Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Kehamilan » Berdarah hidung ketika hamil

Berdarah hidung ketika hamil

Wanita hamil lebih mudah mengalami pendarahan hidung berbanding wanita yang tidak hamil. Ketika hamil paras hormone wanita yang tinggi dalam tubuh akan menyebabkan saluran darah di hidung mengembang dan mudah pecah. Walaubagaimanapun, jangan risau kerana ianya tidak merbahaya.

“Doktor, saya sedang hamil 16 minggu. Saya ingin bertanya, kenapa agaknya saya mudah mengalami pendarahan hidung? Adakah normal jika waktu pagi hidung saya berdarah? Darah yang keluar tidak berapa banyak, cuma terjadi jika saya menghembuskan  hinggus. Terima kasih kerana sudi menjawab soalan saya”

Oleh itu saya selalunya memberikan saranan agar mereka menjalani pemeriksaan darah full blood picture. Ujian darah ini sangat mudah, malah di sesetengah pusat kesihatan, keputusan ujian darah ini  dapat diketahui dalam masa beberapa jam sahaja.

Jika pendarahan berulang atau keputusan full blood picture ini tidak normal, selalunya saya akan melakukan beberapa pemeriksaan lanjut atau merujukkan ke hospital awam.

Pendarahan hidung ini lebih mudah berlaku jika wanita hamil itu mengalami selesema, jangkitan sinusitis, alahan pada habuk dan makanan atau apabila selaput dalam hidungnya menjadi kering akibat berada dalam persekitaran yang kering seperti bilik yang mempunyai pendingin hawa (air-conditioned rooms).

Pendarahan hidung juga boleh berlaku akibat tekanan darah yang tinggi, masalah darah tidak dapat membeku (clotting disorder) atau demam yang kuat.

“Doktor, bolehkah saya letak daun sirih dalam hidung untuk menghentikan pendarahan? Ini petua nenek saya”

Nak tergelak saya mendengar pertanyaan itu. Saya terpaksa berterus terang bahawa saya tidak tahu khasiat daun sirih dalam menghentikan pendarahan hidung. Namun saya ragu-ragu tentang keupayaan daun sirih dalam menghentikan pendarahan dengan begitu cepat.

Saya lebih membuat kesimpulan, mungkin ianya secara kebetulan.

“Doktor, nenek saya kata kalau bedarah hidung, tarik cuping telinga dia..”

Saya senyum. Tak perlu saya menjawab.

Saya ada menyentuh isu ini ketika mengajar di kelas Pertolongan Kecemasan (First Aids). Ramai yang tidak menyangka, pendarahan hidung yang adakalanya berterusan, keluar seperti air paip yang mengalir. Keadaan sebegini tentu saja mencetuskan panik kepada pesakit.

Jadi bagaimana hendak merawat pendarahan hidung di kalangan wanita hamil? Sebenarnya ia tidak ada beza antara wanita hamil dengan wanita yang tidak hamil.

Jika pendarahan berlaku, mintalah pesakit duduk supaya dia dalam keadaan tenang. Posisi duduk juga dapat memastikan posisi hidung lebih tinggi aras daripada paras jantung. Posisi berbaring boleh menyebabkan pesakit menelan darah yang masuk melalui dalam tekak.

“Kalau dipicit hidungnya, bagaimana mahu bernafas?”

Sebelum membantu pesakit, berkomunikasilah. Beritahu pesakit bahawa kita akan membantu menghentikan pendarahan. Dengan menggunakan jari telunjuk dan ibu jari, tekan pada tulang hidung selama lima hingga sepuluh minit. Jangan lepaskan sehingga proses pembekuan ini tamat, jika tidak pendarahan hidung akan berulang.

Cuba dapatkan ais, balutkan di dalam saputangan atau tuala kecil dan tekapkan pada hidung. Ais yang bersifat sejuk akan membantu mengecutkan saluran darah. Jika tiada ais, sayur-sayuran yang disimpan dalam peti sejuk juga boleh digunakan untuk ditekapkan pada hidung.

Jika pendarahan tidak berhenti selapas 10 minit, ulangi semula selama 10 minit lagi. Jika masih tidak berhenti, pesakit haruslah dibawa berjumpa doktor untuk pemeriksaan darah dan rawatan yang lebih agresif. Pendarahan hidung yang disebabkan oleh kecederaan kepala adalah kecederaan yang serius.

“Dapatkah pendarahan yang kerap dielakkan?”

Bagi wanita hamil yang kerap mengalami pendarahan hidung, pemeriksaan lanjut haruslah dijalankan. Ini kerana pendarahan hidung adalah bukan penyakit sebenar. Ia adalah gejala (symptom) bagi penyakit yang lebih besar.

Jika pemeriksaan doktor telah dijalankan, dan doktor mendapati pendarahan hidung itu tidak disebabkan oleh penyakit-penyakit berbahaya, maka tiada apa yang perlu dirisaukan.

Ini kerana sesetengah wanita mudah mengalami pendarahan hidung ketika hamil berbanding dengan wanita lain. Banyaklah bersabar di atas ujian ini.

Mungkin beberapa langkah berikut dapat mengurangkan pendarahan itu. Antaranya :

  • Minum air yang secukupnya bagi mengekalkan kelembapan pada selaput mucous pada dalam hidung.
  • Hembuskan hidung secara perlahan-lahan.
  • Buka mulut ketika bersin tetapi lindungi orang di sekeliling dengan menggunakan sapu tangan.
  • Elakkan dari bekerja dalam persekitaran kering (seperti dalam bilik berhawa dingin) terlalu lama dan elakkan dari habuk dan asap, termasuk asap rokok.
  • Jika hidung terlalu kering, boleh dapatkan ubat titik saline dari farmasi untuk dititikkan ke dalam hidung. Ini membantu selaput mucous dalam hidung menjadi lembap.
  • Bagi mereka yang mengalami resdung, menggunakan ubat titik hidung untuk gejala selesema dalam jangka masa yang lama boleh menyebabkan hidung menjadi kering. Elakkan penggunaan ubat ini kecuali atas nasihat doktor.

Wallahu a’lam.

 

Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (251111)

5 comments

  1. Assalamualaikum…terima kasih untuk ilmu yang sangat berguna ini….blog dr ni sengaja saya masukkan dalam link blog saya agar dapat ikuti setiap artikel terkini…harap dr izinkan lah ya…

    • Assalamualaikum…terima kasih untuk ilmu yang sangat berguna ini….blog dr ni sengaja saya masukkan dalam link blog saya agar dapat ikuti setiap artikel terkini…harap dr izinkan lah ya…

      Dr Zubaidi: Terima kasih kerana berkongsi pengalaman.

  2. as salam doktor… anak saya berumur 6 tahun. sudah 2 kali hidung dia berdarah. dia memang sensitif pada persekitaran yg berhabuk, cuaca sejuk dan selalu bersin @ hidung berhingus pada waktu pagi. bagaimana cara untuk mengatasi gejala hidung berdarah untuk kanak2. terima kasih

  3. thanks info2 nie…lega hati nie,risau tgk my isteri tetiba berdarah hidung..pi klinik pun ckp mcm nie jgk tp sebab x puas hati so google lahh…thanks so much

    • thanks info2 nie…lega hati nie,risau tgk my isteri tetiba berdarah hidung..pi klinik pun ckp mcm nie jgk tp sebab x puas hati so google lahh…thanks so much

      Dr Zubaidi: Terima kasih kerana berkongsi pengalaman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top
error: Content is protected !!