Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Bayi/Kanak-kanak » Adakah BPA Selamat Pada Bayi Kita?

Adakah BPA Selamat Pada Bayi Kita?

Assalamualaikum, doktor.  Maaf mengganggu. Apa pendapat doktor tentang penggunaan botol yang mengandungi BPA. Bagaimana kita mahu menganalpasti botol itu mengandungi BPA atau tidak?”

Soalan ini amat mengujakan saya. Saya rasa mahu menjawab segera.

Saya percaya ramai ibu-ibu muda yang masih alpa akan kesan buruk bahan-bahan kimia yang terdapat pada produk-produk yang selalu digunakan. Padahal kesan bahan-bahan kimia ini amat besar ke atas generasi kita yang akan datang.

Tentunya kita tidak menyangka bahawa dalam botol plastik susu anak kita mengandungi sejenis unsur kimia yang bahaya. Ini juga salah satu fakta yang menggalakkan penyusuan ibu kerana botol plastik susu bayi sekarang semakin tidak selamat.

Bisphenol A (BPA) adalah unsur bahan utama bagi pembentukan botol plastik polycarbonate. Ia digunakan kerana tahan lebih lama, berwarna jernih dan tahan haba. Selain digunakan untuk membuat botol plastik, ia juga digunakan dengan meluas dalam pembuatan barangan mainan kanak-kanak.

Oleh kerana BPA adalah unsur kimia yang tidak stabil, ia boleh terurai keluar dari botol susu bayi apabila ia dipanaskan berulangkali, atau membasuh botol dengan air panas atau memakai botol yang sama pada waktu yang lama.

Walaupun masih belum ada kajian yang terperinci mengenai kesan BPA terhadap kesihatan manusia, namun banyak kajian telah membuktikan bahawa BPA telah memberikan kesan negatif pada kesihatan haiwan yang diuji.

Dos (µg/kg/day) Kesan pada haiwan ( tikus dalam makmal) yang diuji
0.025 Kerosakan kekal pada saluran kencing
0.025 Perubahan dalam tisu payudara yang membawa kepada kanser payudara
1 Risiko yang tinggi untuk mendapat kerosakan ‘kesuburan’ dan menjadi kanser pada sistem pembiakan.
2 Menambahkan berat kelenjar prostate sebanyak 30%
2 Mempercepatkan akhil baligh dan merangsangkan kemahuan mencari pasangan hidup dan menikmati seksual
2.4 Mengurangkan hormone testosterone pada tikus jantan
2.5 Meningkatkan risiko kanser payudara
10 Sel prostate lebih berisiko menjadi kanser.
10 Mengurangkan sifat keibuan
30 Menukarkan kelakuan dan sifat jantina dalam otak eg lelaki bersifat seperti perempuan, perempuan bersifat seperti lelaki
50 Merosakkan saraf
50 Menyebabkan tiada telur ova yang dihasilkan dari kelenjar ovari

 

Ini membuktikan bahawa kesannya terhadap kesihatan masih besar. Ada sesetengah ahli saintis mengatakan haiwan yang diuji mempunyai kadar perkumuhan lebih perlahan berbanding dengan kadar perkumuhan manusia yang pantas lalu menyebabkan perkumpulan luar biasa sisa BPA terhadap tubuh haiwan itu. Namun saya menolak hujah ini.

Mungkin golongan saintis ini terlupa bahawa bayi dan kanak-kanak juga mempunyai kadar perkumuhan yang rendah. Mereka sangat mudah mendapat kesan buruk BPA kerana banyak organ perkumuhan mereka (buah pinggang) yang belum matang. Pengumpulan bahan sisa BPA tentunya memberikan kesan yang negatif.

Satu kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat pada 2009, telah mengesan  secara purata sebanyak 2.8 ng/mL BPA dalam darah yang diambil pada 9 dari 10 talipusat bayi yang baru dilahirkan.

Di Malaysia, satu kajian yang dilakukan oleh Universiti Malaya menunjukkan terdapat bukti penghuraian BPA dari botol susu ke dalam susu yang diminum oleh bayi. Sehingga 2010 sebanyak 159 sampel botol susu dianalisa dan didapati 85 peratus dikesan mengandungi sisa BPA dalam julat 0.1 hingga 0.7 mg/kg.

Kajian itu juga memberitahu kadar penghuraian ini berlaku sebanyak tujuh kali ganda pada suhu lapan puluh darjah selcius, berbanding pada suhu bilik 25 darjah selsius. (Harian Metro, 15 Mac 2011)

Pada tahun 2009, Journal Environmental Health Perspectives 117 (11): 1639–1643, Gary Ginsberg dan Deborah C. Rice, menulis dalam artikel bertajuk “Does Rapid Metabolism Ensure Negligible Risk from Bisphenol A?” memberitahu satu kajian yang dijalankan pada rakyat Austrian, Swiss dan Jerman, botol susu bayi yang diperbuat dari polycarbonate yang mengandungi BPA  adalah sumber utama pendedahan bahan itu kepada kanak-kanak.

Satu laporan yang diterbitkan di TIME Magazine pula, bertajuk “The Perils of Plastic” memberitahu BPA terdapat dalam 93% air kencing wanita Amerika yang diuji. Ini sesuatu yang memeranjatkan kerana sisa BPA bukanlah unsur semulajadi dalam tubuh kita. Ia menggambarkan betapa kroniknya masalah ini.

Struktur BPA menyerupai hormon semulajadi estrogen. Bayangkan jika terlalu banyak pengumpulan sisa BPA yang menyerupai fungsi estrogen. Ini akan memberikan kesan negatif pada tubuh bayi, kerana mengganggu keseimbangan hormone yang diperlukan bagi pertumbuhan fizikal.

Ia juga telah menyebabkan perkembangan yang tidak normal bagi perkembangan jantina. Kanak-kanak lelaki akan mempunyai lebih sifat ’perempuan’ kerana sistem hormon lelaki yang terganggu sementara kanak-kanak perempuan pula akan cepat mencapai akhil baligh dan mempunyai perasaan untuk cepat mencari pasangan dan menikmati seks..

BPA juga dikaitkan dengan risiko yang tinggi bagi penyakit kanser payudara, ovari dan prostate. Ia juga dikatakan menyumbang faktor bagi penyakit Attention Hyperactivity Disorder (ADHD) yang menyebabkan kanak-kanak menjadi terlalu aktif.

Apabila memanaskan makanan dari bekas makanan yang diperbuat daripada plastik polycarbonate dan meminum air dari botol yang diperbuat dari BPA, ibu yang hamil telah mendedahkan janin yag dikandungnya kepada BPA.

Oleh kerana terlalu banyak kesan negatif BPA kepada kesihatan dan kesejahteraan manusia, pada October 2009, sekumpulan 33 saintis yang telah mengkaji BPA menghantar surat kepada badan yang mengawal ubat dan makanan di Amerika Syarikat (FDA US) mengatakan bahawa kerajaan Amerika Syarikat tidak perlu membuangkan duit dan masa lagi dengan mengkaji BPA, kerana kesan negatifnya telah nyata dan BPA harus diharamkan.

Sebanyak lebih 900 kajian telah dijalankan dan diterbitkan dalam jurnal dan sekurang-kurangnya 80 peratus daripadanya menyatakan BPA menyebabkan kemudaratan kepada kesihatan manusia.

Jadi apa pilihan yang kita ada untuk menjaga kesihatan anak kita? Cara terbaik ialah dengan menyusukan anak dengan susu ibu secara terus. Bagi ibu yang bekerja, amalan menyimpan susu ibu dalam botol plastik juga mendedahkan bayi pada kesan negatif BPA.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengharamkan penjualan botol susu yang mengandungi BPA pada 1 Mac 2012 dan dilakukan secara berperingkat. Ini selaras dengan peraturan 27 Akta Makanan 1985 yang mengharamkan penggunaan bungkusan berbahaya dalam industri makanan.

Oleh itu sehingga tarikh itu, penjualan botol susu yang mengandungi BPA masih berada di pasaran. Nasihat saya jika terpaksa menyusukan bayi dengan susu formula, elakkanlah menggunakan botol plastik. Pilih botol susu bayi yang diperbuat dari kaca.

Jika terpaksa juga mencari botol plastic, pilihlah botol yang tidak diperbuat dari plastik polycarbonate BPA. Lihat pada label ‘kitar semula’ yang tertera di bawah botol susu. Kebanyakan polycarbonate plastic dilabelkan dengan nombor “7” dalam label ‘kitar semula’ itu.

Tanda ‘recycle’ berbentuk segitiga dan mempunyai tiga anak panah yang mengelilingi suatu nombor. Secara amnya plastik yang ditandakan dengan nombor 1,2,4,5, dan 6 tidak mengandungi BPA. Manakala yang ditandakan dengan nombor 3 dan 7 mengandugi BPA.

Apabila menggunakan botol susu plastik, cuba elakkan dari membasuh botol menggunakan air panas atau sabun berulang kali. Cukup dengan membasuh dengan air paip yang mengalir.

Wanita yang hamil seharusnya mengurangkan memakan makanan yang telah ditinkan, meminum air dari botol plastik, atau memakan makanan terus dari bekas plastik. Bekas kaca dan aluminium adalah yang paling selamat.

Wallahu a’lam.

 

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (180311)

15 comments

  1. Thanks Doc atas penerangan di atas. mohon share dlm blog saya untuk peringatan saya dan rakan2 yang lain.

  2. as salam doc…..
    sy nk tnye…botol susu yg der tulis EP-9 boleh di gunakan ke tidak?
    dan ape makna EP-9 tu?

  3. sgt berguna thanks doc

  4. Doc, menurut perenggan terakhir teks Doc… “Wanita hamil perlu kurangkan makanan/minuman dari botol plastin, tin dan yg diperbuat dari bekas plastik”… apa maksud Doc tentang “makanan yang diperbuat dari bekas plastik”? ada ke makanan yg diperbuat dari plastik??
    ini menakutkan

    • Sebetulnya Dr Zubaidi maksudkan ‘memakan makanan terus dari bekas plastik’ atau ‘memakan makanan yang disimpan di dalam bekas plastik’. Ayat ini telah pun dibaiki. Terima kasih di atas teguran puan.

  5. mazlifah mohamed johar

    thanks Doc atas penerangan yg diberi…

  6. tq doc for the explaination. Saya nak tanya pendapat doc tentang ada botol susu berjenama terkenal yg dilabelkan ‘BPA Free’ tetapi label recycle bernombor 7

    • Berdasarkan petikan dari Buletin Pengguna KPDNHEP, label recycle bernombor 7 mewakili ‘lain-lain'(other) plastik. Di mana kebanyakan “botol plastik yang mengandungi BPA selalunya mempunyai nombor 7”. Jika pengeluar botol tersebut menyatakan ia ‘BPA Free’ maka kemungkinan bahan yang digunakan adalah ‘lain-lain’ jenis plastik selain BPA. Ada baiknya puan dapatkan kepastian dari pengeluar atau pembekal botol susu berkenaan. Wallahu’alam

  7. Article yg sangat menarik & yg paling penting berguna. Saya minta izin utk share di facebook ye 🙂

  8. salam, bagaimana nak kenalpasti botol susu yg mengandungi BPA?

  9. NORSHAHIDA MOHD NIR

    maklumat yang sangat berguna n boleh dipraktikalkan.. tpi musykil 1 hal, kalu dah tahu bpa(polycarbonate) tak elok untuk kesihatan ank kiter, kenapa nak tunggu sampai 2012 baru nak stopkan pengeluarannya..bagi ibu bapa yang alert oklar,tapi ibu2 yang tinggl di kawasan pedalamn camner?

  10. Thanks doc! Info yg sgt membantu.. Mohon share..

  11. mohon share kat blog sy ye dr….

  12. adakah botol berjenama seperti avent philips,mum adalah selamt penggunaannya..?

  13. cuba doc tgok dkt website ne —>> http://www.bisphenol-a.org/about/index.html

    musykil sy

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top
error: Content is protected !!