Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Umum » BATUK KERING

BATUK KERING

BATUK KERING

Batuk kering atau nama lain, Tuberkulosis (TB) merupakan jangkitan kuman yang dikenali sebagai ‘Mycobacterium tuberculosis’. Paru-paru merupakan organ pertama dan utama yang menjadi sasaran. Namun, organ lain juga turut boleh dijangkiti kuman ini seperti otak, tulang belakan/g, sendi dan lain-lain. Jangkitan ini juga boleh menjangkiti golongan dewasa dan juga golongan kanak-kanak.

PENYEBAB BATUK KERING

Penyebab utama tuberkulosis ialah kuman ‘Mycobacterium tuberculosis’. Jangkitan ini merebak melalui udara. Apabila individu yang menghidap tuberculosis batuk, bersin atau ludah, jangkitan ini akan menular di udara dan menjangkiti orang sekeliling. Hal ini kerana batuk kering merebak melalui titisan air di udara. Apabila bakteria berjaya masuk ke dalam badan, ia akan terus ke paru-paru dan lama-kelamaan akan bergerak menerusi saluran darah ke tempat-tempat lain di badan.

SIAPA YANG BERISIKO DIJANGKITI PENYAKIT INI?

Semua golongan boleh dijangkiti penyakit ini tetapi ada segelintir golongan yang sangat mudah menjadi sasaran bagi jangkitan ini. Hal ini kerana sistem imun badan mereka yang lemah. Golongan ini adalah mereka yang menghidapi penyakit HIV atau AIDS dan kencing manis serta mereka yang sebelum ini pernah dijangkiti kuman yang sama.

Penyebab utama hal ini berlaku kerana sistem imun mereka sudah pun menjadi lemah dan tidak mampu menyerang bakteria yang menembusi badan. Golongan bayi dan orang tua merupakan golongan yang berisiko tinggi. Tambahan pula, golongan yang mempunyai tahap nutrisi yang rendah dalam badan juga berisiko untuk dijangkiti kuman ini.

Selain itu, golongan yang harus pergi untuk pemeriksaan tuberkulosis ialah individu duduk serumah dengan pesakit tuberkulosis, individu dari negara lain dimana tuberkulosis merupakan sebuah penyakit yang kerap berlaku, staf-staf hospital atau klinik yang berdepan dengan mereka yang dijangkiti tuberkulosis.

TANDA DAN GEJALA

1. Batuk berterusan melebihi dua minggu
2. Batuk berkahak dan kadang-kala berdarah
3. Hilang selera makan dan susut berat badan
4. Demam
5. Sukar bernafas (Dispnea)
6. Berpeluh di waktu malam
7. Sakit dada
8. Suara serak

RAWATAN

Rawatan tuberkulosis memerlukan komitmen dan disiplin tinggi dari pesakit sendiri. Hal ini kerana untuk membendung jangkitan ini, pesakit perlulah memakan ubat mengikut jangka waktu yang ditetapkan. Selain itu, langkah-langkah untuk berhati-hati supaya jangkitan ini tidak merebak kepada orang lain haruslah diamalkan dengan efektif.

Langkah pertama ialah isolasi. Pesakit tuberkulosis haruslah diasingkan daripada pesakit lain apabila dimasukkan ke wad di hospital. Staf hospital yang ingin merawat atau memberi ubat kepada pesakit haruslah memakai sarung tangan dan topeng apabila mendekati pesakit.

Langkah kedua ialah ubat. Ubat yang akan diberikan kepada pesakit ialah isoniazide, rifampicin, pyrazinamide dan ethambutol. Pada mulanya, pesakit akan diarah mengambil keempat-empat ubat ini dan doktor akan kerap memantau perkembangan kesihatan pesakit. Sekiranya, pesakit semakin pulih, satu per satu ubat tersebut akan dikurangkan.

Pengambilan ubat harus dilakukan untuk 4-6 bulan. Sepanjang proses ini, pesakit akan dinasihatkan mengenai kesan negatif ubat-ubat yang diberi. Salah satu kesan negatif yang utama ialah kencing bertukar warna kepada warna oren atau merah-merahan.

Pesakit haruslah diberitahu mengenai kesan sampingan ini dengan lebih awal supaya mereka tidak panik. Ubat haruslah diambil dengan pengawasan staf perubatan untuk memastikan pesakit mengambil ubat seperti yang dinasihatkan.

Sehubungan dengan itu, sepanjang proses pengambilan ubat, pesakit akan berasa lebih sihat tetapi mereka haruslah mengambil ubat secara berterusan dan jangan meninggalkan pengambilan ubat walaupun sekali kerana ia akan membiarkan bakteria menjadi lebih kuat.

Anak kecil juga haruslah dipastikan tidak dijangkiti kuman ini pada usia yang kecil. Oleh itu, langkah pencegahan bagi anak ialah memberi vaksin BCG semasa lahir dan vaksin BCG juga merupakan satu kriteria wajib di negara kita. Vaksin inilah yang menjadi pelindung utama supaya mereka tidak dijangkiti kuman ini pada usia yang begitu kecil.

LANGKAH BERJAGA-JAGA

Jangkitan ini sememangnya sangat bahaya dan harus dibendung. Oleh itu, terdapat beberapa langkah yang efektif yang boleh diamalkan untuk bersama-sama menghindari daripada dijangkiti gejala ini. Langkahnya adalah seperti memakai topeng muka N95 yang sememangnya disarankan oleh kerajaan sebagai topeng paling efektif untuk jangkitan ini.

Seterusnya, mengamalkan 7 langkah mencuci tangan yang betul. Hal ini akan membantu membasmi kuman-kuman pada tangan kita. Selain itu, kita juga bolehlah memakai sarung tangan apabila mengendali pesakit seperti ini. Sekiranya, seseorang itu mahu batuk atau bersin, dicadangkan agar mereka menutup mulut sebelum berbuat demikian untuk mengelakkan bakteria merebak.

#HealthDrZubaidi

Leave a Reply

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: