Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Kehamilan » Asthma Ketika Hamil

Asthma Ketika Hamil

“Doktor, tolonglah nasihat isteri saya. Dia tu penghidap penyakit asthma tapi tak mahu makan ubat. Dia takut apa-apa hal terjadi pada bayi dalam rahem. Sekarang ni tercungap-cungap”

Saya meminta agar isterinya diberikan rawatan nebulizer dulu bagi mengurangkan rasa sukar bernafasnya. Kalau tidak dirawat segera, bukan saja anak dalam rahem akan terjejas, silap-silap nyawa ibu juga boleh melayang.

Ramai yang memandang ringan serangan asthma. Saya pernah melihat ada pesakit asthma mati di hadapan mata, secara tiba-tiba dia mengalami kesukaran bernafas. Segala-galanya berlaku dengan pantas.

Asthma adalah salah satu penyakit kronik yang boleh menyerang wanita hamil. Selalunya seorang pesakit sudah diketahui menghidap penyakit asthma sebelum hamil. Sesetengah wanita diuji oleh Allah diserang asthma dengan lebih kerap ketika hamil. Banyakkanlah bersabar. Makanlah ubat yang diberikan oleh doctor.

Cuba bayangkan, jika ibu sedang menghadapi masalah kekurangan oksigen ketika diserang asthma, bagaimana pula nasib anak yang berada dalam rahem?

Bayi dalam rahem bergantung pada ibu mereka untuk mendapat bekalan oksigen. Tanpa mendapat bekalan oksigen yang secukupnya, bayi berada dalam keadaan bahaya. Malah wanita hamil yang teruk diserang asthma boleh melahirkan bayi pramatang. Bayi mereka mungkin bersaiz kecil dan perlu dimasukkan ke ICU.

“Kalau saya makan ubat untuk merawat asthma saya, tidakkah ia merbahaya pada bayi saya dalam rahem?”

Ramai wanita hamil berasa khuatir untuk memakan ubat asthma yang diberikan. Mereka bimbang kesan buruk ubat-ubatan kepada bayi dalam kandungan.

Saya berpendapat tanggapan ini salah. Saya pernah melihat seorang wanita hamil meninggal dunia kerana tidak sempat mendapatkan rawatan. Cuba bayangkan risiko yang diambil oleh wanita yang tidak memakan ubat dengan risiko yang diambil dengan memakan ubat?

 

Sekali lagi, manfaat bagi ibu dan anak lebih besar dari mudharat yang mungkin diterima. Risiko kepada bayi asthma terlalu kecil.

Tanpa mengambil ubat yang diberikan, mereka mungkin mendapat serangan asthma dengan lebih teruk. Mereka juga lebih mudah mendapat sawan dan mempunyai tekanan darah tinggi. Dalam kedua-dua hal, ia memberikan risiko yang besar pada ibu dan bayi yang berada dalam rahem mereka.

“Isteri saya sesekali saja diserang asthma. Tapi bila kena asthma, keadaannya sangat teruk..”

Perkataan ‘sesekali’ pada saya amat subjektif. Adakah ia bermaksud, setiap dua hari, setiap minggu, atau setiap bulan?

Dalam satu panduan yang diberikan oleh Institut Kebangsaan Jantung, Paru-paru dan Darah US, seseorang pesakit asthma dikatakan ‘tidak berada dalam kawalan yang baik’ (good control) apabila dia diserang asthma lebih dari 2 hari dalam seminggu, atau terpaksa bangun malam (tidur terganggu) sekali hingga tiga hari dalam seminggu, atau terpaksa menggunakan inhaler atau nebulizer sebanyak lebih dari 2 hari dalam seminggu dan Peak Flow 60-80%. Mereka sebenarnya berada dalam keadaan yang merbahaya.

(rujuk :National Heart, Lung, and Blood Institute. Accessed: January 1, 2009. Expert Panel Report 3 (EPR3): Guidelines for the Diagnosis and Management of Asthma)

“Clinical Pulmonary Function Testing, Exercise Testing, and Disability Evaluation. In Chest Medicine: Essentials Of Pulmonary And Critical Care Medicine”. Editors: Ronald B. George, Richard W. Light, Richard A. Matthay, Michael A. Matthay. May 2005, 5th edition.

 

Dikawal baik Tidak dikawal baik

Dikawal dengan teruk

SIMPTOM 2 hari atau kurang dalam seminggu Lebih dari 2 hari seminggu Setiap hari
Berjaga malam (tidur terganggu) Kurang dari dua malam dalam sebulan 1-3 malam seminggu 4 malam atau lebih dalam seminggu
Terpaksa menggunakan Inhaler 2 hari atau kurang dalam seminggu Lebih dari dua hari dalam seminggu Setiap hari
Peak Flow (PEF) 80% atau lebih 60-80% Kurang dari 60%

 

Jika seseorang wanita tidak mengawal asthma-nya, keadaan akan menjadi buruk apabila memasuki usia kehamilan 24-36 minggu. Terdapat sebilangan kecil wanita diserang asthma ketika dalam proses melahirkan.

Doktor akan memberikan dua jenis ubat. Salbutamol adalah ubat yang bertindak dengan pantas tetapi berkesan pada waktu yang singkat (sama ada dalam bentuk suntikan, tablet atau inhaler). Sementara Prednisolone pula ubat yang bertindak agak perlahan tetapi lebih berkesan untuk jangka masa yang panjang.

Saya selalu menasihati pesakit agar berbincang dengan doktor jika mahukan ubat prednisolone. Ia memberikan kelegaan cepat untuk pesakit asthma, namun kesan sampingan ubat pada bayi dalam rahem harus dibincangkan. Walaubagaimanapun inhaler yang mengandungi steroid lebih selamat dari tablet steroid yang ditelan.

Dalam mempertimbangkan antara risiko dan kesan sampingan pada bayi, janganlah pula wanita hamil tidak mahu mengambil ubat itu ketika diserang asthma yang teruk. Sepanjang ingatan saya pernah melihat dua wanita meninggal dunia hampir serentak apabila kedua-dua mereka mengalami serangan asthma yang kuat secara tiba-tiba. Pertimbangkan keperluaan dengan kemudharatan yang bakal diterima.

Semoga Allah permudahkan proses kehamilan dan kelahiran apabila mereka mengawal penyakit asthma dengan baik.

Wa allahu a’lam.

 

Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (021111)

Rujukan:

  1. ”Asthma in Pregnancy”. ACOG Practice Bulletin No. 90. American College of Obstetricians and Gynecologists.Obstetrics and Gynecology 111 (2008): 457-64.
  2. Murphy, V.E., V.L. Clifton, and P.G. Gibson. “Asthma Exacerbations During Pregnancy: Incidence and Association with Adverse Pregnancy Outcomes.” Thorax 61 (2006): 169-176.
  3. Park-Wyllie, L., P. Mazzotta, A. Pastuszak, M.E. Moretti, L. Beique, L. Hunnisett, et al. “Birth Defects After Maternal Exposure to Corticosteroids: Prospective Cohort Study and Meta-analysis of Epidemiological Studies.” Teratology 62 (2000): 385-92.

2 comments

  1. salam doktor..saya adalah penghidap asthma sejak dr kecil lagi.dan sekarang saya sedang mengandungkan anak yang ke2..selepas melahirkan ank yang pertama..asthma saya semakin teruk tapi masih boleh di kawal..dan sekarang sy perlu sedia kan inhaler sentiasa untuk keadaan yang tidak di jangka..tapi tidaklah terllau bergntung…dan yang terbaru sy gunakan…inhaler symbicort dan yang sebelumnya adalah subutamol…penggunaan kedua2 ats nasihat doktor yang cuba mengawal asthma saya kearah yang lebih abik..cuma soalan saya adalah…ada inhaler symbicort inilebih kuar kesannya pada janin dlam kandungan atau sebaliknya..sekarang asthma saya jauh lebih baik…saya lebih rs selesa..setelah menggunakn symbicort..tetapi sedikit risau kerana kini sy sedang hamil 5 minngu…minta penjelasan…terima kasih…

  2. Salam…doc sy salah seorg pesakit asma, sy jg adapenyakit darah tinggi n resdung tpi sejak ahkir ini sy kerap sgt sesak nafas Kdg 2 smpi 10 kali sehari sy terpaksa sedut ubat asma.Adakah ada kesan buruk akibat pengunaan yg kerap ini.Terima kasih

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top