Advertorial
Home » Catatan Peribadi » Azam Untuk Menurunkan Berat Badan

Azam Untuk Menurunkan Berat Badan

Sambutan tahun baru 2012 sudah selesai. Pada malam itu, saya berada di halaman rumah dan memerhatikan percikan bunga api yang jelas dari pusat bandar.

Percikan itu naik ke ruang angkasa, berpecah kemudian meletup. Memberikan pemandangan yang menarik.

Saya memandang muka anak saya yang kegirangan melihat percikan bunga api itu. Saya cuba mengaitkan percikan bunga api itu dengan kehidupan realiti.

Bila kita melihat percikan bunga api, elok juga kita menanamkan azam dalam hati..”

Dia tercengang dengan penjelasan saya.

Sudah menanam azam?” Saya memandangnya.

Shafiq mahu dapat nombor satu.Tapi matematik susahlah abah.”

Saya tahu kelemahannya dalam matematik dan saya tidak mahu dia berputus asa. Saya harus menanamkan semangat dalam hatinya. Terus berusaha.

Kalau dapat nombor tiga pun, abah sudah cukup bangga. Tahun ini masuk kelas 5 Bukhari, adalah pencapaian terbaik untuk tahun lepas’

Dia menganggukkan kepala.

Kelas 5 Bukhari adalah kelas darjah lima terbaik di sekolahnya. Tahun lepas dia berada dalam kelas yang lain. Saya sangat hargai pencapaian ini. Semoga motivasi saya memberikan anjakan semangat dan azamnya untuk terus berusaha.

Apabila tamat pertunjukkan bunga api, saya masih duduk atas kerusi di halaman rumah. Saya cuba bermuhasabah diri. Apa yang perlu diperbaiki agaknya tahun 2012. Apa azam saya pula?

Petang tadi, seorang pesakit saya yang menghidap diabetes dan menerima rawatan suntikan insulin setiap hari datang berjumpa saya kerana demam.

Umurnya sebaya saya. Dia memberitahu, pengurus cawangan tempat dia bekerja dan seorang temannya baru saja meninggal dunia. Si pengurus berumur 51 tahun dan temannya berumur 45 tahun. Kedua-dua mereka mempunyai ‘penyakit tiga-serangkai’ dan selalu mengabaikan aspek penjagaan diri yang betul.

Beberapa minggu lepas pula jiran sebaris rumah saya pula diserang stroke dan meninggal dunia di bilik air ketika berumur 43 tahun.

Semua ini mengganggu ketenangan saya sepanjang minggu ini. Perbualan saya dengan pesakit saya pula seolah-olah diulang-ulang dalam kotak pemikiran ini. Agaknya itulah mesej yang Allah mahu ilhamkan pada saya malam itu.

“Jagalah kesihatan..” Itulah juga nasihat yang sering ibu saya berikan apabila saya mengadu letih akibat bertugas melebihi 36 jam tanpa henti semasa bekerja di hospital awam. Selesai oncall 24 jam, kemudian sambung dan terus bekerja sehingga Isyak. Keadaan ini tidak bertambah baik walaupun saya telah pun meninggalkan perkhidmatan awam 15 tahun lepas.

Tertanam dalam hati. Saya harus mematuhi nasihat itu. Menjaga kesihatan bermula dengan mengurangkan berat badan. Banyak penulisan di jurnal yang saya baca mendapati penurunan berat badan akan mengurangkan kebarangkalian kematian pramatang (mati muda).

Malah ia mengurangkan kebarangkalian untuk pembedahan jantung. Hidup lebih selesa apabila berat badan berkurangan. Pernafasan lebih mudah. Melakukan ibadat kepada Allah tentu tidak menyiksakan.

Saya tidak mahu ketika pencen nanti saya tidak mampu beribadat dan banyak masa terpaksa dihabiskan di hospital akibat dialysis atau kerap dimasukkan hospital. Saya mahu masa-masa yang berbaki itu dipenuhi dengan ketaatan kepada NYA.

 

Tuntutan keazaman dengan melakukan perubahan sikap

Saya segera mengambil pen dan buku diari untuk memcatatkan azam bagi tahun baru. Saya mencatatkan segala apa yang saya mahukan dalam buku itu sebelum saya membuat senarai yang lebih pendek kemudian.

Ada 15 langkah yang ingin saya lakukan untuk mencapai matlamat saya mengurangkan berat badan pada tahun 2012.

Semuanya saya tuliskan, antaranya:

  1. mahu menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga yang akan mengurangkan stress saya,
  2. memperbaiki tahap kesihatan dengan melakukan pemeriksaan kesihatan berkala setiap 4 bulan
  3. mengurangkan berat badan sebanyak 25-30kg
  4. mengamalkan diet yang lebih baik dengan mengurangkan pengambilan karbohidrat terutamanya nasi
  5. mempelajari dan mempraktikkan pengetahuan baru mengenai pemakanan dan teknik senaman yang betul
  6. menulis lebih banyak dalam blog berkenaan senaman dan diet untuk memberikan motivasi pada saya sendiri dan boleh dikongsikan dengan pembaca lain
  7. mahu lebih mendekatkan diri dengan Tuhan kerana segala dugaan kesihatan, mental dan emosi semuanya adalah ujian dariNYA, dan Allah tempat saya mengadu nasib.

Kita ambil pengajaran daripada kata-kata Saidina Umar al-Khattab r.a. Kita perlu menjadikan hari ini lebih baik daripada semalam. Perubahan diri kita seiring usia dan harus membuahkan peningkatan diri dari masa ke semasa”, itu kata abah saya.

Walaupun tahun ini beliau berumur 71 tahun, tapi beliau masih sihat. Masih mampu membersihkan laman rumah dan memberikan makan pada ikan-ikan tilapia yang dibelanya. Masih mampu menghadirkan diri dalam majlis-majlis zikir.

Saya harus membuat perubahan diri dengan segera. Tidak kiralah sama ada tahun baru masihi atau hijrah, yang penting ialah saat memulakan langkah pertama dalam perjalanan yang panjang.

Malah tidak menjadi dosa jika mengambil tarikh lahir atau tarikh perkahwinan sebagai titik perubahan itu. Semuanya dibenarkan, asalkan jangan bertangguh.

Saya sedar bahawa menulis sebuah keazaman sebenarnya bukan sekadar catatan tetapi sebuah komitmen yang bakal memaksa saya untuk mencapai dan mengekalkan sebuah tujuan atau cita-cita. Sikap baru harus dibentuk dan sikap lama yang negatif harus diubah.

 

Percayalah kita ada kuasa memilih

Apakah saya mampu meneruskan satu perjalanan baru sedangkan perjalanan hidup saya kini sudah agak sibuk?

Malah ia agak memenatkan. Pagi menghantar anak ke sekolah, masuk ke pusat kesihatan, melihat sekurang-kurangnya 50 orang pesakit sehari, menyiapkan tugasan pejabat seperti menyiapkan laporan perubatan, FOMEMA dan sebagainya.

Saya pulang ke rumah selalunya pukul 6 petang dan kadang-kalanya harus melakukan kerja lebih masa secara ‘suka-paksa’ sehingga pukul 10 malam. Jika isteri tidak sempat memasak, sayalah yang akan mengambil alih tugas menyediakan makanan. Namun itulah rezeki saya di dunia. Saya tetap perlu berubah untuk menjadi insan yang lebih baik.

Saya sedar tahun-tahun sebelum ini, saya mudah menuliskan azam dalam buku nota saya, malangnya di pertengahan tahun, saya melupakannya. Akhirnya azam menjadi sebuah angan-angan.

“Abang ingat tahun ini nak kuruskan badan, nak kurangkan berat badan”, saya menyerlahkan keazaman saya pada isteri.

“Dah dengar banyak tahun dah. Tak juga berubah.. berat macam tu jugak”, jawapan ringan.

Tiada galakan tapi sindiran yang menyedarkan saya. Memberitahu keazaman di awal tahun sudah menjadi perkhabaran yang sukar dipercayai oleh keluarga sendiri. Bukan salah sesiapa, tetapi salah sendiri yang selalu saja ‘hangat-hangat tahi ayam’.

“Abah, kenapa abah makan nugget Shafiq. Abah kan tengah diet..”

Aduhai…

Saya memaafkan ‘kesalahan’ saya melanggari peraturan yang saya buat. Memaafkan diri pada kesalahan itu adalah permulaan kepada sebuah pengkhianatan kepada azam yang saya ikrarkan..

Itu puncanya saya gagal. Saya telah memilih untuk gagal.

 

Strategi perang untuk merealisasikan azam

Saya masih duduk di kerusi halaman rumah. Masih mencari-cari formula mengelakkan kegagalan dalam mencapai matlamat saya. Apakah yang menyebabkan saya tidak ada stamina bermotivasi sepanjang tahun?

Saya menyemak ingatan saya pada sebuah buku yang saya baca. Merealisasikan azam harus mempunyai strategi seperti berperang! Ibarat bermain catur, kematian seorang askar akan membunuh askar berkuda dan akhirnya menghancurkan kota.

Selalu mencari alasan untuk memuaskan nafsu perut dengan mengorbankan ikrar dan azam.

Itulah masalah yang saya hadapi. Bila umur semakin meningkat, motivasi untuk mendapatkan sesuatu matlamat bagaikan mengejar ‘mat rempit’ yang berlumba haram di jalanraya. Semput mengejarnya tetapi tidak berjaya.

Apalagi perkataan untuk memotivasikan saya? Mengurangkan badan untuk kelihatan segak dan tampan? Itu tidak lagi menjadi agenda yang memotivasikan apabila saya memasuki pertengahan umur.

Mungkin ayat ‘mengurangkan berat badan agar tidak mati cepat sebab belum bersedia untuk mati’ lebih memotivasikan saya. Saya sendiri termangu bila mendengar cerita rakan-rakan sebaya yang pergi menemui tuhan mereka. Saya belum bersedia.

Saya menarik nafas panjang. Menggenggam tangan dan menghentakkan ke kerusi. Bukan mudah untuk berjaya. Saya telah melaluinya ketika di universiti dulu. Saya telah membuktikan saya boleh lulus dan mendapat ijazah tanpa perlu menyambung tahun pengajian atau repeat paper.

Kini perjuangan bermula semula. Berjuang antara untuk hidup lebih sihat atau mati lebih awal. Walaupun ajal dan maut itu takdir Allah, namun inilah sunnatullah, orang yang menjaga kesihatan akan hidup lebih lama daripada orang yang mengabaikannya.

Jangan terperangkap lagi dengan alasan. Harus menanamkan azam dan terus berusaha. Tetapi mengapa saya gagal sebelum ini?

Setelah membaca beberapa buku motivasi, barulah saya faham situasi sebenar. Untuk berjaya merealisasikan suatu keazaman, saya gagal memahami tiga faktor.

Faktor pertama, adakah saya sedia untuk berubah, apakah saya mempunyai ilmu pengetahuan dan panduan untuk melakukan perubahan itu atau mencapai sasaran saya?

Ya, saya mahu berubah. Saya mahu menjaga kesihatan saya supaya saya tidak menjadi rakan-rakan yang telah ‘pergi tidak kembali’ di usia muda. Saya sudah sedia mengorbankan masa, wang malah tenaga untuk perubahan ini.

Saya percaya menjaga kesihatan bermakna menjaga pemakanan, mendapat rehat yang secukupnya dan melakukan senaman yang berterusan. Ini harus diterjemah dengan pengurangan berat badan.

Saya juga harus menjalani pemeriksaan penyaringan agar saya dapat mengesan penyakit-penyakit itu dengan lebih awal. Saya boleh melakukan pemeriksaan darah bagi saringan untuk pemeriksaan gula dan kolestrol di pusat kesihatan tempat saya bertugas.

Ada kemudahan untuk memantau terus kadar gula dan kolestrole setiap 3-4 bulan dalam darah. Ini kerana beberapa bulan lepas saya mendapati tahap kolestrol saya agak tinggi.

Faktor ‘lebihan berat badan’ dan tahap kolestrol yang tinggi menyebabkan saya mengalami keletihan apabila pulang ke rumah. Berdiri lama untuk berceramah sepanjang hari ketika menjalankan latihan first-aid dengan pekerja-pekerja kilang akan menyebabkan kaki-kaki saya kejang dan sakit di malam hari.

Selalunya saya akan balik ke rumah dan berehat. Sudah kepenatan dan tidak mampu lagi bertugas. Keadaan saya tidak seperti sepuluh tahun dulu. Dulu saya mampu berdiri seharian dan menyambung semula tugas di pusat kesihatan selepas itu. Itu semua memaksa melakukan perubahan. Sebelum ini juga saya gagal untuk memahami punca-punca yang menghalang saya dari mencapai matlamat. Inilah faktor kedua punca saya gagal.

Saya tidak menyalahkan sesiapa. Semuanya salah saya yang tidak fokus dan tidak dapat mengekalkan motivasi sepanjang tahun.

Selalunya motivasi saya hilang apabila saya terlalu penat setelah melakukan kerja melebihi 8 jam. Kepenatan membuatkan saya makan apa saja dan terus berehat. Kepenatan menyebabkan saya memaafkan diri untuk bersenam atau melakukan kerja-kerja ringan yang boleh mengeluarkan peluh.

Saya lupa bahawa senaman adalah satu-satunya cara untuk membakar tenaga yang disimpan dalam bentuk lemak. Tanpa bersenam saya tidak dapat mengurangkan berat badan.

Nasi juga adalah musuh bagi saya. Nasi membekalkan banyak kalori. Masalah yang sering dihadapi ialah tidak dapat menyekat selera makan apabila sudah menjamah nasi. Saya harus menghindarkan nasi kerana saya tidak dapat mengawal pengambilannya.

Faktor ketiga yang menjaga punca kegagalan saya ialah saya tidak pernah mengenalpasti punca yang menyebabkan saya kembali kepada tabiat lama.

Inilah punca kita hangat-hangat tahi ayam. Saya bersungguh-sungguh untuk melakukannya di peringkat permulaan kemudian kembali semula ke tabiat asal.

Saya pernah memulakan diet roti gardenia bagi menggantikan diet nasi. Saya istiqamah selama beberapa bulan dan berjaya mengurangkan beberapa kilo lemak dari tubuh saya. Malang sekali apabila saya bercuti dan sukar untuk mendapatkan roti berkenaan, tabiat makan nasi saya bermula semula.

Apabila mula memasuki kerja, saya kembali ketagihan nasi. Tanpa nasi saya tidak berasa kenyang. Kekenyangan yang memberikan saya kalori tambahan dan disimpan semula sebagai lemak.

Akhirnya hanyut dalam kealpaan. Saya lupa tentang perjuangan mengurangkan berat badan. Saya membiarkan alasan susah mendapat roti gardenia bagi memaafkan kesalahan saya dan melupakan diet saya untuk mengurangkan pengambilan nasi.

Semuanya kembali pada asal. Berat badan bertambah semula.

 

Sabar dalam mencapai kejayaan

Saya masih ingat ketika jamuan makan kecil-kecilan di rumah saya sempena keberangkatan saya mengerjakan umrah kali pertama. Saya melihat abah saya sedang menghirup kopi yang hitam pekat.

“Abah, doakan Long selamat di Mekah nanti. Rasa macam semput je kalau berjalan jauh..”

Saya memberanikan diri membuka ‘pekung di dada’ pada semua ahli keluarga.

Abah memandang hairan.

“Mengapa?” tanyanya.

“Agaknya sebab badan dah over-weight dan kolestrol sudah border-line” saya meminta simpati.

“Engkau dengan aku, siapa lebih tua? Malulah sikit..”

Sekali lagi sindiran tajam. Saya malu, memang malu.

Keesokan harinya saya ke Hospital Pakar Puteri Johor Bahru melakukan stress test. Alhamdulillah normal.


Masalah kolestrol saya yang berada pada paras borderline ini meragut keyakinan diri saya. Tolonglah faham, saya juga manusia biasa.

“Doktor pun ada kolestrol??” teriak ibu saudara saya apabila mendapat tahu kolestrol saya sudah tinggi.

Sabar sajalah…” saya memujuk hati.

Firman Allah dalam surah Al-Anbiya’ ayat 83.

“Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani.”

Saya tidak layak berkeluh kesah. Saya harus meilhat sisi positif terhadap ujian ini. Ujian saya tidak boleh dibandingkan dengan penderitaan Nabi Ayyub a.s yang diuji dengan sakit kulit yang teruk sehingga isteri dan anak-anak menjauhkan diri.

“Allah hanya memberikan ujian yang kecil. Ya Allah kasihanilah aku..!” doa saya.

Semoga banyak lagi motivasi dari al-Quran yang akan membantu saya. Menguatkan semangat saya.

Firman Allah SWT bermaksud:

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?” (Surah Al Ankabut: 2)

Saya harus melakukan sesuatu. Menyerah kalah bukanlah sifat sabar yang sebenar. Sabar adalah menerima qada’ Allah dan masa yang saya berusaha agar Allah memberikan kesembuhan. Saya redha dengan ujian ini.

Pada saat ini berat saya memasuki 99.5 kg. Saya harus berusaha keras. Tiada jalan penyelesaian yang mudah dan cepat. Saya percaya selama ini saya gagal kerana saya mudah putus asa. Tidak istiqamah..

Untuk memotivasikan diri dan istiqamah, bukan perkara yang mudah.

Matlamat harus saya capai. Mungkin bagi memudahkan diri saya, saya harus memecahkan matlamat saya kepada beberapa beberapa matlamat yang lebih kecil (sub-goal).

Matlamat kecil ini lebih mudah. Saya mensasarkan agar penurunan berat badan saya sebanyak 500gm setiap minggu. Setiap bulan harus turun dua kilogram. Ini lebih mudah daripada saya memikirkan harus mengurangkan berat badan sebanyak 25-30 kg bagi mencapai berat ideal.

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah dengan sabar dan mengerjakan sembahyang. Dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk”. (Surah Al-Baqarah: 45)

Ya Allah tetapkanlah hatiku. Jangan kau bolak balikkan hatiku ini, dalam mengejar hasrat hati agar lebih sihat agar mudah beribadah pada MU.

Tahun ini saya serius dalam mengejar hasrat saya. Saya akan jadikan keazaman ini sebagai suatu usaha yang mantap.

Insya Allah.

 

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (060112)

10 comments

  1. Semoga Allah SWT senantiasa memberkati setiap apa yang dilakukan dan memberi petunjuk ke arah ka arah kebaikan.

    • zalilah ismail07

      memang semua manusia ada mempunyai azam, namun perlu diperbaharui semangat terutama apabila menjelang musim perayaan, mesti azam menjadi no 2. ttp, betullah apa yg dikatakn dr itu. sabar dan istiqamah adalah kunci yang paling penting sekali. insyaallah kita akan berjaya.

  2. salam,semoga doktor berjaya merealisasikan azam yang dh dibuat.saya akan sentiasa mengikuti perkembangan pengurNgan berat badan yang doktor impikan sama seperti saya mengikuti perkembangan usaha seorang ustaz dan pendakwah terkenal ustaz hasrizal yang kini telah berjaya menurunkan berat badan beliau.segala usaha beliau dlm menguruskan badan sentiasa beliau catatkan di laman blognya saifulislam.com..dan nyata dia kini berjaya.malah dakwahnya juga sgt berjaya sama seperti imej nya yg kini telah berubah..good luck..jgn lupa postkan artikel berkaitan usaha doktor mengejar azam tahun ini..saya akan jd pembaca setia..

  3. maaf mencelah lg..kalau doktor nak.jimatkan masa nak.belek blog saifulislam.com doktor bole terusbke bank artikel dan cari link diari budak gemuk.. maybe doktor pu. bole buat satu macamtu..x sabar nak baca post berkaitan usaha realisasi azam doktor ni..

  4. yer.. saya juga pemerhati usaha ust. Hasrizal dalam usaha menurun berat badan dan saya cuba mengikuti usahanya, saban hari blognya saya tatap sebagai penguat semangat untuk saya yg juga dlm usaha utk menurunkan berat badan.. Berat badan ust. Hasrizal turun secara berkala tapi saya sekali sekala.. dan akhir beliau BERJAYA mencapai target namun saya masih di takut lama..
    Dan hari ini.. saya jumpa lagi dgn seseorang yg impiannya sama.. dan sekali lagi sy akan jadikan beliau sbg motivasi.. kali ini seseorng DOKTOR.. wah.. aku pasti impian aku PASTI tercapai tahun ini.. PASTI.. inyaallahh.. Dr. Zubaidi: Dr. ada info tentang ZENOCTIL?

  5. assalam doktor, sy nak cube berkongsi tips dengan doktor. jika ade kelapangan, email sy. insyaALLAH sy membantu sebaik boleh. =)

    • dear mimie kongsilah dengan saya sekali as sayer pon nak menurunkan berat bdn ni..sama azam dgn doktor k.tq

  6. Salam semua..melihat kepada kesungguhan dr. utk menurunkan berat badan, saya ingin mencadangkan beberapa website yg amat berguna dalam memulakan diet.ramai yg gagal diet kerana takut makan nasi sdgkan matlamat menurunkn berat badan adalah dengan memastikn pengambilan kalori harian kurang dari kadar kalori yg diperlukan oleh bdn.kalori diperolehi dr karbohidrat, protien &lemak bukan hanya nasi sahaja.Maklumat lanjut boleh rujuk website http://www.kevinzahri.com,www.sususejat.com. banyak yg boleh dipelajari di sana.harap dpt membantu

  7. saya juga sedang menurunkan berat badan….as I am suffering from PCOS…and that make me cannot getting pregnant and make myself keep put on weight..for solve my problem, i need to fight with my own body. Now, i am doing brisk walk, no rice and start new healthy life…

  8. Walaupun ini post lama, saya rasa masih relevan untuk saya berkongsi idea.

    Lepas baca post Dr, ada satu perkataan yang tak disebut dan tak digambarkan, iaitu: S.E.R.O.N.O.K.

    Bagi saya, SERONOK ini yang menjadikan sesuatu tu enjoyable, even untuk sesuatu yang terpaksa dan dibenci.

    Contoh yang paling senang ialah anak2 kecil: Bila dia seronok belajar, dia akan bagi perhatian dan dengan senang dia dapat kuasai apa yang dipelajari.

    We’ve killed the fun in our lives by being exam-oriented, money-oriented, result-oriented and whatever-else oriented. We need to stop and smell the flowers more often. So, smell the flowers!

    Untuk azam tahun depan, cuba Dr iringi setiap azam dengan “SERONOK”.

    Contohnya: “Seronoknya tahun ni nak dapatkan 6-pack! Yeay!”

    Satu lagi, bila Dr gagal (macam dalam kes that extra plate of rice) it’s OK! Masa Dr sedar mistake tu, terus buat mind note, “Next time, one plate is enough for me”. Kalau perlu sebab kenapa “one plate”, bagi la sebabnya; kalau tak perlu sebab, tak perlu bagi sebabnya. Dan senyumlah untuk diri sendiri (lantak la orang nak kata gila. Remember: Smell the flowers!). When that next time comes, cuba ingat balik mind note tu dan cuba ikut. Insya-Allah akan berjaya.

    Saya biasa buat macam tu bila time makan kat luar, makan kenduri, dan shopping kat bazar Ramadan. Proses mind note ni ambil masa dan perlu diulang-ulang. Ada masa fail, ada masa berjaya. Masa fail tu akan rasa bersalah dan cuba buat mind note yang lagi kuat dan influential. Masa berjaya akan rasa seronok dan bersyukur dan mind note yang berjaya tu akan cuba diingat untuk diikut next time. Kalau mind note yang berjaya tu fail next time, buat je mind note baru yang lagi power ^^

Leave a Reply

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: