Bahaya Dehidrasi Ketika Hamil

“Teruk betul isteri saya hamil kali ini. Asyik muntah saja sampai badannya lemah…”

Saya tersenyum kerana rakan saya ini bercerita dengan bersungguh-sungguh.

Habis tu siapa yang masak di rumah?” saya menduga beliau.

“Makan kat kedailah doktor. Dia bukan saja lemah badan dan tak terdaya hendak masak, bau makanan dia pun tak boleh nak hidu..”

“Sekarang ini dia di mana?”

“Kat rumah. Sudah 3 hari terbaring di atas katil..”

“Kalau sudah terbaring  3 hari, itu sudah tanda bahaya. Kena bawakan ke hospital. Jangan dibiarkan tanpa rawatan. Berbahaya pada ibu dan anak dalam rahem”

Terbeliak mata dia mendengar penjelasan saya. Tidak sempat menjawab salam yang diberikannya, kelibatnya telah hilang, memandu kereta pulang ke rumah.

Dalam istilah perubatan, ‘dehidrasi ditakrifkan sebagai kekurangan air yang banyak dari tubuh’. Ia bukan masalah ringan. Dehidrasi yang teruk di kalangan wanita hamil boleh menyebabkan peningkatan suhu dalam tubuh dan seterusnya memberikan kesan negatif pada bayi di dalam rahem terutama ketika awal kehamilan.

Air dalam tubuh memainkan peranan penting ketika membuang bahan kumuh dari organ hati dan ginjal pada ibu dan bayi dalam rahem. Kekurangan air menyebabkan organ tersebut mengalami masalah menjalankan fungsinya. Oleh itu wanita hamil harus mengelakkan diri dari dehidrasi kerana ketika hamil.

Dehidrasi boleh berlaku pada bila-bila masa sepanjang tempoh kehamilan. Namun ia selalunya pada awal kehamilan apabila usia kehamilan kurang 12 minggu (fasa trimester pertama) akibat fenomena morning sickness.

Apabila mereka mengalami muntah, banyak cecair badan yang keluar dari tubuh mereka. Ini akan menyebabkan dehidrasi. Apatah lagi wanita itu tidak mempunyai selera untuk makan dan minum sepanjang tempoh itu.

Pada fasa kehamilan trimester kedua dan ketiga pula, dehidrasi berlaku apabila wanita hamil mengalami sakit dan demam, pergerakan fizikal yang terlalu aktif, bekerja atau tinggal di dalam cuaca panas, atau tidak cukup minum air. Dehidrasi akan merangsangkan rahem untuk mengalami kontraksi dan wanita hamil akan berasa sakit perut  seolah-olah mahu melahirkan.

“Doktor, ketika berpuasa saya sering mengalami rasa contraction di bahagian bawah abdomen. Adakah itu tanda bahaya?”

Memang tidak dinafikan apabila kita berpuasa, kita mengalami  dehidrasi sama ada sederhana atau teruk. Dehidrasi yang sederhana boleh menyebabkan kontraksi rahem, sementara dehidrasi yang teruk boleh menyebabkan air tuban (amniotic fluid) menjadi kurang dalam rahem.

Air tuban dalam rahem berfungsi sebagai cecair pelindung  dalam rahem untuk pembesaran fizikal bayi. Di awal kehamilan, kekurangan air tuban boleh menyebabkan kecacatan fizikal pada bayi malah boleh menyebabkan keguguran bayi.

Di pertengahan kehamilan pula, kekurangan air tuban selalu dikaitkan dengan kelahiran pramatang, pertumbuhan fizikal bayi yang kecil, komplikasi belitan talipusat di leher bayi ketika dilahirkan dan ada kalanya menyebabkan proses kelahiran terpaksa dilakukan secara pembedahan cesarean.

Dalam satu kajian yang dilakukan menunjukkan wanita yang mengalami hyperemesis dan dehidrasi yang teruk, selalunya akan melahirkan bayi yang kecil atau dilahirkan secara pramatang.

(rujuk : Dodds L, Fell DB, Joseph KS, Allen VM, Butler B. (2006). “Outcomes of pregnancies complicated by hyperemesis gravidarum.”. Obstet Gynecol. 2006 Feb;107(2 Pt 1):285-92. 107 : 285–92.)

Komplikasi akibat kekurangan air tuban ini dapat dirawat dengan memberikan air secukupnya pada wanita hamil ini.

Antara tanda dehidrasi ialah rasa haus, tetapi janganlah menunggu rasa harus barulah mahu meminum air kerana apabila kita berasa haus kemungkinan proses dehidrasi telah bermula.

Selain haus, air kencing menjadi kurang (isipadu dan kekerapan) dan warnanya menjadi pekat dan berbau hancing yang kuat. Bibir menjadi kering, sembelit, rasa sangat letih walaupun tidak melakukan kerja yang kuat, merasa mengantuk walaupun telah cukup tidur, rasa pening apabila berubah kedudukan dari posisi duduk kepada posisi berdiri.

“Doktor, mohon nasihat. Tekak saya tidak mampu menelan air kosong. Jika dipaksa minum, saya akan muntah”.

Tidak ada cara lain untuk merawat dehidrasi selain dari meminum air. Selain dari air mineral, air jus buah-buahan adalah air yang terbaik untuk mengekalkan hidrasi tubuh.

Namun soda, kopi dan teh tidak digalakkan kerana mereka mengandungi caffein dan bersifat diuretik. Diuretik akan menyebabkan seorang wanita rasa mudah untuk kencing dan akan menyebabkan dehidrasi bertambah teruk.

Jika tahap dehidrasi teruk kemungkinan harus dibawa ke hospital dan diberikan rawatan intravenous, iaitu memasukkan cecair melalui saluran darah venous. Rawatan ini akan merawat dehidrasi dengan segera dan pesakit akan cepat segar.

Beberapa langkah mencegah dehidrasi pada wanita hamil. Antaranya ialah:

  • Minum 8 gelas air setiap hari. Perlu mendapat nasihat doktor jika mempunyai komplikasi kehamilan yang lain seperti tekanan darah tinggi dan diabetis ketika mengalami dehidrasi.
  • Minum sebelum rasa haus.
  • Kurangkan aktiviti fizikal yang agak lasak dan elakkan dari aktiviti di luar rumah yang panas.

Wallahu a’lam.

Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (240811)

Rujukan :

  1. Dodds L, Fell DB, Joseph KS, Allen VM, Butler B. (2006). “Outcomes of pregnancies complicated by hyperemesis gravidarum.”Obstet Gynecol. 2006 Feb;107(2 Pt 1):285-92. 107 (2 Pt 1): 285–92.)
  2. Hofmeyr GJ, Gülmezoglu AM, Novikova N. “Maternal hydration for increasing amniotic fluid volume in oligohydramnios and normal amniotic fluid volume”. Cochrane Database of Systematic Reviews 2002, Issue 1).
  3. Sawka MN, Cheuvront SN and Carter III R. Human water needs. Nutr Rev 2005;63:S30-S39
  4. Valtin H. “Drink at least eight glasses of water a day.” Really? Is there scientific evidence for “8×8”? Am J Physiol Regul Integr Comp Physiol 2002;283:R993-R1004

[IKLAN]

Bagi wanita yang mengalami masalah kitaran haid yang tidak menentu, dan bagi wanita yang baru melahirkan anak, saya mencadangkan suplemen, selain dari vitamin C dan E. Boleh dapatkan produk Kacip Fatimah dan Natrieo di http://needsvenue.com.my

Untuk pembelian menggunakan kad kredit sila klik di bawah:

Warisan tradisi silam kini dalam tangan anda

5 comments

  1. AS SALAM,

    Doc…rakan sekerja saya telah dimasukkan ke hospital kerena air tuban beserta darah telah keluar.

    Beliau seorang pengidap kencing manis .Kini kandungan berusia 7 bulan lebih.

    Doktor telah mengesan ada kandungan sel darah putih melebihi kadar sepatutnya.

    apa maksudnya?

  2. thanks doc..info yg amat berguna..

  3. salam doc…benar apa yg dikatakan…dulu sy mengalami masalah air ketuban kurang dan akhirnya anak saya dilahirkan pre-mature…namun alhamdulilah,tiada kecacatan fizikal…

  4. Sangat berguna. Even saya yang tak kahwin lagi ni pun terasa ingin mengambil manfaaat daripada artikel seperti Dr. Zubaidi tulis ini. Serba sedikit ia boleh memberi peringatan awal kepada saya selepas saya sudah berumah tangga nanti. Saya ingin mengambil inisiatif ingin berkongsi maklumat seperti ini bersama rakan2 lain yang boleh menagmbil manfaat yang sama seperti saya. Terima kasih Dr. Zubaidi

  5. salam doc…sy skrng di trimester kedua iaitu 15mggu…sy mengalami dehidrasi yg sgt terok…selepas je sy makan,sy muntah..pe yg sy mkn 2 yg kluar blk..skrng bulan puasa..pe yg patut sy lakukan?

Leave a Reply

error: Content is protected !!