BOLEHKAH ANTIOKSIDA MENINGKATKAN SISTEM IMUNITI KITA?

 

Antioksida adalah suatu perkataan yang selalu digunakan bila kita membicarakan soal kesihatan dan kesejahteraan (wellness). Memang ada banyak kajian sains yang membuktikan bahawa antioksida mampu ‘melawan serangan’ radikal bebas yang menyerang dan merosakkan struktur DNA, sehingga ia menyebabkan penyakit kronik non-communicable disease dan sesetengah penyakit kanser tertentu. Terutamanya apabila melibatkan organ tertentu seperti kulit, mata, jantung, hati, saraf dan otak, dan ginjal. 

 

Bagaimana antioksida dapat membantu? Tubuh kita menghasilkan radikal bebas apabila kita menjalani fungsi tubuh yang normal. Tetapi jumlahnya sedikit. Ia dapat ditangani dan dikawal dengan mudah. Makanan yang kita makan menghasilkan sejumlah antioksida yang cukup untuk mengawal radikal bebas ini. 

 

Namun begitu, jika ditambah dengan sumber radikal bebas dari luar seperti sinar UV, asap rokok, pencemaran persekitaran, makanan yang berproses mengandungi pengawet, pewarna dan perasa, penggunaan bahan kimia dalam rumah untuk pembersihan rumah dan kegunaan kebersihan diri atau wap dari bahan bakar pengangkutan seperti petrol dan diesel (dan banyak lagi), tubuh tidak dapat lagi mengawal sejumlah radikal bebas yang semakin banyak ini. 

 

Radikal bebas ini merosakkan selaput sel-sel dalam tubuh, kemudian merosakkan struktur DNA dan enzim tubuh, menyebabkan kerosakan tubuh yang tidak dapat diperbaiki lagi. Proses ini dinamakan ‘oxidative stress’.  Banyak organ yang rosak jika ‘tahap serangan’ radikal bebas ini tidak dapat dikawal. Malah sistem daya tahan kita akan menjadi lemah, mudah mendapat jangkitan kuman terutamanya bakteria dan virus.

 

Antioksida saja yang berfungsi mengawal serangan radikal bebas ini. Oleh itu, ada kalanya kita memerlukan sumber antioksida tambahan dalam bentuk suplemen jika makanan yang kita makan dan tubuh kita tidak menghasilkan antioksida yang secukupnya.

 

Antioksida adalah nama yang diberikan secara am bagi bahan yang melawan radikal bebas. Ada banyak kategori antioksida, antaranya vitamin dan polifenol (ada kira-kira 8,000 jenis polifenol yang diketahui). Setiap antioksida mempunyai ‘kepakaran’ masing-masing. Ada yang bertindak menyerang terus pada radikal bebas, ada yang memperbaiki selaput sel dan struktur DNA yang rosak, dan ada yang merangsangkan penghasilan lebih banyak antibodi. 

 

Banyak lagi kepakaran mereka di peringkat selular. Ia ibarat ranking dan pasukan dalam Polis Di Raja Malaysia (PDRM). Ada pasukan Gerak Khas, pasukan Anti Narkotik, Pelacuran dan Judi, ada pasukan Jenayah Berat dan pelbagai lagi. Itu tidak kira pasukan yang ada dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempunyai pelbagai pasukan dalam tentera darat, tentera laut dan tentera udara. 

 

Jadi antioksida adalah kumpulan ‘askar dan polis’ dalam tubuh yang diperlukan untuk mempertahankan kekuatan tubuh dari penyakit. Oleh itu dalam pemilihan makanan, saya cadangkan makanan yang mengandungi banyak antioksida terutamanya vitamin dan polifenol. Antara yang saya cadangkan:

 

  1. Vitamin C

Vitamin C  atau dikenali sebagai asid askorbik adalah salah satu vitamin yang bertindak sebagai antioksida. Jadi ia sangat diperlukan dalam meningkatkan system daya tahan kita. 

  1. Ia bertindak sebagai ‘natural killer cells’ (NK) yang membunuh virus dan sesetengah bakteria dan menghalang tindakbalas karsinogen. 
  2. Ia bertindak seperti ‘sel neutrophils’ yang melawan jangkitan kuman bakteria
  3. Ia bertindak sebagai ‘sel ymphocytes’ yang menghasilkan antiboidi 
  4. Ia bertindak mengawal tindakbalas radikal bebas. 

Dalam banyak kajian, vitamin C membantu mengurangkan keterukan dan jangka masa jangkitan yang melibatkan saluran pernafasan. Dengan perkataan lain vitamin C sangat bagus untuk diamalkan oleh mereka yang kerap menghidap jangkitan virus pada saluran pernafasan dan bagi mereka yang sering mengalami alahan.  Banyakkan makanan yang mengandungi vitamin C seperti buah-buahan citrus, lada merah dan lada benggala, strawberi, brokoli dan tomato.

 

  1. Vitamin E

Vitamin E adalah bintang hebat (superstar) bagi meningkatkan sistem daya tahan tubuh. Ia bukanlah orang yang paling hadapan dalam mempertahankan system daya tahan tetapi yang memperkuatkan sistem daya tahan yang ada. Maknanya ia bukan saja sebagai pasukan gerak khas yang memusnahkan penceroboh (radikal bebas dan kuman) yang menyerang tubuh tetapi juga menghalang kerosakan oksidatif yang sedang berlaku, memperbaiki sel-sel yang telah rosak dan meningkatkan rangsangan penghasilan antibodi.  Oleh itu kekurangan vitamin E dalam tubuh kita bukan saja menyebabkan mendapat jangkitan kuman yang mudah, tetapi mudah mendapat penyakit kronik yang tidak berjangkit seperti diabetes, hipertensi dan serangan jantung.  Tambahkan makanan kita dengan  kekacang seperti buah badam, hazelnut, avocado, salmon, mangga. Untuk menggoreng, gunakan minyak sawit yang kaya dengan vitamin E.

 

  1. Beta-carotene

Beta-carotene adalah salah satu antioksida yang hebat dalam mempertingkatkan sistem daya tahan kita. Ia adalah bahan yang membangunkan vitamin A. Maksudnya tanpa beta-carotene, vitamin tidak mungkin dapat dibuat. Ia membantu sel-sel lymphocytes dalam menghasilkan antibodi seperti sel B dan sel T. Tubuh kita menukarkan beta-carotene kepada vitamin A.  Ia terdapat banyak dalam lobak merah, minyak sawit dan tomato. 

 

  1. Flavonoids 

Flavonoid adalah antioksida yang terdapat dalam tumbuh-tumbuhan. Ia memberikan warna, dalam masa yang sama bertindak sebagai antioksida yang mengawal kerosakan oksidatif akibat tindak balas radikal bebas, mengimbangkan hormon dalam tubuh, dan mempertingkatkan sistem daya tahan dengan bahan cytokines dalam tubuh. Flavinoid banyak terdapat dalam buah-buahan seperti berris (strawberries, blackberries, raspberries), pisang, epal dan pear, kekacang (walnuts, pecans) dan kacang soya, sayur-sayuran seperti tomato, bawang, seleri dan brokoli, teh hijau  dan spices seperti kayu manis.

 

  1. Selenium

Selenium juga penting dalam sistem daya tahan dengan bertindak sebagai antioksida. Ia bertindak merangsangkan enzim dalam tindak balas menghasilkan antibodi. Oleh itu enzim-enzim ini dinamakan ‘selenium-dependent enzymes’. Ia banyak dalam ikan laut dalam, telur ayam, produk tenusu, beras perang dan cendawan.

 

  1. Zinc

Zink adalah bahan yang penting dalam system daya tahan kita. Kekurangan zink dalam tubuh akan menyebabkan tindak balas antibodi yang lemah, dan penghasilan antibodi sel-sel T cells, dan sel-sel natural killer cells. Ia banyak dalam daging merah, makanan laut, kekacang, produk tenusu, telur dan ikan laut dalam.

 

Kesimpulan

Untuk meningkatkan sistem daya tahan kita, kita perlukan lima hingga sembilan antioksida yang banyak terdapat dalam sayur-sayuran dan buah-buahan yang kita boleh ambil dalam makanan kita. Begitu juga banyakkan kekacangan dan seed dalam kudapan kita. Ambil buah atau sayur yang sama setiap hari. Pelbagaikan. Jika tidak mampu atau tidak boleh mengambil sayur dan buah-buahan, boleh dapatkan suplemen dalam bentuk pil, serbuk atau softgel. Dapatkan nasihat dari doktor, ahli farmasi atau orang yang berpengetahuan.

 

Rujukan : 

  1. Bendich, A. (1993). Physiological Role of Antioxidants in the Immune System. Journal of Dairy Science, 76(9), 2789-2794. 
  2. Hughes, D. (2000). Dietary antioxidants and human immune function. Nutrition Bulletin, 25(1), 35-41.
  3. Somerville, V.S., Braakhuis, A.J. & Hopkins, W.G. (2016). Effect of Flavonoids on Upper Respiratory Tract Infections and Immune Function: A Systematic Review and Meta-Analysis. Advances in nutrition (Bethesda, Md.), 7(3), 488-97.

Dr Zubaidi Hj Ahmad

28 Ogos 2020

 

Leave a Reply

error: Content is protected !!