Advertorial
Home » Doktor Menjawab » Anak Kecil Demam Berpanjangan

Anak Kecil Demam Berpanjangan

baby fever

 

As salam mu alaikum. Doktor anak saya berumur 3 tahun. Pada awal tahun ini anak saya demam selama sebulan. Namun beliau demam pada waktu tertentu saja, sekejap demam sekejap ok. Selepas sebulan anak saya sihat, namun pada bulan berikutnya beliay demam kembali terutama waktu petang hingga malam. Saya ada berjumpa dengan doktor pakar namun beliau mengatakan anak saya sebagai demam biasa saja. Saya amat risau.

 

Dr Zubaidi: Saya bersimpati dengan masalah yang puan hadapi. Demam di kalangan kanak-kanak adalah suatu perkara yang membimbangkan.

 

Namun suatu perkara yang menjadi tanda Tanya ialah berapa tinggi demam anak puan? Mungkin puan berasa anak puan mengalami demam, tetapi suhu badannya tidak terlalu tinggi atau mungkin juga normal.

 

Oleh itu perkara yang puan perlu ada ialah alat thermometer yang baik bagi menyukat suhu badan anak puan, bertujuan untuk memastikan bahawa anak puan betul-betul mengalami suhu badan yang tinggi dan dikatakan demam.

 

Saya mencadangkan agar puan membeli ear thermometer, iaitu thermometer yang digunakan untuk menyukat suhu badan melalui rongga telinga.

 

Cuba catatkan perubahan suhu beliau setiap hari, mungkin setiap lapan jam atau sekurang-kurangnya  sebelum tidur, pagi dan petang.

 

Seperti yang saya tuliskan, demam bukanlah suatu penyakit, ia hanya tanda-tanda yang mengatakan bahawa ‘ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku dalam badan’. Setiap kali anak puan sembuh dari demam, daya tahan beliau akan bertambah kuat.

 

Selalunya demam yang serius dan harus diberikan perhatian segera apabila suhu yang tinggi diikuti dengan perubahan tingkah laku anak seperti menangis dan tidak aktif di siang hari.

 

American Association of Paediatric mencadangkan bahawa bayi yang berumur antara 3 hingga 6 bulan dan mempunyai demam melebihi 101 darjah Fahrenheit atau bayi yang berumur 6 bulan ke atas dan mempunyai suhu badan melebihi 103 darjah Fahrenheit haruslah dibawa berjumpa doktor.

 

Bagi kanak-kanak yang berumur setahun ke atas dan demam, tetapi masih boleh bermain, makan dan minum, dan dapat melakukan aktiviti seperti biasa, maka saya berpendapat bahawa tidak perlu dirisaukan.

 

Seperti yang saya beritahu bahawa tidak semua demam harus diberikan ubat demam dan antibiotic. Demam hanyalah tanda bahawa anak kita mengalami perubahan fisiologi sama ada ia hanya disebabkan oleh kesan faktor luaran seperti suhu persekitaran luar yang panas, kurang minum air atau tubuhnya sedang melawan serangan jangkitan kuman bakteria atau virus.

 

Selagi suhu badan anak kita kurang dari 103 darjah Fahrenheit dan masih aktif, saya berpendapat sebagai ibubapa kita tidak perlu risau kerana antibodi dalam tubuh anak kita sedang melakukan fungsi pertahanan dalam diri dengan baik dan tidak memerlukan apa-apa bantuan ubat demam dan antibiotik.

 

Sebagai peringatan umum, ibubapa tidak harus memberikan ubat demam kepada anak mereka yang berumur kurang dari 2 bulan tanpa merujukkan dulu kepada doktor. Ubat demam jenis ibuprofen hanya boleh diberikan kepada bayi yang berumur 6 bulan ke atas.

 

Jadi apa yang perlu dilakukan untuk menurunkan suhu badan anak jika tidak boleh memberikan ubat demam? Salah satu cara yang biasa ialah dengan membasahkan tubuh anak dengan air suam selama 30 minit. Jangan gunakan air yang sejuk kerana ini akan menyebabkan anak kita kesejukan dan menggigil.

 

Bagi suhu badan yang melebihi 103 darjah Fahrenheit dan berlanjutan selama tiga hari atau tidak aktif (tidak bermain, makan dan minum), bawalah anak puan berjumpa doktor.

 

Selain doktor dapat melakukan pengesahkan kenaikan suhu badan dan memberitahu bahawa anak puan demam, doktor juga akan melakukan pemeriksaan yang biasa dilakukan untuk mencari punca demam.

 

Wallahu a’lam.

 

Leave a Reply

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: