Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Fiqh Perubatan » Bahayakah Demam Ketika Hamil?

Bahayakah Demam Ketika Hamil?

Setiap ujian dan musibah yang Allah s.w.t. timpa kepada hamba-Nya yang sabar dan redha, akan diberi pahala yang besar. Sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Darimi daripada Abdullah bin Amr, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Tidak seorang pun daripada kaum Muslimin yang terkena musibah pada jasadnya, kecuali Allah memerintahkan malaikat penjaga yang menjaganya seraya berfirman, “Tulislah untuk hamba-Ku ini, setiap hari dan malam kebaikan seperti kebaikan yang biasanya dia lakukan ketika dia tidak terkekang dengan belenggu-Ku.”

Saya amat tertarik dengan catatan  di atas. Indahnya agama ini kerana setiap ujian yang diberikan oleh-NYA tidak bermakna Allah membenci kita. Setiap mereka yang diuji dan bersabar dengan ujian itu akan diberikan kebaikan sama ada akan dirasakan di dunia atau di akhirat nanti.

Baru-baru ini, seorang rakan FB menulis email bertanyakan kesan sampingan yang bakal dihadapi apabila dia sering mengalami demam.

Namun apa yang menyentuh perasaan saya ialah beliau tetap sabar dan redha dengan ujian demam yang dihadapi disamping berusaha untuk merawatnya.

Hebat sungguh jiwa seorang bakal ibu ini. Semoga Allah mempermudahkan kehamilan beliau dan mendapat anak yang sihat dan taat kepada pencipta-NYA.

Abu Hurairah r.a berkata: “Tidak ada penyakit yang menimpaku yang lebih aku sukai daripada demam, sebab demam merasuk setiap organ tubuhku, dan Allah s.w.t. akan mengurniakan pahala bagi setiap organ tubuh yang diserang demam.”

Demam yang dihadapi oleh wanita yang hamil, memang merisaukan. Demam ketika hamil adalah sesuatu yang cuba dielakkan namun apabila diuji dengan gejala demam, mahu atau tidak, wanita yang hamil harus menerima dengan hati yang redha.

Demam sebenarnya tindak balas normal badan terhadap sebarang jangkitan kuman dan penyakit-penyakit lain. Ia bukanlah satu penyakit tetapi gejala yang selalunya menandakan seseorang mempunyai sesuatu penyakit.

Suhu badan normal bagi seseorang yang sihat ialah 37°C. Jika melebihi tahap ini, anda akan dikira sedang mengalami gejala demam.

Adakah demam memberikan kemudharatan pada wanita yang hamil? Setakat ini belum ada kajian yang sahih mengenai kemudharatan demam dan suhu panas terhadap bayi dalam rahem.

Cuma saya mahu menarik perhatian pada satu penulisan di dalam Journal of  Paediatric and Perinatal Epidemiology, yang mengatakan bahawa secara amnya, demam yang dialami oleh wanita hamil tidak memberikan apa-apa risiko kepada anak yang dilahirkan.

Ada kajian yang menunjukkan jika seorang wanita hamil mengalami demam melebihi 39.0 darjah Celcius sekurang-kurangnya tiga kali, yang disebabkan oleh jangkitan kuman pada pundi kencing (urinary tract infection), maka terdapat kemungkinan bahawa risiko bagi bayi yang dilahirkan mudah mengalami sawan adalah tinggi. Namun kajian ini agak lemah.

Walau bagaimana pun, janganlah terlalu risau kerana demam yang rendah (kurang dari 100.4 darjah Fahrenheit) adalah selamat dan tidak perlu dirisaukan walaupun masih lagi di awal kehamilan.

Namun demam yang agak tinggi (melebihi 103 darjah Fahrenheit atau 39.5 darjah Celcius) mungkin boleh memberikan kesan mudaharat pada bayi.

Ini kerana demam yang tinggi pada awal kehamilan, akan menjejaskan proses pembentukan fizikal bayi dan bayi yang dilahirkan mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat bayi yang mengalami masalah neural tube defects seperti spina bifida terutama jika demam itu berlaku ketika pembentukan saraf tunjang yang berlaku pada hari ke 20 hingga 28 selepas telur ovum disenyawakan.

(Saya ada menulis tentang permasalahan neural tube defect di http://drzubaidi.com/blog/?p=1038)

Malah ada beberapa kajian yang agak lemah menunjukkan bahawa suhu badan terlalu tinggi akibat demam boleh menyebabkan  keguguran. Hal ini juga boleh berlaku pada wanita yang mandi di dalam hot tubs atau sauna ketika hamil.

Di akhir kehamilan, perkembangan fizikal bayi telah terbentuk dengan lebih sempurna, maka gejala demam yang tinggi selalunya tidak membawa mudharat kecuali demam yang disebabkan oleh jangkitan dalam rahem (intrauterine infection).

Saya mencadangkan wanita hamil yang mengalami demam agar mengambil bacaan suhu yang betul. Adalah sukar untuk mengatakan seseorang wanita mengalami demam hanya dengan meletakkan belakang tapak tangan di dahi. Oleh itu gunakanlah thermometer agar dapat mencatat bacaan dengan lebih tepat.

Minumlah air suam kosong yang banyak. Demam akan membuatkan seseorang akan merasa cepat letih dan haus akibat dehidrasi. Oleh itu harus menambah jumlah air yang diambil ketika mengalami demam.

Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah s.a.w:

“Demam panas adalah daripada serpihan neraka, maka sejukkanlah ia dengan air” (hadis sahih al-Bukhari dan Muslim)

Berdoalah seperti yang diajarkan, “Dengan nama-Mu ya Allah, sembuhkanlah penyakit hamba -Mu dan benarkan bimbingan Rasul-Mu.”

Jika demam bersama-sama dengan loya dan muntah, bolehlah minum air secara sedikit demi sedikit menggunakan sudu.

Selain itu, wanita hamil yang mengalami demam boleh menuam dengan tuala basah.  Letakkan tuala basah pada dahi dan dada, membantu haba dari badan dikeluarkan dari tubuh dan mengurangkan demam.

Berjumpa dan berbincang dengan doktor yang merawat. Adakalanya punca demam dapat dikesan dengan pemeriksaan darah dan air kencing. Untuk meredakan demam dengan cepat, doktor mungkin akan memberikan ubat paracetamol yang selamat digunakan oleh wanita hamil dengan dos yang ditetapkan.

Saya ada menulis mengenai paracetamol dan kehamilan di blog saya http://drzubaidi.com/blog/?p=1308.

Bersabarlah ketika menghadapi ujian demam.

Di dalam kitab al-Sunan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa ia berkata:

“Suatu ketika ada orang membicarakan mengenai demam dekat Rasulullah s.a.w., tiba-tiba seorang lelaki mencela penyakit tersebut. Rasulullah s.a.w. bersabda (yang bermaksud): ‘Jangan mencela demam sebab demam dapat menghapuskan dosa sebagaimana api melenyapkan karat daripada besi.’” (Riwayat Ibn Majah)

Semoga demam sehari yang dihadapi dengan sabar boleh menghapuskan dosa setahun. Ameen.

Wallahu a’lam.

 

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (271211)

5 comments

  1. Hi Dr..anak saya baru berusia 6bulan..dan sekarang ni berkemungkinan saya mengandung sebab dah 2minggu lewat period..(belum buat urine test lagi) saya nak tahu apakah makanan yang sesuai untuk ibu yang hamil dan dalam masa yang sama masih menyusukan anak sepenuhnya (breast feeding)

  2. Assalamualaikumwbt

    Saya ingin berkongsi pengalaman saya semasa mengandung anak ke -3, ia merupakan kandungan yang dirancang pada hujun thn 2008 dan urine PT disahkan positive hamil pd Jan 2009.
    Saya mengalami batuk, selsema dan demam berlarutan selama lebih sebulan pd usia kandungan 8weeks hingga 12weeks.
    Saay terpaksa mengambil PCM , ubat batuk n selsema kerana dikhuatiri demam saya akan memudaratkan bayi dlm kandungan saya.
    Saay bertawakkal sahaja kerana saya telah berusaha utk menjaga kesihatan tetapi Allah Maha Berkuasa, Dia MAha Mengetahui …
    Bukan setakat demam sahaja, saya dimasukkan ke ward kerana ketone saya 3++…sedangkan saya mmg jenis yg minum byk air dan walaupun saya muntah dan less appetite pd masa itu tetapi saya mampu mengambil air yg banyak.
    Selepas saya discharge dr ward saya mengalami sakit gigi dan perlu dicabut serta leaking …
    Kemudian saya mengalami pendarahan selama 6 weeks pada usia kandungan 14weesk – 20weeks…
    NAmun , sebelum 2 weeks before pendarahan berhenti saya tetap kembali bertugas kerana khuatir beban kerja yg byk akan menyebabkan saya bertambah stress (bidang kerja saya agak berat)
    Alhamdulillah walaupun saya demam, batuk, selsema yg lama dan perlu mengambil ubat-ubatan tertentu dan diberi suntikan menguatkan rahim , bayi dalam kandungan tidak terjejas, malah tumbesarannya baik dan normal serta amat aktif.

  3. 1)Doktor saya sering mengalami kesukaran bernafas pada waktu malam dan kerap terjadi antara 4-5 hari seminggu.Pada waktu itu lendir akan terhasil dengan banyaknya dan apabila keadaan nafas pulih, lendir pejal seperti jelly keluar.adakah ini symptom2 asma @ cadagan terbaik doktor bagi saya.
    2)Saya mengidap selesma yg teruk dan saya ke klinik kerajaan dan doktor tidak memberi apa2 ubat pada saya dan padanya ubat membahayakan kandungan saya.Tetapi di klinik swasta saya telah diberikan Clorpheniramine Maleat 4gm.adakan sesuai untuk saya dan kandungan saya yang berusia 18minggu.

  4. sekarang saya demam dan kandungan dah 6bulan. yaAllah , mula2 saya rasa risau sebab kakak saya meberitahu demam semasa mengandung bahaya, tetapi saya tetap yakini Allah, dan berdoa, sya rasa badan terlalu panas, pergi klinik pun doktor kata demam biasa..hmmmm..takpelah.saya hanya fikir positif dan mungkin ia sebagai kifarah dosa saya,lebih lagi bulan Ramadhan ni. Baca blog doktor, menyejukkan jiwa saya sikit, bayi saya bergerak macam biasa. . . harap saya dapat melahirkannya dengan baik.

  5. doc, saya bru saja disahkan hamil 6 minggu.ini merupakan kehamilan kedua selepas 6 tahun usia anak pertama. sebaik sahaja mengetahui kehamilan ini yang kebetulannya dialami pada bulan ramadhan, saya sering mengalami seperti hendak demam (suhu badan suam² @ dedar), tidak bermaya serta mengalami gastrik pada waktu petang. adakah ia menyebabkan risiko pada saya mahupun bayi dalam kandungan.dan apakah saranan doc untuk saya meneruskan berpuasa yang cuma tinggal beberapa hari saja lagi ni.untuk makluman doc, saya berpuasa seperti biasa dan tidak mengalami alahan seperti muntah teruk seperti lazimnya wanita mengandung.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Scroll To Top