Bolehkah Saya Mengamalkan Duromine Ketika Hamil?

Menggunakan ubat-ubatan ketika hamil atau ketika menyusukan anak adalah tidak digalakkan. Tidak kiralah ubat-ubatan itu berbentuk herba, ubat-ubatan moden atau supplemen.

Banyak risiko yang mungkin terjadi jika seorang hamil menggunakan ubat-ubatan itu terutama yang dibeli dari kedai-kedai ubat atau dari peniaga di kaki lima. Jika berlaku sebarang kemudharatan, siapakah yang akan bertanggungjawab?

Isu ini telah saya bincangkan di blog https://drzubaidi.com/blog/?p=1482.

Salam Doktor, saya ingin bertanya pada doktor, saya baru disahkan hamil selama 5 minggu. Apa yang membimbangkan ialah saya ada mengambil pil duromine 30mg selama 6 hari tanpa mengetahui saya hamil. Adakah duromine akan menjejaskan kandungan saya? 

Wanita runsing.

Jika seorang wanita hamil atau menyusukan anak perlu memakan ubat atas sebab-sebab kesihatan, ia haruslah dengan nasihat doctor.

Saya sendiri seboleh-bolehnya cuba mengelakkan memberikan preskripsi ubat pada wanita hamil yang datang berjumpa saya, atas apa juga masalah kesihatan, kecuali apabila saya mendapati ubat yang saya berikan itu memberikan kebaikan melebihi mudarat .

Begitu juga dengan pengambilan ubat Duromine 30mg yang biasanya digunakan untuk mengurangkan selera makan bagi mengurangkan berat badan.

Duromine mempunyai bahan aktif Phentermine, yang merangsangkan neurotransmitter pada otak untuk mengurangkan rasa lapar.

Apabila seorang wanita hamil mengambil pil duromine, dia akan mengalami kurang selera makan sedangkan wanita hamil harus mendapat bekalan gula yang cukup sepanjang hari.

Tanpa mendapat bekalan gula yang secukupnya, saya bimbang mereka mengalami kekurangan gula dalam darah. Saya ada menulis mengenai bahaya kekurangan gula di kalangan wanita yang hamil di https://drzubaidi.com/blog/?p=2029.

Oleh itu saya menasihatkan wanita yang telah hamil atau merancang untuk hamil, maka elakkan menggunakan Duromine. Duromine dimasukkan ke dalam ubat kategori B.

Ini bermakna kajian klinikal telah dijalankan ke atas haiwan di makmal yang telah diberikan bahan aktif phentamine dan telah menunjukkan terdapat kesan buruk yang serius.

Namun setakat ini tiada data yang dikumpulkan menunjukkan perkara yang sama boleh berlaku pada bayi dalam rahem atau disusukan ketika ibu mereka mengambil Duromine.

Saya tidak dapat memberikan komen mengenai sebarang kecacatan yang bakal dialami oleh bayi dalam rahem. Apa yang perlu dilakukan ialah banyakkan doa agar Allah menyelamatkan bayi itu. Namun saya percaya lagi berharap semoga bayi puan berada dalam keadaan selamat.

Wallahu a’lam.

 

Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (181111)

One comment

  1. Herdalina Bt.Roslan

    salam Doktor, saya ingin membuat pertanyaan. Saya kini sudah hamil 7 bulan, bagaimana caranya untuk kita mengetahui kecacatan bayi ketika dalam kandungan.Adakah melalui scan 3D dapat mengesan kecacatan bayi tersebut dengan lebih tepat.

    -sekadar ingin mngetahui-

Leave a Reply

error: Content is protected !!