Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Ulasan Berita » Bayi Yang Hidup Disangka Mati Dan Dibungkus Dalam Plastik

Bayi Yang Hidup Disangka Mati Dan Dibungkus Dalam Plastik

Semua orang melakukan kesilapan. Namun kesilapan boleh dielakkan jika setiap orang mengikut peraturan yang ditetapkan. Dalam satu industri besar, kesilapan dapat dielakkan jika setiap pekerja menggunakan ‘standard of procedure’ (S.O.P) dan mengelakkan diri dari mengambil jalan singkat. Jika kesilapan masih berlaku, maka ia adalah kesilapan yang dimaafkan dan S.O.P itu harus dikaji semula.

Dalam dunia perubatan pula, kesilapan pasti berlaku atas pelbagai sebab antaranya kesilapan manusia. Doktor sebagai manusia juga mempunyai sikap yang suka mengambil ‘langkah lebih-kurang’. Sikap ‘cincai’ ini  adalah kelemahan yang akan menjerat nyawa pesakit dan juga masa depan doktor tersebut.

Ketika saya bekerja di hospital awam dulu, setiap bayi yang dilahirkan diperiksa secara teliti. Sebagai contohnya, bayi yang belum lagi buang air besar dan kecil tidak dibenarkan pulang, kerana dibimbangi mereka mengalami kecacatan fizikal.

Sudah tentu bayi yang mengalami kecacatan fizikal akan mula menunjukkan masalah setelah beberapa hari di rumah. Kebiasaannya ibubapa mula menyedari kecacatan ini apabila keadaan bayi telah menjadi teruk.

Keadaan ini dapat dielak jika setiap doktor mengikuti S.O.P ketika membenarkan ibu dan anaknya keluar dari wad. Walaupun mungkin ada gesaan dan tekanan untuk membawa pesakit segera, namun jika seorang doktor tidak mengikuti S.O.P yang ditetapkan dan secara kebetulannya, bayi mengalami masalah, sudah tentu doktor dan jururawat yang bertugas ketika itu akan dipersalahkan.

‘Ah, tak mungkin berlaku pada saya’ adalah suatu bisikan suara yang membuatkan doktor melakukan tugas secara cincai atau ‘lebih-kurang’. Kalau mengikut Murphy’s Law, “setiap yang boleh berlaku, boleh berlaku”. Jika satu kesilapan boleh berlaku, sudah tentu ia juga boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Kes yang sama berlaku di selatan China. Menurut laporan AFP, badan berkuasa di selatan China (Foshan, Guangdong)  sedang menyiasat satu ‘kesilapan’ sebuah hospital di sana. “Kesilapan” ini agak besar kerana ia melibatkan nyawa seorang bayi.

Pada 26 October 2011, seorang wanita bernama Liu Dong Mei yang sedang hamil lapan bulan, telah mengalami sakit perut dan pendarahan. Ketika dalam pemeriksaan, secara tiba-tiba bayi itu dilahirkan. Malangnya ia tidak menangis dan menunjukkan tanda-tanda dia tidak bernafas. Warna kulit bayi itu juga berubah menjadi biru.

Secara fizikalnya, bayi itu telah mati. Secara kebetulan, bayi itu seorang bayi perempuan dan di China, polisi kekeluargaan hanya membenarkan setiap keluarga mempunyai seorang anak, maka terdapat konflik dalam diri doktor dan ibu bayi sama ada mahu menyelamatkan bayi itu atau tidak.

Bayi yang mengalami kekurangan oksigen dan tidak menangis semasa lahir selalunya akan mengalami kecacatan otak dan hidupnya akan memerlukan bantuan sepanjang masa. Lebih-lebih lagi masyarakat di sana mungkin lebih suka anak lelaki berbanding dengan anak perempuan.

Jadi mungkin konflik sama ada bayi perempuan ini (yang mungkin telah mengalami kerosakan otak kerana tidak menangis ketika dilahirkan) perlu diselamatkan atau tidak, bermain di fikiran doktor dan staff yang bertugas.

Malangnya, soal ‘hidup dan mati’ bukanlah keputusan yang dibuat oleh doktor. Pihak hospital bukanlah pihak yang berhak menentukan sama ada seseorang bayi perlu diselamatkan atau tidak.

Tugas doktor dan hospital, ialah menyelamatkan setiap nyawa yang memerlukan bantuan dan biarlah keputusan ‘hidup dan mati’ ditentukan oleh Allah.

Doktor yang bertugas menyangka bayi itu telah mati. Bayi itu telah dibungkus dengan plastik dan disimpan dalam stor. Pihak hospital mendakwa, itu bukanlah standard of prosedure yang biasa digunakan untuk mendiagnosa suatu kematian.

Agensi berita Foshan News  melaporkan bahawa keluarga pesakit telah datang 30 minit kemudian dan meminta mayat bayi untuk diuruskan.  Mereka terperanjat apabila mendapati bayi yang berada dalam beg plastic itu didapati masih hidup. Dadanya kelihatan ‘berombak’ dan tangan kecilnya bergerak-gerak lemah.

Inilah yang berlaku. Pihak pengurusan hospital telah menghukum doctor dan jururawat yang bertugas dengan menggantung mereka bekerja. Sementara itu, bayi tersebut telah dihantar ke sebuah hospital lain dan nasibnya belum diketahui.

Semoga ia menjadi satu iktibar bagi kita. Wallahu a’lam.

 

Susunan: Dr Zubaidi bin Hj Ahmad ( 071111)

One comment

  1. T kasih doktor.

    Allahu rabbii…
    sedih membacanya dan terkenang beberapa peristiwa yang berlaku terhadap diri sendiri semasa di hospital.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top
error: Content is protected !!