Advertorial
Home » Doktor Menjawab » Bahaya menggunakan Sauna selepas bersenam

Bahaya menggunakan Sauna selepas bersenam

 

Spa_sauna

Assalamu alaikum. Saya nak tanya dan minta pendapat doktor. Saya sedang mulakan aktiviti jogging setiap hari.selepas  joging dlm 10 minutes sy akan sauna dalam gym.Bolehkah kita ber-sauna setiap hari.Mohon pendapat doctor,terima kasih doctor

 

 

Ramai orang yang berpendapat bahawa sauna boleh mengurangkan berat badan. Apatah lagi jika sauna dilakukan selepas senaman kardio yang mengeluarkan peluh. Sudah tentu mesin penimbang berat badan akan menunjukkan pengurangan yang mendadak.

 

 

Tetapi adakah kita benar-benar kehilangan berat badan? Adakah yang hilang itu hanya kandungan air dalam badan atau lapisan lemak?

 

 

Sauna sebenarnya boleh memberikan kebaikan dan boleh mendatangkan keburukan.

 

 

Bayangkan puan telah bersenam dengan bersungguh-sungguh sama ada berlari di padang atau berada gym. Sudah tentu banyak peluh yang keluar. Apabila memasuki sauna, sudah tentu lebih banyak peluh akan keluar dari tubuh.

 

Setelah keluar dari sauna puan menimbang berat badan, dan mendapati berat badan sudah berkurangan. Ini disebabkan kehilangan air dalam tubuh, bukan kehilangan lemak. Kehilangan air mudah dilakukan sebanyak 2-3 kg, tetapi tidak lapisan lemak.

 

 

Lapisan lemak lebih sukar dihilangkan dan memerlukan pembakaran lemak melalui senaman yang bersungguh-sungguh.

 

 

Dalam keadaan ini, apa yang kita bimbangkan puan mungkin kehilangan air dalam badan yang terlalu banyak akibat senaman yang berat diikuti dengan sauna. Ini akan menyebabkan keadaan dehidrasi.

 

 

Dehidrasi akan menyebabkan puan kehilangan mineral dan menyebabkan puan akan mudah mengalami kekejangan otot dan rasa lemah badan. Puan juga mungkin akan berasa pening, dan berdebar-debar.

 

 

Nasihat saya ialah minum air secukupnya, sebelum, semasa dan selepas bersenam dan sauna. Ini kerana dianggarkan sebanyak 30g air yang hilang dalam masa seminit (MayoClinic.com).

 

Selain itu selepas bersenam akan menyebabkan suhu tubuh meningkat, sebab itu puan berasa panas, muka menjadi merah dan berpeluh dengan banyak.

 

Bayangkan selepas bersenam dan mengalami peningkatan suhu badan, terus memasuki sauna yang mempunyai suhu persekitaran yang panas. Peningkatan suhu badan akan menyebabkan rasa loya, penat dan pening.

 

Jika suhu dalam sauna tidak dikawal dan terlalu tinggi, puan mungkin mengalami ‘heat stroke’. Nasihat saya sejukkan diri dulu, dan tidak bersegera memasuki sauna selepas bersenam.

 

Bagi pesakit darah tinggi, senam juga akan menyebabkan tekanan darah akan naik secara mendadak kerana otot-otot jantung mengepam darah dengan lebih laju.

 

Dalam masa yang sama, seseorang yang berada dalam sauna juga akan mengalami tekanan darah yang lebih tinggi. Jadi berhati-hati jika puan mempunyai tekanan darah tinggi.

 

Saya mencadangkan agar puan berhati-hati ketika menggunakan sauna. Penggunaan sauna harus dihadkan pada masa tertentu, tidak boleh terlalu lama di dalam sauna. Jangka masa yang dibenarkan ialah antara 15-20 min, selepas itu keluar dulu dan kemudian sambung semula setelah badan tidak lagi merasa panas dan berpeluh.

 

 

Jika merasa tidak selesa, cepat keluar dari sauna. Bagi pesakit darah tinggi yang tidak terkawal, lemah jantung dan penyakit degupan jantung yang tidak normal, elok elakkan dari menggunakan sauna kecuali ada pemantauan yang ketat dari doctor.

 

Wallahu a’lam.

 

 

Leave a Reply

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: