Advertorial
Home » SALAM FM » amalan minum air selepas bangun tidur

amalan minum air selepas bangun tidur

AMALAN MINUM AIR  SELEPAS BANGUN TIDUR

12 OGOS 2017 SALAM FM

 

 

1.AMALAN MINUM AIR SELEPAS BANGUN TIDUR: ADAKAH IA FAKTA ATAU AUTA?

 

Amalan minum air ini merupakan amalan yang kita warisi dari amalan yang dilakukan oleh orang zaman silam. Ada ustaz yang mengajar di masjid memberitahu bahawa amalan ini adalah amalan Nabi Muhammad SAW. Saya tidak diberitahu nas yang jelas dan saya pun tidak belajar hadis. Namun saya percaya bahawa ulamak zaman dulu, terutama ulamak nusantara mengamalkan amalan ini kerana ia sangat bermanfaat dan bertepatan fitrah kehidupan kita.

 

 

Apabila kita kata ia sebagai amalan, ia adalah satu perbuatan yang dilakukan secara istiqamah, tanpa gagal dan tidak kira di mana berada.

 

 

Saya juga pernah bertemu beberapa orang yg memberitahu saya bahawa amalan kesihatan yg mereka praktikkan kerana “diperturunkan” kepada mereka ialah minum segelas air sejuk selepas bangun pagi sebelum mulut dicuci. Mereka percaya ini menjadi salah satu sebab mereka sihat.

 

 

Baru – baru ini saya terbaca mengenai salah seorang janda Presiden Soekarno iaitu Hartini, yang terkenal sihat dn cantik sehingga usia tua beliau. Diungkapkan juga bahawa salah satu amalan sepanjang hayat beliau ialah minum air putih (air kosong ) selepas bangun pagi sebelum mencuci mulut.

 

 

Nampaknya memang amalan ini telah lama diamalkan oleh ramai orang dari berbagai bangsa dan budaya. Yang ingin saya sentuh di sini ialah aspek Sains amalan ini.

 

 

Untuk memahami khasiatnya, perlu diketahui bahawa di dalam badan kita ada suatu molekul yg tersangat penting untuk kesihatan, iaitu Nitric Oxide ( NO ). NO bertindak mengawal tekanan darah, sebagai neurotransmitter,  anti-penuaan, anti-oxidant, anti-inflammatori dan banyak lagi peranan pentingnya.

 

 

Ada banyak cara Allah SWT yang Maha Pencipta, memberikan NO kepada kita,makhluknya. Salah satu cara ialah dengan ada bakteria – bakteria tertentu di dalam rongga mulut dan hidung kita yang menghasilkan NO secara semulajadi,terutamanya ketika kita tidur. NO yg terhasil itu terkumpul di dalam air liur yg terhasil semasa kita tidur itu,antaranya.

 

Rujuk: Jose Miguel Chatkin, MD; Wei Qian, MD; Patricia A. McClean, MSc; et al Noe Zamel, MD; James Haight, MD; Phillip Silkoff, MD. Nitric Oxide Accumulation in the Nonventilated Nasal Cavity. Arch Otolaryngol Head Neck Surg. 1999;125(6):682-685.

 

 

Maka apabila kita bangun dari tidur dan minum air sejuk, NO di dalam air liur kita itu dibawa ke dalam perut kita yg kosong dan diserap ke dalam peredaran darah kita. NO adalah sangat penting untuk kesihatan kita,kesihatan jantung terutamanya.

 

 

Dengan itu juga, adalah kurang bijak untuk mengamalkan berkumur dengan segala bentuk ubat pencuci mulut bagi orang yg tiada apa-apa penyakit mulut tetapi hanya untuk memberikan bau mulut yang menyegarkan. Ubat pencuci mulut dan segala mouthwash ini akan menghapuskan bakteria pembuat NO di dalam rongga mulut.  Kalau ada keperluan tertentu dan diarahkan oleh doktor, barulah sesuai digunakan ubat kumur pencuci mulut.

 

 

Dalam satu artikel yang diterbitkan dalam Journal of Human Nutrition and Dietetics (2017) memberitahu kepentingan minum air kosong. Air kosong bermakna air yang tiada warna, tiada rasa dan tiada kalori. Air kosong ini boleh saja air paip, air mineral, air sungai atau air telaga. Asalkan air itu bersih dan suci, sudah tentu ia bermanfaat bagi kita. Kita boleh memanaskannya atau mendidihkan air tersebut jika kita percaya ia mungkin tidak selamat diminum tanpa dididihkan.

 

 

Dalam artikel itu menyebutkan kesan yang dialami oleh mereka yang tidak cukup minum air berbanding dengan mereka yang cukup minum air. Secara puratanya ia mencadangkan pengambilan paling kurang 2L (atau 8 gelas air). Namun keperluan minum air secara amnya untuk lelaki adalah 3L dan wanita adalah 2.5L. Ia boleh didapati dari makanan yang kita makan dan air yang kita minum. Namun sumber keperluan air ini seharusnya 75% dari air yang kita minum.

 

Air yang diminum ini akan keluar sebagai air kencing. Bagi mereka yang sihat, minum air terutamanya air mineral tidak memudaratkan. Malah ia bermanfaat.

 

 

Waktu minum air yang terbaik ialah apabila kita berasa haus. Ia adalah isyarat yang dikeluarkan oleh tubuh kita agar kita segera mendapatkan bekalan air. Isyarat ini selalu dikeluarkan setelah kita kuat berpeluh selepas bekerja atau melakukan riadah. Ia juga dikeluarkan apabila kita telah lama berpuasa. Dan kita melakukan puasa setiap hari apabila kita tidur antara 6-8 jam.

 

 

Bayangkan jika kita tidak minum selama 6-8 jam di siang hari dari 8 pagi hingga pukul 2 atau 4 petang. Sudah tentu kita kehausan dan dehidrasi. Jadi kita memerlukan air untuk kita berasa lebih segar.

 

 

Minum air selepas bangun tidur adalah amalan yang menepati fitrah kehidupan kita. Ia bukan suatu yang tidak normal. Malah ia adalah amalan yang bermanfaat dan selamat diamalkan dulu.

 

 

Cubalah melakukan amalan ini. Ia bermanfaat. Kesan yang jelas kita rasa ialah kita berasa ringan dan lebih bertenaga di pagi hari, insyaALLAH.

 

 

Cuma kadang kala kita tidak melakukannya kerana sibuk membersihkan diri , menyiapkan keperluan lain dan bersiap untuk pergi ke tempat kerja. Ada kalanya kita agak terlewat. Jadi kita terlupa minum air selepas bangun tidur.

 

  1. BAGAIMANA KITA MENGAMALKAN AMALAN INI ? APAKAH AIR YANG SESUAI DIMINUM

 

Minum air adalah sangat penting bagi tubuh kita mengekalkan keseimbangan cecair dalam tubuh. 70% dari tubuh kita dipenuhi air, 90% dari darah kita adalah air dan 85% dari komposisi otak kita adalah air.

 

 

Oleh itu air sangat penting bagi diri kita. Untuk kekal sihat dan berfungsi secara normal dan baik, kita mampu bertahan tanpa makanan untuk beberapa minggu, tetapi kita tidak mampu hidup tanpa air selama beberapa hari.

 

 

Saya mencadangkan minum air sebanyak satu liter sepanjang pagi, selebihnya diambil selepas tengahari sehingga kita mahu tidur.

 

 

Bagi orang yang sihat, kita mungkin akan terbangun untuk membuang air kecil setelah pundi kencing kita betul-betul penuh. Kapisiti pundi kencing kita boleh menyimpan lebih kurang 500ml. Tidak semua air yang kita minum akan bertukar menjadi air kencing. Sebahagiannnya akan disimpan dalam tubuh. Oleh itu untuk memenuhkan pundi kencing, ia mengambil 4-6 jam (bergantung kepada tahap dehidrasi seseorang individu itu). Jika dia dalam keadaan dehidrasi, dengan minum air pundi kencing mungkin akan lambat penuh.

 

 

Jadi kita akan bangun untuk buang air kecil pada pukul seawal 5 pagi dan pada masa inilah kita bangun untuk membersihkan diri. Ini adalah normal. Bagi mereka yang mempunyai masalah ginjal atau diabetis yang tidak dikawal, pengambilan air haruslah dilakukan dengan berhati-hati dan mendapat nasihat doctor.

 

 

Saya mencadangkan pengambilan 2-3 gelas air kosong sebaik kita bangun tidur. Ia menyegarkan tubuh kita, memudahkan kita membuang air besar dan secara tidak langsung memberikan ketenteraman bila bersolat subuh. Tidaklah terasa mahu membuang angin atau buang air besar ketika sedang solat.

 

 

Selain dari minum air kosong, bagi mereka yang ingin mendapatkan tenaga sepanjang hari, saya mencadangkan pengambilan satu sudu minyak zaitun dan satu sudu madu bersama dengan satu gelas air yang kedua. Sama ada dibancuh dalam gelas atau diambil secara berasingan dengan memasukkan terus ke dalam mulut.

 

 

Satu sudu minyak zaitun membekalkan 120 kalori dan satu sudu madu memberikan 65 kalori. Total 185 kalori sama dengan kita makan sekeping sandwich yang berisi telur dan salad bersama air teh/kopi bergula.

 

 

Dengan tenaga sebanyak ini, kita mampu untuk berjalan selama 20 minit, berjogging selama 15 minit, berenang selama 10 minit dan mengayuh basikal selama 25 minit.

 

 

Jadi mereka yang bekerja, dan tidak sempat untuk bersarapan, minum air 2-3 gelas dan mengambil satu sudu madu dan satu minyak zaitun (atau minyak kelapa) sudah mencukupi untuk keperluan tenaga sehingga sampai ke tempat kerja.

 

 

Tubuh akan rasa lebih ringan dan kita tidak akan mudah mengantuk semasa bekerja.

 

 

Semoga bermanfaat. Terima kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: