Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Kehamilan » Bayi Mendapat Jangkitan Hepatitis B Ketika Ibu Hamil

Bayi Mendapat Jangkitan Hepatitis B Ketika Ibu Hamil

BAYI MENDAPAT JANGKITAN HEPATITIS B KETIKA IBU HAMIL 

Ramai pesakit hepatitis B yang mengalami penyakit hepatitis B tanpa mengetahui bahawa mereka mengalami penyakit ini dan tidak mempunyai tanda-tanda yang jelas.  Bagi seorang wanita yang hamil, jangkitan virus ini boleh menjangkiti anak mereka. Penyakit ini boleh menyebabkan penyakit hati yang serius, menyebabkan kanser dan menyebabkan kematian.

Oleh itu Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil berat terhadap isu ini. Apabila seorang wanita hamil melakukan pemeriksaan antenatal, antara pemeriksaan yang dilakukan ialah pemeriksaan darah untuk jangkitan virus hepatitis B (HBV).

Hepatitis B mudah berjangkit melalui darah, air mani dan lendiran badan. Pesakit hepatitis B mendapat jangkitan ini melalui:

1.            Hubungan kelamin bersama pesakit hepatitis B

2.            Ketika dilahirkan oleh ibu pembawa penyakit hepatitis B

3.            Berkongsi jarum atau tercucuk jarum tanpa sengaja, yang digunakan oleh pesakit hepatitis B

4.            Berkongsi pencukur dengan pesakit hepatitis B

5.            Melakukan tattoo atau tindik menggunakan jarum dikongsi dengan pesakit hepatitis B

Di peringkat awal, pesakit hepatitis B akan merasa letih, sakit abodomen, rasa loya dan muntah, tiada selera, sakit sendi dan kekuningan (jaundice), tanpa menyedari mereka mengalami jangkitan virus hepatitis B.

Antara soalan yang sering ditanya kepada saya ialah, apa yang harus dilakukan jika mereka disahkan mengalami jangkitan virus hepatitis B atau disahkan sebagai pembawa virus hepatitis B?

Saya sering menasihatkan wanita hamil agar tidak terlalu bimbang dengan masa depan mereka. Oleh kerana jangkitan hepatitis B tiada ada rawatan khusus, maka fokus rawatan adalah memberikan langkah pencegahan  agar bayi yang dilahirkan tidak diserang virus hepatitis B.

Ini kerana jangkitan virus hepatitis B boleh menjangkiti bayi yang dilahirkan ketika berada dalam rahem atau ketika proses kelahiran, di mana bayi mula berpisah dari uri (placenta). Oleh itu, bagai wanita hamil dan berpenyakit hepatitis B, doktor akan membuat persediaan lebih rapi untuk mengelakkan jangkitan virus itu kepada bayi yang dilahirkan. Mereka akan menyediakan ubat-ubatan dan vaksin dengan lebih awal. Jika tidak, kebarangkalian untuk bayi mengalami jangkitan viru adalah tinggi iaitu 95%.

Sebaik saja bayi dilahirkan , doktor akan memberikan ubat hepatitis B immunoglobulin (HBIG) yang melindungi bayi dari jangkitan virus hepatitis B. Rawatan ini hanya untuk sementara. Bayi kemudian akan disuntik dengan dos pertama vaksin hepatitis B. Kedua-dua suntikan ini mesti diberikan dalam masa 12 jam setelah dilahirkan.  Dos vaksin hepatitis B yang seterusnya akan diberikan mengikut jadual vaksin yang biasa.

Setelah bayi dilahirkan, ibu boleh menyusukan bayi mereka walaupun mempunyai penyakit hepatitis B. Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, US (Center for Disease Control and Prevention,CDC) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, (WHO), adalah selamat bagi ibu yang mempunyai penyakit hepatitis B menyusukan anak mereka, malah harus digalakkan kerana manfaat menyusukan bayi lebih tinggi dari kebarangkalian merebakkan virus melalui air susu ibu.

Lagi pun, dalam susu ibu sudah terdapat banyak antibody yang membantu melawan virus itu dan bayi itu telah diberikan rawatan immunoglobulin sebagai antibody tambahan dan juga telah disuntik dengan vaksin hepatitis B.

Wallahu a’lam.

Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (040612)

Rujukan:

  1. Hepatitis B FAQs for the Public — Transmission”. U.S. Centers for Disease Control and Prevention (CDC). Retrieved 2011-11-29.
  2. Chang, M. (2007). “Hepatitis B virus infection”. Seminars in fetal & neonatal medicine 12 (3): 160–167.
  3. Pungpapong, S.; Kim, W.; Poterucha, J. (2007). “Natural History of Hepatitis B Virus Infection: an Update for Clinicians”. Mayo Clinic Proceedings 82 (8): 967–975.

3 comments

  1. salam doc…saya sedang hamil 4bulan..
    Suami saya menghidap kanser hati yg masih dperingkat awal, adakah anak saya berisiko untuk mendapat hepatitis juga?

    dan, apakah langkah terbaik untuk saya lakukan sekarang? adakah memberitahu doctor sekarng, atau selepas anak itu dilahirkan nanti untuk suntikan vaksin untuk anak saya?

  2. slm doktor…..saya sedang hamil 5 bulan dan baru2 ini doktor mengesahkan saya menghidap penyakit hepatitis b…tapi belum tahu adakah saya pembawa penyakit ini ataupun dijangkiti…untuk pengetahuan doc saya menjalani ujian darah pada bulan september tahun 2011, tapi hanya bru2 ini pihak hospital dapat menghubungi saya sbb saya telah berpindah rumah…saya sangat sedih dan panik….saya juga mempunyai 2 org anak, adakah suami dan anak sya harus membuat ujian darah juga…? harap doktor dapat memberikan nasihat kepada saya…

Leave a Reply

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: