ALAHAN MAKANAN

ALAHAN MAKANAN

 

 

Alahan ialah reaksi badan terhadap pendedahan kepada benda asing yang tertentu. Reaksi alahan ini hanya berlaku setelah sistem imuniti badan mengalami sensitif akibat pendedahan benda asing tersebut. Alahan ini merupakan tindak balas daya tahan yang memudaratkan terhadap protein pada alergen iaitu penyebab alahan dalam persekitaran kita. Seseorang yang mempunyai alahan kebiasaannya akan mengalami bersin yang melampau, rasa gatal pada kulit dan ruam atau radangan.

PUNCA ALAHAN

Semua jenis makanan mempunyai potensi untuk menyebabkan alahan, tetapi kebanyakan kes alahan hanya membabitkan beberapa bahan sahaja. Biasanya, seseorang yang mengalami alahan hanya akan bertindak balas terhadap makanan tertentu sahaja.

Antara makanan yang biasanya menyebabkan alahan adalah:

1. Susu lembu
2. Telur
3. Kacang soya
4. Gandum
5. Kekacang
6. Makanan laut, kerang-kerangan (contoh : udang, ketam, kepah)
7. Beberapa bahan pewarna dan bahan perasa

TANDA DAN GEJALA

Gejala alahan biasanya berlaku dengan cepat dalam tempoh beberapa minit hingga kurang dari 2 jam selepas makan. Kadang-kala tanda-tanda alahan terjadi selepas beberapa jam makanan di makan.

Tanda dan gejala alahan makanan termasuklah :

1. ‘Angioedema’ (kebengkakan muka, bibir, lidah, di sekitar mata)
2. Kesukaran bernafas
3. Ruam kulit yang gatal termasuklah tompok-tompok merah (urticaria)
4. Rasa loya, muntah dan cirit-birit
5. Perut yang sakit dan memulas
6. ‘Colic’ (sakit perut) dikalangan bayi

Kesemua tanda ini menunjukkan reaksi alahan yang serius dan boleh mengancam nyawa. Tidak balas yang teruk ini dinamakan sebagai kejutan anafilaksis. Ini biasa dilihat dalam kes alahan membabitkan kacang, ikan dan makanan laut lain, walaupun alahan sebenarnya boleh berlaku pada sebarang jenis makanan. Mereka yang mempunyai sejarah penyakit asma, alahan semasa kanak-kanak, sejarah alahan makanan yang teruk merupakan kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat kejutan anafilaksis.

Tindak balas anafilaksis boleh berlaku dengan tiba-tiba atau mungkin bermula dengan gatal dan bengkak pada kulit serta tekak, kemudian semakin teruk dalam tempoh beberapa jam. Kebanyakan orang mengalami tindak balas ini sejurus selepas mengambil makanan tersebut.

RAWATAN

Cara terbaik mengatasi alahan makanan adalah dengan mengelakkan makanan yang mencetuskannya. Bagi kes yang telah dikenal pasti, mengelakkan pengambilan makanan pencetus alahan tersebut merupakan langkah yang paling berkesan.

Bagi kanak-kanak yang terlampau sensitif, mereka perlu menjauhi pendedahan terhadap penyebab alahan, termasuklah menyentuh atau menghidu makanan pencetus alahan termasuklah menyentuh permukaan yang terkena makanan itu, Dapatkan nasihat Pegawai Perubatan dan Pegawai Dietetik sekiranya perlu.

PENCEGAHAN

Kaedah yang paling selamat untuk mencegah alahan daripada berlaku ialah mengelakkan diri daripada mengambil makanan yang boleh menyebabkan alahan. Berhati-hati kerana alergen mungkin hadir dalam kebanyakan bahan dalam makanan harian kita. Oleh itu, ia boleh menjadi punca kepada kejadian alahan yang tidak dijangka. Berikut ialah langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan alahan makanan bagi individu yang pernah mengalaminya:

1. Sentiasa membaca kandungan yang terdapat dalam makanan pada label.

2. Apabila makan di luar, pastikan anda bertanya bahan digunakan dalam sajian yang hendak anda pesan.

3. Berunding dengan pakar pemakanan untuk merancang menu yang selamat kepada anda.

4. Dapatkan buku resipi khas untuk menu bebas alahan.

5. Beri peringatan kepada kanak-kanak yang bersekolah mengenai masalah alahan mereka dan pihak sekolah perlu dimaklumkan. Perancangan khusus perlu disediakan sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

#HealthDrZubaidi

[IKLAN]

Tingkatkan daya tahan anak anda terhadap sebarang jangkitan dengan Immuneedz. Ia tablet kunyahan Vitamin C, Vitamin D dan Zink dalam perisa laici strawberi. Sila klik pada gambar di bawah:

Leave a Reply

error: Content is protected !!