Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Ulasan Berita » Airmata Darah: Fenomena Luar Biasa

Airmata Darah: Fenomena Luar Biasa

Saya khuatir dengan sikap segelintir orang Melayu yang jahil dalam akidah, begitu mudah mempercayai khurafat. Pantang saja ada keganjilan berlaku, berbondong-bondong orang kita pergi melawat dengan penuh ketakjuban.

Apa yang lebih bahaya apabila hati mula mempercayai kononnya orang itu wali kerana keajaibannya dan meminta pelbagai permintaan kerana percaya orang itu boleh menunaikan permintaan mereka dengan ‘kuasa’ yang dia ada.

Tahun 2011 ini, saya mendapati ada beberapa keganjilan berlaku di beberapa tempat di dunia. Seharunya dijadikan iktibar supaya jika ianya berlaku di Malaysia, kita tidaklah mengikuti orang-orang jahil.

Dua kejadian ganjil berlaku di India apabila kedua-dua wanita mengeluarkan airmata bercampur darah. Sepatutnya peluh dan air mata mengeluarkan rembesan cecair yang tidak berwarna. Namun  Twinkle Dwivedi, berusia 14 tahun mengeluarkan air mata yang bercampur dengan darah semenjak beliau berumur 11 tahun.

Mulanya Twinkle dianggap penipu tetapi kes ini disahkan oleh  oleh Dr George Buchman yang telah membuat pemeriksaan dan rawatan terhadapnya. Kes yang sama dihadapi oleh Rashida yang kebetulan berasal dari negeri yang sama.

Saintis berpendapat bahawa keadaan ini dinamakan Haemolacria atau Hematidrosis yang terjadi ketika seseorang mengeluarkan air mata yang bercampur dengan darah. Fenomena ini tidak menyebabkan pesakit berasa sakit. Penyakit ini sangat jarang berlaku.

Dr. Frederick Zugibe, seorang pakar forensic dari New York berpendapat  hematidrosis adalah disebabkan oleh kesan ketakutan yang amat sangat, yang dikenali dalam istilah fisiologi sebagai fight or flight response.

Beliau menjelaskan, di sekeliling kelenjar peluh terdapat saluran darah kapilari yang banyak. Akibat dari kerunsingan dan ketakutan yang kuat, hormone adrenaline akan menyebabkan saluran darah kapilari yang berada di sekeliling kelenjar air mata akan mengecut dan mengecil.

Apabila keadaan sudah tenang, saluran darah kapilari itu akan mengembang semula menyebabkan ia pecah. Maka darah akan masuk ke dalam liang air mata. Ini mengakibatkan darah akan bercampur dengan airmata lalu keluar walaupun seseorang itu sebenarnya tidak menangis.

Fenomena ini juga boleh berlaku pada kelenjar peluh di mana seseorang itu akan berpeluh darah. Leonardo da Vinci pernah mencatatkan bahawa seorang askar berpeluhkan darah sebelum peperangan bermula, akibat ketakutan yang keterlaluan.

Dr. Zugibe juga memberikan contoh ketakutan seorang kelasi kapal apabila berhadapan dengan ribut taufan di tengah laut. Atau seorang pesalah yang menunggu masa untuk digantung sampai mati.

Pesakit boleh mengalami rasa lemah badan kerana kekurangan darah dan dehidrasi. Kulit juga akan menjadi lembut dan mudah koyak apabila ditekan.

Jadi amat berharap agar orang Melayu kita sedar bahawa segala yang berlaku sebenarnya mempunyai penjelasan saintifik kerana alam ini dijadikan mengikut sunnatullah.

Janganlah mudah terpedaya dengan keajaiban yang diwarwarkan kerana selalunya ada sebahagian kita yang akan mengambil kesempatan dari kekaguman orang ramai.

Wallahu a’lam

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (050311)

One comment

  1. Betul apa yang doktor utarakan. Insyallhah yang mantap iman tak keliru kecauli mereka yang persan dan cukup pandai dan tak mahu belajar atau perbaharui iman. w a.

Leave a Reply

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: