Advertorial
Home » Doktor Menjawab » BAHAYA MENGAMBIL BERLEBIHAN PROTEIN

BAHAYA MENGAMBIL BERLEBIHAN PROTEIN

BAHAYA MENGAMBIL BERLEBIHAN PROTEIN

“Assalamualaikum, Dr Zubaidi. Saya ingin bertanya tentang pengamalan diet yang hanya memakan protein. Saya diberitahu ia bahaya. Mohon penjelasan. Terima kasih.”

Walaikumusalam. Terima kasih kerana bertanya.

Pengamalan diet yang tidak bertepatan dengan sunnah dan naluri perlulah dihindari. Walaupun diet sebegini memberikan kesan penurunan berat badan yang cepat, namun ia tidak boleh diamalkan secara berpanjangan. Kita memerlukan diet yang menepati keperluan tubuh, menepati naluri dan sunnah.

Lihat sajalah struktur susunan gigi kita. Jika kita bernaluri untuk hanya memakan daging sepanjang hidup, sudah tentu susunan gigi kita menyerupai gigi singa atau harimau. Gigi kita dicipta untuk mengerat (sayur-sayuran), mengoyak (daging) dan menghancurkan. Pencernaan kita mengandungi enzim yang menghadamkan karbohidrat (eg amylase), lemak (lipase) dan protein (proteases). Tubuh kita bersedia untuk melakukan proses pencernaan dan penghadaman terhadap pelbagai sumber makanan. Jangan hanya memakan satu jenis sumber makanan saja.

Pengambilan protein yang berlebihan bermakna mengambil lebih 35 peratus dari jumlah kalori yang diambil. Secara realitinya, ia bermakna pengambilan lebih 175 gram protein jika kita mengambil 2,000-kalori sehari.

Pengambilan makronutrien yang dicadangkan Acceptable Macronutrient Distribution Range (AMDR) adalah :

Pengambilan Protein : 10 – 35 peratus dari jumlah kalori  

Pengambilan Karbohidrate : 45 –  65 peratus dari jumlah kalori (termasuk sayur-sayuran dan buah-buahan)  

Pengambilan Lemak :  20 – 35 peratus dari jumlah kalori   Pengambilan mana-mana makronutrien lebih dari julat yang dicadangkan akan menyebabkan masalah penyakit kronik (Non Communicable Disease) dan kekurangan nutrient.  

Keperluan protein bergantung kepada individu. Ini disesuaikan untuk berat badan dan ketinggian, umur, keadaan kesihatan, dan aktiviti fizikal setiap hari. Walau bagaimanapun, keperluan protein harian sederhana berkisar dari 0.8-1 gram per kilogram (kg) berat badan. Oleh itu, jika anda berat 60 kg, keperluan protein harian anda adalah sekitar 48-60 gram.

Menurut Kadar Kecukupan Pemakanan yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan, wanita dewasa secara amnya memerlukan 56-59 gram protein setiap hari. Manakala lelaki dewasa pula memerlukan 62-66 gram protein setiap hari.

Seperti mana kita tidak menggalakkan pengambilan gula (karbohidrat) secara berlebihan, kita juga tidak menggalakkan pengambilan protein berlebihan dan dalam jangka yang panjang. Ia sangat memudaratkan kecuali dilakukan dalam jangkamasa yang pendek bagi mencapai penurunan berat badan. Paling lama saya cadangkan selama 3 bulan. Kemudian ubahlah diet kepada diet yang seimbang.

Ia menyebabkan keracunan protein di mana seseorang itu mengambil protein yang berlebihan, tetapi tidak cukup lemak dan karbohidrat untuk masa yang lama dalam dietnya. Keadaan ini juga dikenali sebagai “kelaparan arnab” atau mal de caribou.

Istilah ini bermula apabila penjelajah datang ke Amerika terpaksa bertahan hanya dengan makan daging arnab (daging tanpa lemak) untuk meneruskan kehidupan kerana tiada makanan lain yang diperolehi. Walaupun mendapat cukup kalori dari sumber protein, tubuh masih mengalami kekurangan zat makanan, terutama lemak dan karbohidrat.

Protein terdiri daripada asid amino yang akan dicernakan dimetabolismekan oleh hati dan ginjal. Proses metabolisme protein adalah proses memecahkan protein yang digunakan untuk menggantikan protein dalam tubuh. Apabila protein berlebihan, badan akan mengalami peningkatan tahap ammonia, urea, dan asid amino yang kemudian menjadi racun dalam darah. Walaupun dikelaskan sebagai jarang, keracunan protein ini boleh membawa maut. Oleh itu ia dikatakan sebagai keracunan protein.

Tanda-tanda ‘keracunan protein’ adalah :

  1. Mual
  2. Sakit kepala
  3. Mood tidak stabil
  4. Keletihan
  5. Tekanan Darah Rendah
  6. Kelaparan dan Keinginan untuk pelbagai makanan
  7. Cirit-birit
  8. Kadar Jantung Perlahan
  9. Dehidrasi

Tanda-tanda ini berkurangan apabila kita mengurangkan kandungan protein dalam makanan dan menggantikannya dengan pengambilan lemak sihat atau karbohidrat. Walau bagaimanapun, jika ia diamalkan berbulan-bulan ia boleh mengancam nyawa.

Oleh kerana keracunan protein ini berlaku kerana pengambilan protein yang berlebihan dan pada masa yang sama kekurangan lemak dan karbohidrat, saya cadangkan kurangkan pengambilan protein dengan tidak melebihi satu gram per kilogram berat badan dan tambah pengambilan lemak dan karbohidrat dari diet kita. Dengan itu kita mampu boleh merawat keracunan protein dalam badan.

Bagi anda yang ingin menjalankan diet protein tinggi, pastikan kita juga mendapat sumber makanan dari lemak dan karbohidrat.

Semoga menjawab soalan yang diajukan. Terima kasih.

#HealthDrZubaidi

Leave a Reply

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: