Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Fiqh Perubatan » Berusaha Yang Betul Tanpa Melawan Takdir

Berusaha Yang Betul Tanpa Melawan Takdir

“Doktor tahu ke kalau anak saya akan cacat?”

Saya terkedu dengan serangan itu. Umpama satu letupan akibat bedilan peluru berpandu ketika perang Iraq dulu.

Saya baru sahaja meng’update’kan status di wall, memberitahu akan menulis kebaikan folic acid kepada bayi yang berada dalam rahem. Serangan dalam ruangan chatting FB amat mengganggu perasaan saya.

“Maaf puan, saya tidak mengetahui. Semuanya dalam pengetahuan ALLAH”

“Haa..tahu pun. Jadi kenapa doktor pandai-pandai bagi nasihat tentang anak yang belum lahir?’

Saya menggeleng-gelengkankan kepala. Ini pemikiran puak mana?

Saya mengurut-ngurut dada. Saya percaya ini adalah wakil golongan Jabariyyah Melayu atau pembaca yang tiada asas pengetahuan agama, tetapi hanya menceduk ilmu dari sumber rambang sahaja.

Rezeki secupak tidak boleh menjadi segantang’ adalah antara contoh bagaimana masyarakat kita telah sekian lama diterapkan dengan pemikiran Jabariyyah.

Pemikiran Jabariyyah adalah sejenis pemikiran yang terkeluar dari aliran ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ). Ia dipopularkan oleh Ja’d bin Dirham di Basrah dengan mendakwa perbuatan hamba tidak memberikan kesan kepada takdir Allah. Ini termasuk segala perbuatan maksiat dan ibadah telah pun ditetapkan dan manusia hanyalah menurut ‘takdir’ tersebut.

Hal ini tentunya berlawanan dengan pemikiran ASWJ yang menyuruh manusia memilih perbuatan mereka, sama ada menuju kejayaan atau menuju kebinasaan. Di akhirnya Allah sahaja yang menentukan sama ada seseorang itu layak mendapat apa yang dihajati dan diusahakan.

Dalam satu hadis riwayat Anas bin Malik ra.: Sesungguhnya Allah Taala mengutus seorang malaikat di dalam rahim. Malaikat itu berkata: Ya Tuhan! Masih berupa air mani. Ya Tuhan! Sudah menjadi segumpal darah. Ya Tuhan! Sudah menjadi segumpal daging. Manakala Allah sudah memutuskan untuk menciptakannya menjadi manusia, maka malaikat akan berkata: Ya Tuhan! Diciptakan sebagai lelaki ataukah perempuan? Sengsara ataukah bahagia? Bagaimanakah rezekinya? Dan bagaimanakah ajalnya? Semua itu sudah ditentukan dalam perut ibunya. (Shahih Muslim No.4785) “

Walaupun Allah telah menetapkan segalanya, namun siapa yang tahu nasib kita adalah baik atau buruk? Bagaimana mahu mengetahuinya?  Tentulah dengan cara berusaha yang semaksimanya.

Inilah tanda bukti keadilan Allah. Allah memberikan kita akal yang mampu mempertimbangkan segala kesan yang kita perolehi dari usaha kita.

Setelah diberikan akal untuk, berfikir, lalu diberikan peluang untuk memilih. Pilihan inilah yang akan mempengaruhi kesan atau akibat dari usaha yang dilakukan.

Sebagai contoh, apabila seorang lelaki mahu menghilangkan rasa lapar. Dia harus berikhtiar memakan nasi, barulahlah usahanya bermanfaat.  Jika dia memakan pasir, walaupun dia berusaha tetapi ikhtiarnya menjadi sia-sia.

Kita harus berserah diri kepada Allah setelah kita berusaha dengan cara yang betul dan dengan daya yang maksima. Jadi percaya kepada takdir adalah perjalanan yang perlu disertakan dengan usaha yang betul, dan menerima apa sahaja hasil setelah kita berusaha. Ini lah juga konsep tawakal. Orang yang yakin pada takdir sebegini tentu sekali tidak takut untuk melaburkan masa, tenaga dan wang.

Dalam al-Qur’an banyak menceritakan bahawa maksud “bertawakal kepada Allah’’ adalah salah satu cara “melakukan usaha “. Malah Al-Qur’an memberitahu usaha-usaha yang baik dikira sebagai ibadah kepada Allah.

Nabi Ya’qub a.s. menasihati puteranya agar melakukan beberapa tindakan ketika memasuki kota, sebagai usaha tidak dikenali dan ditangkap, tetapi setelah itu beliau mengingatkan agar bertawakal kepada Allah. Inilah ayat yang membicarakan masalah tersebut:

“Dan Ya’qub berkata, ‘Hai anak-anakku, janganlah kamu masuk dari satu pintu gerbang, dan masuklah dari pintu-pintu gerbang yang berlainan, namun demikian aku tidak dapat melepaskan kamu barang sedikit pun dari (takdir) Allah. Keputusan menetapkan (sesuatu) hanyalah hak Allah; kepada-Nyalah aku bertawakal dan hendaklah kepada-Nya saja orang-orang yang bertawakal berserah diri’.” (Q.s. Yusuf: 67).

Inilah bukti besar bahawa usaha yang betul  harus dilakukan untuk mengharapkan kesan yang baik dan kemudian kita menerima takdir yang ditentukan dengan hati yang redha.

Jadi apabila ada yang mencabar saya supaya tidak melakukan sebarang usaha menyelamatkan bayi dalam rahem dengan teknik-teknik yang terbukti benar, saya merasakan itu adalah cabaran yang tidak perlu dilayan.

Apa yang saya harapkan adalah agar segala usaha untuk menyelamatkan nyawa adalah usaha yang diberikan ganjaran pahala.

Wallahu a’lam.

 

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad 130711

Leave a Reply

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: