Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Ulasan Berita » Adenovirus 14 (Virus Selsema Pembunuh)
Adenovirus 14 (Virus Selsema Pembunuh)

Adenovirus 14 (Virus Selsema Pembunuh)

Malaysia dikejutkan dengan beberapa kes jangkitan virus yang menyebabkan kematian berlaku di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL KL). Paling baru (saya menulis pada 21 mac 2011) seorang pelatih inspektor, Mohd Redzuan Ishak, 26, meninggal dunia 4.00 pagi 17 Mac 2011 selepas tujuh hari dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana dijangkiti ‘Adenovirus’.

Ia menjadikan jumlah kematian setakat ini adalah dua orang sejak jangkitan pertama dikesan di pusat latihan utama milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu pada 4 Mac lalu.

Kematian pertama membabitkan seorang pelatih konstabel, Mohd Azizan Azirid, 21, dari Kuala Kangsar, Perak yang meninggal dunia pada 8 Mac 2011 selepas dirawat selama lima hari di unit rawatan sama.

Kematiannya berpunca dari jangkitan penyakit community acquired pneumonia oleh virus ’Adenovirus type 14’ selepas menghidap batuk, selsema dan demam untuk beberapa hari. Kemudian jangkitan kuman virus ini mengakibatkan beberapa organ yang utama dalam tubuh gagal menjalankan tugasnya (multiple organ failure).

 

Apa itu Adenovirus?

Sebenarnya virus ‘adenovirus’ ini mempunyai berpuluh-puluh jenis (serotype) yang ditandakan mengikut nombor. Ini berlaku apabila adenovirus mengalami proses mutasi di mana mereka membezakan diri mereka dengan jenis-jenis adenovirus yang lain. Oleh itu terdapat pelbagai jenis dan setiap satunya menyerang organ-organ tertentu.

Sebagai contohnya adenovirus serotype 1,2,5 dan 6 selalunya menyerang kanak-kanak dan menyebabkan wabak batuk, demam dan selsema.

Terdapat juga Adenovirus serotype  8,19 dan 37 yang menyebabkan wabak keratoconjuctivitis, iaitu penyakit merah mata. Sementara Adenovirus serotype 40 dan 41 menyebabkan wabak ceret-beret di kalangan kanak-kanak.

Adenovirus type 4 dan 7 pula menyebabkan Acute Respiratory Disease, (ARD) iaitu jangkitan kuman di paru-paru yang menyebabkan pesakit demam dan sukar bernafas.

Biasanya Adenovirus dapat dikawal dan tidak merbahaya. Selalunya pesakit akan pulih selepas satu minggu. Adenovirus menyerang kanak-kanak dan bayi kerana mereka adalah golongan yang mempunyai daya tahan yang rendah.

Orang dewasa yang mungkin berisiko tinggi ialah mereka yang mempunyai diabetes tidak terkawal, sedang menjalankan rawatan kemoterapi atau menjalani rawatan radioterapi, pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan haemodialysis  atau sedang menjalani rawatan steroid bagi penyakit radang buah pinggang atau sendi.

Dalam perkembangan terbaru, Adenovirus telah menghasilkan subtype yang baru, yang dikenali sebagai Adenovirus 14 yang menyerang orang dewasa yang muda dan sihat. Ia adalah wabak yang sering menyerang kem-kem militari atau kepolisan kerana mereka menjalani latihan fizikal yang teruk dan tinggal setempat.

Ia mula dilaporkan pada 16 November 2007, apabila terdapat beberapa kes jangkitan paru-paru (pneumonia) yang teruk dan kematian disahkan disebabkan oleh adenovirus serotype 14 di kalangan orang awam dan tentera di Amerika Syarikat.

Kajian yang dibuat menunjukkan kemunculan wabak yang disebabkan oleh Adenovirus 14 ni amat jarang, tetapi kemunculannya boleh menyebabkan jangkitan pada saluran pernafasan dan paru-paru dan akhirnya boleh menyebabkan kematian.

Virus Adeno 14 inilah yang menyerang pelatih-pelatih di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di Kuala Lumpur baru-baru ini.Selalunya pesakit mengalami demam yang sederhana selama seminggu.

Saya percaya ramai pelatih ketika itu mengalami demam yang sederhana, sakit-sakit badan, selsema dan batuk namun mereka masih terus meneruskan latihan lasak.

Faktor cuaca yang tidak menentu dan dehidrasi, tentunya memburukkan keadaan. Akhirnya mereka tidak larat lagi untuk bangun dan terpaksa dihantarkan ke hospital.

 

Apa tanda-tanda jangkitan virus ini.

Virus ini disebarkan melalui air yang keluar dari rongga mulut (droplet transmission) apabila pesakit itu bersin, batuk atau berkongsi gelas ketika minum.

Adenovirus 14 pada system saluran pernafasan akan menyebabkan pesakit mengadu ‘tidak sedap badan’, demam yang sederhana, selesema dan batuk. Jika tidak dirawat dengan betul, ia boleh menyebabkan pneumonia. Jangkitan ini terlalu cepat dan serius.

Walau bagaimana pun pesakit yang mempunyai batuk, demam dan selsema tidak semestinya menghidap jangkitan Adenovirus 14. Hanya pesakit yang mengalami batuk, demam dan selsema yang semakin teruk dan tidak berkurangan dikhuatiri mengalami jangkitan virus ini.

Kebanyakan jangkitan ini berlangsung selama beberapa hari sehingga seminggu. Ia boleh melarat menjadi pneumonia selepas 2-4 minggu.

Ia juga boleh menjangkiti mata dan menyebabkan merah (conjunctivitis). Ia juga kadang kala menyebabkan ceret beret sehingga 1-2 minggu.

Bagaimana untuk menghidari jangkitan Adenovirus 14?

Menjaga kebersihan diri adalah cara terbaik untuk menghindari wabak jangkitan ini. Antaranya ialah sering membasuh tangan, memakai penutup (mask) hidung dan mulut, banyak minum air mineral dan tinggal di rumah jika tiada keperluan di luar rumah.

Pengalaman saya bekerja di pusat kesihatan dan klinik telah melihat banyak kes demam, selesema dan batuk yang berlanjutan. Adakah kesemua mereka harus dimasukkan ke hospital?

Pada kebiasaannya doktor akan memeriksa keadaan pesakit. Saya selalu mencadangkan agar pemeriksaan darah dilakukan terutamanya pemeriksaan darah full blood count.

Dari pemeriksaan ini, dapat dipastikan sama ada pesakit mengalami jangkitan virus atau bakteria. Jika ia mengalami jangkitan bakteria, maka ubat antibiotik diperlukan. Sementara jika pesakit mengalami jangkitan virus, ubat antibiotik tidak diperlukan.

Pemeriksaan ini juga dapat menilai kepekatan platelet di mana jika kepekatan (bilangan) sel platelet ini terlalu kurang, pesakit berisiko untuk mengalami pendarahan dalaman. Ia perlu dirujukkan ke hospital untuk dimasukkan ke dalam wad dan diberikan darah yang mengandungi platelet.

Bagi pesakit yang mengalami kesukaran bernafas, pemeriksaan x ray dada juga perlu dilakukan. Pneumonia dapat dikesan di peringkat awal. Pemeriksaan darah untuk menentukan status buah pinggang dan hati juga perlu dilakukan jika pesakit kelihatan lemah kerana dibimbangi organ-organ ini mula mengalami kegagalan fungsi yang serius.

Diagnosa jangkitan Adenovirus bukanlah diagnosa klinikal. Ia adalah diagnosa makmal. Pesakit yang disyaki mengalami jangkitan Adenovirus 14 kerana keadaannya semakin kritikal dan pernah berhubungan dengan pesakit lain yang mengalami jangkitan Adenovirus 14, harus diperiksa darahnya untuk kepastian.

Antaranya dengan mengesan antigen dan antibodi, menggunakan teknik polymerase chain reaction assay dan pengasingan virus.

Pemeriksaan ini memberikan keputusan yang lebih pasti dan mengambil masa yang lebih lama, pada masa yang sama pesakit yang kritikal diberikan rawatan sokongan.

Antaranya pesakit harus diberikan cukup air, dengan meminta mereka minum air mineral untuk mengekalkan tahap hidrasi dalam tubuh. Masalah ceret beret boleh diatasi dengan memberikan ORS yang dicampurkan dengan air. ORS mengandungi mineral yang membantu mengatasi dehidrasi. Bagi dehifrasi yang teruk air saline dimasukkan melalui teknik intravenous.

Jika dia mengalami sukar bernafas akibat banyak lender, pesakit boleh mengamalkan steam-inhalation untuk melonggarkan kahak dan lendir di tekak dan belakang hidung.

Nasihat saya jangan mengambil sebarangan ubat dari farmasi. Ada kalanya ubat batuk menyebabkan batuk pesakit semakin teruk. Ubat paracetamol atau acetaminophen boleh diberikan untuk meredakan demam.

 

Bila harus mendapat rawatan lanjut

Kebanyakan jangkitan adenovirus selalunya tidak merbahaya dan akan beransur sembuh. Namun bagi jangkitan adenovirus 14, pesakit akan menjadi bertambah teruk. Pesakit tidak lagi berdaya untuk bangun, tidak ada selera untuk makan, muntah, sakit perut, ceret beret, mata bertambah merah dan mengalami demam yang semakin teruk.

Oleh itu mereka harus dibawa ke hospital untuk dimasukkan ke hospital, terutama kanak-kanak berumur 3 tahun ke bawah, warga tua yang berumur 60 tahun ke atas, pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan haemodialysis, pesakit kanser yang menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi.

Wallahu a’lam.

 

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (230311)

5 comments

  1. zahidah zainal

    terima kasih atas maklumat yang amat berguna. kami berharap agar dr. akan terus menulis demi kebaikan bersama. Maklumat2 yang dr. kemukakan amat bermanfaat dan dapat kami kongsi untuk panduan.

  2. sahrudin sulong

    maklumat yang diberikan oleh doktor amat berguna dan boleh dimanafaatkan oleh semua masyarakat. langkah pencegahan dan kawalan dapat dilaksanakan dari punca dan tanda tanda aduan yang didapati. Terima kasih banyak dan harap doktor akan terus menulis dan menyalurkan maklumat terkini yang amat berguna.

  3. terima kasih byk info ni. Sangat berguna selepas anak saya disahkan kena jangkitan virus ini.

  4. sekarang,wabak tu sedang menyerang di tempat sya..tapi di tahap cluster lagilah…cume kematian semakin meningkat..kdg2 takut nak balik umah..takut menjangkit pada anak2 sya plak…

  5. norjihan binti mohd rawi

    Anak kawan saya umur lebih kurang 2 thn demam dan diberitahu jangkitan virus adenovirus.. hampir sebulan dia demam, skrg di icu hospital melaka.. platlet darah pula semakin brkurangan.. what are your suggestions? Any explainations about it…. please doktor helps us….

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top
error: Content is protected !!