Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Umum » Berapa Lamakah Diperlukan untuk Puas Tidur?
Berapa Lamakah Diperlukan untuk Puas Tidur?

Berapa Lamakah Diperlukan untuk Puas Tidur?

Alhamdulillah, maha puji bagi Allah. Saya tidak mengalami masalah tidur sekarang. Sewaktu memulakan kerjaya sebagai doktor, tidur yang nyenyak adalah suatu kemewahan. Keletihan akibat tidur yang tidak mencukupi membuatkan saya stress fizikal dan mental.

Kini, letak saja kepala di bantal, otak saya terus masuk ke fasa rehat. Bila bangun tidur berasa puas. Mungkin beban kerja yang semakin berkurangan walupun tanggungjawab semakin bertambah. Saya tidak lagi on call di malam hari.

“Dan Dialah yang menjadikan malam sebagai pakaian bagimu dan tidur sebagai istirahat, dan dijadikan siang untuk bertebaran (mencari rezeki)”Al-Furqan:47

Bagi mereka yang terpaksa berjaga malam kerana maslahat umum seperti kerja sebagai doktor, kakitangan hospital dan pasukan keselamatan, cabaran berjaga dan bekerja di waktu malam telah menjadi lumrah. Saya memahami.

”Doc, boleh tak bagi saya tips-tips untuk tidur lena. Lately ni saya stress dan tidur saya terganggu” Tanya seorang rakan FB.

Ramai yang merasa tidak puas tidur dan ada pula yang mengalami masalah sukar untuk melelapkan mata. Saat saya menulis ini ada dua pertanyaan mengenainya di dalam inbox facebook saya.

Rakan-rakan fb merasakan mereka tidak cukup tidur. Apabila bangun pagi, tubuh badan mereka rasa letih seolah-olah waktu yang digunakan untuk tidur terlalu sedikit.

Saya tidak mahu menulis tentang tips tidur lena kerana ia boleh didapati di banyak laman web. Namun saya mahu berkongsi adab yang diajarkan oleh Rasulullah S.A.W.

  1. Sebelum dan selepas tidur baca doa tidur.
  2. Semasa tidur, kaki jangan menghadap ke arah Qiblat.
  3. Bacalah Tasbih Fatimah, iaitu membaca Subhanallah 33 kali, Alhamdulillah 33 kali dan Allahuakbar 33 kali.
  4. Bacaah  surah 3 Qul,  tiup ke tapak tangan dan sapu ke seluruh tubuh.
  5. Niat untuk bangun untuk bangun awal dan bersolat Tahajjud.
  6. Ambil wudhu dan solat witir sebelum tidur.
  7. Banyakkanlah muhasabah terhadap dosa diri kita dan mengharapkan ampunannya.
  8. Tidur mengiringkan badan di sebelah kanan dan tapak tangan di bawah pipi.

Saya minta maaf kerana tidak dapat memberikan sanad hadis bagi adab-adab tidur di atas. Jika ianya bersalahan harap dapat menegur saya. Semoga kita mendapatkan ketenangan sewaktu tidur.

Hudzaifah r.a. dan Abu Dzarr keduanya berkata : Adalah Rasulullah saw. jika akan tidur membaca : bismikallahumma ahya wa amutu(Dengan nama-Mu ya Allah aku hidup dan mati), dan apabila bangun tidur membaca ; alhamdulillahil ladzi ahyana ba’da ma amatana wailaihin nusyur(Segala puji bagi Allah yang menghidupkan aku kembali setelah mematikan aku dan kepada Allah akan bangkit). (Bukhari)

Selalunya mereka yang membaca doa ini adalah orang yang siap dan bersedia untuk tidur. Jadi jika kita bukannya pekerja yang terpaksa bekerja dan berjaga malam untuk kepentingan masyarakat, tentunya tidur dan bangun pada waktu yang tetap akan memberikan kita tenaga setelah rehat di malamnya. Saya percaya doa yang dibaca akan memberikan kekuatan pada siang hari.

”Suami saya tidur macam mayat. Kalau tidak saya set kan jam loceng pukul 6.00 am, tentu dia tak bangun sampai ke tengah hari..”

Melampau betul dia menggambarkan masalah suaminya. Tapi mungkin dia bercakap benar. Ada setengah orang yang terpaksa memerlukan bantuan jam loceng untuk bangun pagi. Tanpa jam loceng yang berdering pada waktu yang ditetapkan, mereka bagaikan tidak berdaya untuk terjaga dan bangun dari tidur.

Mereka masih lagi tidur lena walaupun jam sudah menunjukkan pukul 7.00 pagi. Ini bermakna tidur mereka tidak lena dan tidak memberikan kepuasan dan rehat yang cukup. Mereka masih perlu lagi masa untuk rehat (tidur).

Alasan kita rasa tidak mendapat tidur yang cukup. Kita tidak boleh bangun dengan sendirinya.Penggunaan jam loceng bermakna seseorang itu tidak ‘cukup tidur’ dan perlu dikejutkan. Begitu juga jika terpaksa minum kopi di waktu pagi untuk mencerahkan mata.

Tetapi jika kita mendapat tidur yang lena dan cukup, kita tidak memerlukan jam loceng atau memberi tekanan kepada isteri untuk mengejutkan kita. Sebaliknya tubuh kita akan memberikan rangsangan agar kita dapat terjaga sendirinya.

”Cukup kah tidur selama 6 jam?  Tak merbahaya kah?” soal ibu saya yang risau apabila melihat saya berkeadaan seperti mayat hidup.

Saya pernah tidur hanya 6 jam untuk dua hari ketika berada di Jabatan Pembedahan Kardiothorasik. Waktu itu nyawa pesakit bagaikan api lilin yang ditiup angin. Sentiasa perlu dimonitor.Para jururawat pula tidak  mahu mengambil risiko membiarkan pesakit di CICU tidak ’ditemani’ oleh doktor. Sentiasa bertanya ”doktor di mana?” walaupun doktor hanya ‘hilang’ kerana hendak melepaskan hajat di bilik air.

”Sebenarnya berapa jam yang bagus untuk kita merehatkan badan?” soal pesakit yang membawa anak lelakinya yang sering kelihatan letih dan tidur sepanjang hari.

Satu kajian yang dilakukan oleh National Sleep Foundation, Amerika Syarikat memberitahu ‘tiada jawapan yang standard untuk semua orang’.

Jumlah tidur yang diperlukan bergantung kepada faktor baka, umur, jantina dan jumlah masa tidur hari sebelumnya.

Namun sebelum menentukan berapa lama yang diperlukan untuk tidur, eloklah dilakukan pemeriksaan kesihatan kerana dibimbangi sifat kita yang dikatakan suka tidur berkaitan dengan penyakit yang selama ini kita tidak ketahui.

”Benarkah kekurangan tidur menyebabkan masalah kesihatan?”

Saya pernah membaca sebuah artikel dalam satu jurnal perubatan (saya sudah tidak ingat judulnya), menyatakan professional muda yang bekerja melebihi 10 jam sehari setiap hari akan mudah mendapat penyakit kronik.

Walaupun jumlah yang masa untuk tidur tidak ditetapkan, namun kekurangan tidur akan menyebabkan masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi, penambahan berat badan, mudah mendapat jangkitan kuman dalam badan, diabetes dan penyakit jantung. Kekurangan waktu tidur juga akan mengurangkan kualiti kerja dan mengganggu mood.

Kekurangan masa tidur akan memberikan kesan secara perlahan-lahan. Mengikut pengalaman saya selalunya selepas lima tahun, mereka yang kekurangan tidur akan mengalami masalah-masalah penyakit itu.

”Kalau begitu tidak salahlah saya tidur 12 jam sehari..” celah seorang remaja lelaki. Loyar buruk.

Walaupu kekurangan masa tidur akan menyebabkan masalah kesihatan, terlalu banyak tidur juga akan menyebabkan masalah yang sama. Terlalu banyak tidur bermakna tidur melebihi 8 jam sehari bagi dewasa. Jadi tidak ada alasan untuk bermalas-malasan.

Kajian yang dilakukan oleh National Sleep Foundation, Amerika Syarikat menunjukkan mereka yang tidur antara 6.5 jam sehari akan hidup lebih lama, berbanding dengan mereka yang tidur melebihi 8 jam atau kurang dari 6.5 jam sehari.

Kesimpulan bagi kajian ini menunjukkan masa yang lama untuk seseorang itu tidur ialah 8 jam. Tidur yang tidak mencukupi ialah kurang dari 6.5 jam sehari. Pilihlah waktu tidur antara keduanya.

”Bagaimana hendak tahu tempoh yang baik untuk tidur bagi saya?”

Seperti yang disebut di awal tadi, tidak ada masa yang tertentu yang boleh digunakan oleh setiap orang. Semuanya bergantung kepada banyak faktor.

Cara terbaik untuk menentukan lama masa  tidur kita ialah dengan mengikuti langkah berikut. Katakan kita tidur pukul 12.000 am dan setiap pagi kita memerlukan jam loceng untuk terjaga dari tidur pada pukul 6.00am.

Bermakna kita tidak mendapat kepuasan tidur sepanjang malam. Cuba awalkan 15 minit waktu kita tidur keesokkannya. Tidur pukul 11.45pm dan cuba bangun pada waktu yang sama 6.00am.

Jika tidak berjaya, awalkan lagi masa tidur 15 minit setiap hari, sehingga kita benar-benar rasa puas untuk mendapat rehat. Jangan pula melebihi 8 jam atau kurang dari 6.5 jam. Biasakanlah dengan tempoh kita tidur. Insya Allah kita akan mendapat tidur yang nyenyak dan tubuh berasa bertenaga dan bersemangat, selain mengamalkan doa sebelum tidur dan selepas bangun tidur dan bacaan surah 3 Qul.

“Kalau masih lagi tidak puas walaupun tidur melebihi 8 jam dan susah terjaga dari tidur, bagaimana?”

Saya hanya tersenyum. Soalan ikhlas. Memang terdapat pesakit yang mengalami masalah yang sebegitu. Mudah rasa letih dan mengantuk saja.

“Doc, saya kalau tengok TV rancangan Berita Perdana, tak sampai setengah jam, saya dah lelap. Rasa mengantuk sangat”

Bagi mereka yang berbadan besar (obese) dan mengalami masalah tidur, saya mencadangkan agar berjumpa dengan doktor  kerana kemungkinan mengalami masalah sleep apnoea di mana pernafasan sering terhenti ketika tidur menyebabkan rasa mengantuk di siang hari.

 

Allhu a’lam

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (080111)

http://www.facebook.com/drzubaidi

http://drzubaidi.com/blog

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top
error: Content is protected !!