Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Umum » Apakah punca demam?

Apakah punca demam?

”Assalamualaikum doktor, saya ingin bertanya pendapat doctor. Pada masa saya berumur 14 tahun saya ada masalah kesihatn,saya selalu muntah darah, (sikit saja dalam setengah cawan sekali muntah), doktor kata  saya ada masalah saluran darah yang lemah pada hati. Pemeriksaan OGDS telah dilakukan doctor kata tiada masalah. Sekarang saya berumur 24 tahun dan selalu mengalami demam. Adakah disebabkan pengambilan ubat-ubat yang saya ambil sebelum ini? “ Wa alaikum mus salam. Saya telah membaca email saudari dan mendapat sedikit gambaran mengenai yang berlaku pada saudari. Saya berdoa agar ALLAH permudahkan saudari berusaha mendapat kesembuhan.   Terlalu banyak sebab-sebab terjadinya demam. Malah demam sendiri didefinasikan oleh pelbagai orang dengan pelbagai ukuran. Adakalanya seorang merasa badannya panas, dan ia mengatakan dirinya demam. Ada yang mengatakan dirinya berasa sejuk, pada hal tubuhnya hangat dan tidak berasa bahawa dia demam.   Oleh itu demam haruslah diukur menggunakan thermometer bagi mendapat bacaan suhu tubuh.   Seseorang dikatakan mengalami demam apabila bacaan suhu badannya melebihi bacaan suhu badan yang normal 36.5–37.5 °C (98–100 °F). (Axelrod YK, Diringer MN (May 2008). “Temperature management in acute neurologic disorders”. Neurol Clin 26 (2): 585–603.)   Mengikut buku teks perubatan Harrison’s, demam didefinasikan apabila suhu badan seseorang di waktu pagi melebihi 37.2°C (>98.9°F) atau suhu badan seseorang di waktu petang melebihi 37.7°C (>99.9°F) dan perbezaan perubahan suhu sepanjang hari  0.5°C (0.9°F). (Harrison‘s principles of internal medicine. (18th ed.). New York: McGraw-Hill. 2011. pp. 4012)   Suhu badan seseorang dikawal oleh satu bahagian kecil di otak yang dinamakan ‘temperature regulatory centre’(TRC). Bahagian otak ini akan menetapkan suhu badan seseorang yang normal, dan apabila ia meningkat maka berlakulah demam, sehingga seseorang itu akan merasakan menggigil dan otot-ototnya menjadi sakit.

Oleh itu tidak hairanlah jika orang yang demam mengadu merasa dingin dan sejuk walaupun suhu badannya meningkat menjadi hangat. Apabila mencapai satu suhu yang melebihi suhu yang ditetapkan oleh TRC, maka seseorang itu akan berasa hangat pula.

Bacaan suhu badan
Hypothermia <35.0 °C (95.0 °F)
Normal 36.5–37.5 °C (97.7–99.5 °F)
Demam >37.5–38.3 °C (99.5–100.9 °F)
Hyperthermia >37.5–38.3 °C (99.5–100.9 °F)
Hyperpyrexia >40.0–41.5 °C (104–106.7 °F)

Suhu badan yang normal bergantung kepada pelbagai faktor seperti umur, aktiviti seharian, jantina, dan pelbagai lagi. Peningkatan suhu badan tidak bermakna seseorang itu demam. Contoh selepas seseorang melakukan aktiviti fizikal seperti berlari, suhu badannya akan meningkat, tetapi tidak bermakna dia mengalami demam. Malah seorang yang berada dalam ’suhu yang normal’ juga mungkin mengalami demam, jika suhu badannya melebihi suhu badannya yang biasa. Sebagai contoh seorag wargatua yang tidak lagi banyak melakukan aktiviti fizikal boleh mengalami demam jika suhu badannya ’normal’ 37.3 °C (99.1 °F). Apabila seorang pesakit dimasukkan ke dalam wad, jururawat akan memeriksa suhu badan pesakit antara 2 hingga 4 jam sekali bagi mendapat corak perubahan kenaikan suhu. Ini membantu doktor mengenalpasti penyakit yang berkaitan dengan demam pesakit. Dari bacaan yang didapati, satu plot carta dilakarkan.

  1. Demam yang berterusan (Continuous fever): Apabila suhu badan akan tetap berada di atas paras normal dan tiada perubahan suhu yang ketara melebihi 1 °C dalam masa 24 jam.
  2. Demam yang berulang (Intermittent fever): Apabila suhu badan akan meningkat pada masa tertentu sebagai contoh apabila menjelang petang, kemudian menjadi normal pada waktu pagi. Contohnya disebabkan oleh demam TB, demam malaria.
  3. Demam yang turun dan naik (Remittent fever): Apabila suhu badan berada di atas par5as normal sepanjang hari, dan sesekali akan melonjak tinggi melebihi 1 °C dalam masa 24 jam.

Terdapat juga di mana pesakit yang mengalami masalah daya tahan yang rendah akibat serangan kanser yang kronik atau pesakit kanser yang sedang menjalani rawatan kemoterapi, apabila tubuh mengalami kekurangan sel darah putih neutrofil menyebabkan jangkitan kuman bakteria merebak dengan cepat. Demam sebegini dinamakan ‘febrile neutropenia’ dan jarang sangat berlaku pada orang yang sihat. Satu lagi jenis demam yang merunsingkan kebanyakan orang ialah demam yang rendah (low grade fever) tetapi berpanjangan sehinga beberapa hari tanpa sebab yang diketahui tetapi akan menjadi normal selepas seminggu. Ini dinamakan Febricula. (Rolla L. Thomas (1906) [1906]. The eclectic of medicine.The Scudder Brothers Company. p. 261)   Jika suhu badan seseorang sangat tinggi dan melebihi 41.5 °C (106.7 °F), ia dinamakan ’hyperpyrexia’ di mana ia adalah keadaan yang amat merbahaya dan perlu mendapat pemeriksaan doktor segera.   Ia boleh disebabkan oleh pendarahan dalam otak (intracranial haemorrhage), jangkitan kuman dalam darah, Kawasaki Syndrome, Neuroleptic Malignant Syndrome, masalah kelenjar thyroid (Thyroid Storm), dan pelbagai jenis penyakit lain.   Sementara ‘hyperthermia’ pula bukanlah demam kerana pusat pengawalan suhu badan, iaitu satu bahagian kecil di otak yang dinamakan ‘temperature regulatory centre’(TRC) telah ditingkatkan melepasi suhu yang normal lalu menyebabkan rasa panas. Untuk mendiagnosa seseorang yang mengalami demam dan mencari punca-punca demam, banyak langkah yang perlu dilakukan. Namun apa yang perlu ialah pengesahan suhu badan yang melebihi dari normal dengan menggunakan thermometer dan seterusnya pemeriksaan makmal harus dilakukan. Kepada saudari yang bertanya saya menasihatkan agar saudari menjalani pemeriksaan doktor. Saya doakan agar ALLAH mempermudahkan saudari mendapat kesihatan seperti sedia kala. Wallahu a’lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top
error: Content is protected !!