herba boleh menyebab keguguran.

 

Saya juga pernah dengar buah keladi dikatakan membantu masalah ketidakseimbangan hormone. Ketika saya menghadiri satu seminar perubatan, seorang doktor bertanyakan kesahihan perkara ini kepada seorang pakar, kerana menurutnya soalan ini kerap ditanyakan oleh pesakit beliau.

 

Jadi elok juga saya membincangkan kelebihan buah keladi ini. Namun begitu perlu saya tekankan di sini, tiada kajian saintifik yang sahih mengenai perkara ini. Jadi sebelum mengamalkan apa-apa yang dibincangkan di sini, haruslah mendapat nasihat doktor dahulu.

 

‘Wild Yam’ dan kegunaan herba

Sesetengah herbalist (pengamal herba) mengatakan bahawa keladi yang dikenali sebagai wild yam, atau nama saintifiknya Dioscorea villosa dikatakan mempunyai kandungan bahan saponins yang menyerupai  dehydroepiandrosterone (DHEA), boleh ditukarkan kepada progesterone dan cortisone apabila dimakan.

 

Yam liar biasa digunakan sebagai ubat oleh puak Aztec dan Myan di Amerika Selatan.

 

Ia juga dikatakan mengandungi bahan-bahan seperti Phytosterols (beta-sitosterol), alkaloids dan Tannins yang menjadikan tumbuhan ini sesuai untuk merawat bengkak dan sakit perut.

 

Ia dikatakan membantu wanita yang mengalami ketidakseimbangan hormon terutama bagi wanita yang menghadapi masalah haids yang tidak teratur, ketidaksuburan dan mula memasuki fasa menopause.

 

Setakat ini belum ada kajian saintifik yang mengesahkannya. Bagi yang mahu mencuba, tidak menjadi masalah kerana ia berasakan tumbuh-tumbuhan (herba), bagi masalah kekurangan hormon, menghadapi masalah ketidaksuburan, polycystic ovarian cyst.

 

Cara  terbaik untuk merawat masalah kekurangan hormon progestron ialah mengambil supplemen yang dibekalkan oleh doctor.

 

Wallahu al’lam.

 

Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (111011)

 

Rujukan:

 

Bhandari MR, Kawabata J. “Bitterness and toxicity in wild yam (Dioscorea spp.) tubers of Nepal”. Plant Foods Hum Nutr. 2005;60(3):129-35.

 

Komesaroff PA, Black CV, Cable V, Sudhir K. “Effects of wild yam extract on menopausal symptoms, lipids and sex hormones in healthy menopausal women”. Climacteric. 2001;4(2):144-150.

 

Park MK, Kwon HY, Ahn WS, Bae S, Rhyu MR, Lee Y. “Estrogen activities and the cellular effects of natural progesterone from wild yam extract in mcf-7 human breast cancer cells”. Am J Chin Med. 2009;37(1):159-67.

 

Zava DT, Dollbaum CM, Blen M. “Estrogen and progestin bioactivity of foods, herbs, and spices”. Proc Soc Exp Biol Med. 1998;217:369-378.

Leave a Reply

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: