Berwaspada Memberikan Ubat pada Bayi Anda

Seorang ibu bertanya di kaunter farmasi.

Mana ubat batuk anak saya? Antibiotik? Macam mana nak baik kalau tak bagi ubat. Doktor jenis apa ni.. tak bagus!!”

Pegawai farmasi yang bertugas terus menelefon saya. Menceritakan kejadian itu setelah wanita itu pulang dengan marah-marah.

Biarlah orang yang kurang cerdik macam dia marah. Mungkin dia menyangka ubat-ubat itu penting untuk anak dia. Pada hal ubat-ubat itu boleh memberikan mudarat pada anak dia yang berumur 6 bulan itu” saya menerangkan hal sebenar.

Semenjak saya belajar kaunseling dan psychology, saya mendapati manusia akan meluahkan perasaan mereka berdasarkan satu sistem kepercayaan yang mereka pegang.

Jika mereka percaya ubat adalah segala-galanya untuk sembuh, mereka akan marah jika kita tidak memberikan mereka ubat, walaupun sebenarnya ubat itu hanyalah medium untuk penyembuhan.

Begitu juga orang tidak mahu makan ubat kerana mereka percaya sakit mereka adalah takdir yang ditentukan ALLAH dan mereka harus menanggung penderitaan sakit. Itu kepercayaan yang mereka.

Jadi jangan terperanjat jika manusia memberikan reaksi yang berbeza daripada apa yang kita percaya.

”Tetapi kenapa doktor tidak memberikan anak dia ubat antibiotik? Bukankah mengambil ubat adalah salah satu usaha tawakal seperti mana yang doktor beritahu dalam buku doktor ”Doktor, Saya Takut Jarum”?” tanya jururawat yang sering membantu kerja saya di klinik.

”Memang betul, ubat itu selalunya menyembuhkan. Tetapi ada kalanya ubat yang diberikan boleh memberikan mudarat jika ia tidak diberikan dengan betul”

”Lagi pun bayi kecil mempunyai organ tubuh yang kurang matang. Jadi jangan bebankan buah pinggang dan hati mereka untuk proses perkumuhan ubat itu jika ia tidak mendapat kebaikan dari ubat itu”

”Saya sebagai doktor kena imbangkan antara manfaat dan kemudaratan. Jika ia memberikan kemudaratan, maka saya tidak boleh memberikan ubat itu, walaupun ia adalah ubat. Saya berdosa”

Anak kecil biasanya mengalami kesan sampingan ubatan yang lebih besar berbanding orang dewasa. Jadi berhati-hati memberikan ubat kepada bayi walaupun ubatan herba.

Antara ubat-ubatan yang agak bahaya kepada bayi adalah:

1. Aspirin

Jangan sesekali memberikan ubatan yang mengandungi aspirin kepada si bayi anda atau sesiapa yang berumur 19 tahun dan ke bawah. Aspirin boleh menyebabkan kanak-kanak kecil menghidap Reye’s Syndrome, iaitu satu kesan sampingan ubat yang jarang berlaku tetapi boleh membawa maut.

Oleh itu berhati-hati dengan ubat-ubatan yang dibeli di kedai-kedai jamu kerana mungkin ia juga mengandungi aspirin. Baca label pada botol atau kotrak ubat dengan berhati-hati. Aaspirin juga ditulis sebagai ‘salicylate’ ataupun ‘acetylsalicylic acid’.

Ibubapa boleh bertanya doktor atau ahli farmasi jika tidak pasti akan sesuatu produk itu samada bebas aspirin atau tidak. Jika demam, anda boleh beri si kecil anda acetaminophen, paracetamol atau ibuprofen mengikut dos yang betul dengan nasihat ahli farmasi atau doktor.

2. Ubat batuk dan ubat demam

American Academy of Pediatrics (AAP) tidak membenarkan pemberian ubat batuk dan demam kepada anak-anak kecil terutama berumur 3 tahun ke bawah. Banyak kajian yang dilakukan membuktikan bahawa ubatan ini sebenarnya tidak membantu dalam melegakan batuk dan demam mereka.

Ubatan ini boleh memudaratkan apabila diberikan dalam dos yang berlebihan. Selain daripada kesan sampingan seperti menyebabkan mengantuk, sakit perut dan ruam, kanak-kanak yang diberikan ubat ini secara berlebihan boleh menderita dengan kesan sampingan yang serius seperti kadar jantung yang laju, sawan dan boleh menyebabkan kematian.

3. Ubat tahan muntah

Ubat tahan muntah tidak boleh diberikan kepada bayi dan kanak-kanak kecuali mendapat preskripsi dari doctor. Saya sendiri percaya ada kalanya muntah tidak perlu ditahan, kerana ia selalunya ia hanya sebentar dan akan pulih tanpa perlu diberikan ubat. Tambahan pula, kebanyakan ubat tahan muntah mempunyai kesan sampingan yang serius.

4. Memberi orang dewasa kepada bayi

Adalah merbahaya memberi bayi dan kanak-kanak ubatan orang dewasa walaupun dengan dos yang kecil, kerana ia masih dos yang tinggi bagi mereka. Oleh itu setiap ubat haruslah diberikan dos mengikut berat dan umur mereka.

5.Ubatan yang dipreskripsi untuk kanak-kanak lain.

Ubatan yang dipreskripsi untuk orang lain (contohnya adik-beradik) ataupun untuk rawatan penyakit lain, mungkin tidak efektif malahan mungkin berbahaya apabila ia diberi kepada si kecil anda. Berikan mereka ubatan yang dipreskripsi khusus buat mereka.

6.Ubatan yang tamat tempoh
Jangan simpan ubat-ubatan sekiranya sudah tamat tempoh, atau berubah warna. Penggunaan ubat-ubatan selepas tamat tempoh mungkin tidak lagi efektif malah boleh memudaratkan.

7. Ubat kunyah
Jika tablet kunyah diberikan kepada kanak-kanak ia boleh menyebabkan tercekik. Tanyakan kepada doktor atau ahli farmasi, dan sekiranya ia boleh dihancurkan dahulu dan letakkan ia di dalam sudu bersama makanan separa pepejal seperti yogurt atau pes epal.

Jadi jangan berikan sebarang ubat untuk anak dan bayi anda. Kebolehan mereka memanfaatkan ubat dan menerima kesan sampingan daripada ubat yang diberi sangat berbeza dengan orang dewasa. Dapatkan dulu nasihat doctor dan ahli farmasi.

Wallahu a’lam.

One comment

  1. Salam Doktor,

    Ubat yg doktor berikan diklinik GP tuh biasanya boleh tahan sampai berapa bulan? coz kadang2 takde pun tulis tarikh luput. terima kasih.

Leave a Reply

error: Content is protected !!