Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Bayi/Kanak-kanak » Acanthosis Nigricans: Bukan Setakat Daki di Kulit

Acanthosis Nigricans: Bukan Setakat Daki di Kulit

Masalah kegemukan di kalangan kanak-kanak telah menjadi isu yang sering diperkatakan dalam komuniti perubatan. Ini kerana kegemukan mereka bukan setakat masalah kosmetik dan penampilan fizikal kanak-kanak itu atau saiz baju yang mereka yang terpaksa ditempah. Ia boleh menjadi lebih parah daripada itu kerana mampu menyebabkan penyakit kronik dalam jangka masa yang panjang.

”Doktor, cuba doktor nasihatkan anak saya ini. Baru darjah tiga beratnya sudah 45kg!”

Keluh seorang ibu yang saiz badannya juga agak gempal meminta saya menasihatkan anaknya. Katanya, ayam dan telur ayam menjadi kegemaran si anak. Tidak aktif dan suka duduk di rumah.

Tiada apa yang boleh saya nasihatkan kanak-kanak berumur 9 tahun itu. Dia tidak akan faham mengapa ibunya melarang dia makan ayam gorang yang menjadi kegemarannya itu. Lebih baik saya menasihati ibunya cara pemakanan yang sihat.  Makan makanan yang mempunyai serat yang banyak.

Saya memang sudah ’tak larat’ untuk berceramah kepada pesakit-pesakit saya tentang pemakanan yang betul. Kebanyakan mereka telah tepu dengan maklumat sebegini. Yang kurang ialah pengamalan. Ia memerlukan kekuatan azam dan kesungguhan untuk merubah keadaan. Perlukah saya menarik telinga mereka yang enggan mengikuti nasihat saya?

”Cuba doktor tengok daki di lehernya. Tebal dan berdanu” tambah ibunya lagi.

“Puas saya sental leher dia, tapi tak hilang juga”

‘Danu’ adalah istilah Johor untuk menggambar sesuatu yang amat kotor dan hitam. Saya melihat sekali lagi, memastikan apakah yang dimaksudkan daki dan danu di leher kanak-kanak itu. Masya Allah, ini bukan daki biasa.

Ia adalah Acanthosis nigricans (AN), iaitu keadaan kulit yang gelap dan tebal selalunya berada di bahagian tengkuk dan leher, ketiak dan bahagian-bahagian badan yang berlipat yang lain seperti di siku, lutut mata jari (knuckles), dan bahagian sebelah dalam peha (groin area).

“Bukan daki? Merbahaya ke doctor?”

Acanthosis Nigricans bukanlah daki yang boleh ditanggalkan dengan mudah. Ia juga bukan masalah kulit yang biasa. Kehadiran Acanthosis Nigricans pada seorang kanak-kanak yang gemuk bermakna kanak-kanak itu sedang mengalami masalah biokimia yang serius dalam dirinya.

Selalunya kanak-kanak itu obese dan mengalami insulin resistance, iaitu hormone insulin tidak dapat bertindak secara efektif. Glukos tidak dapat ditukarkan kepada tenaga. Maka lebih banyak insulin dikeluarkan sehingga kepekatan hormone insulin dalam darah terlalu tinggi. Keadaan inilah yang dinamakan hyperinsulinaemia.

 

Malangnya insulin resistance dan hyperinsulinaemia, akan menyebabkan penyakit kronik seperti hypertension, dyslipidemia, diabetes dan coronary heart disease.

“Maknanya anak saya dah ada kencing manis ke?”

Kanak-kanak itu tidak mengalami diabetes buat masa ini. Cuma kebarangkailian untuk menghidap diabetes lebih tinggi daripada kawan-kawannya yang lain apabila dewasa kelak.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), Amerika Syarikat telah membenarkan doctor menggunakan masalah kulit  Acanthosis Nigricans sebagai suatu tanda saringan bagi menunjukkan seseorang itu mempunyai kepekatan insulin yang tinggi dalam darah. Namun ianya tidak boleh digunakan sebagai tanda sesorang itu mengalami diabetes.

“Kena makan apa-apa ubat ke?”

Tidak ada ubat untuk mengatasi masalah ini. Doktor akan memeriksa berat badan kanak-kanak itu, menguji tahap gula dan menguji tahap hormone insulin ketika berpuasa. Ujian ini membantu doktor menilai kanak-kanak ini sama ada sudah mulai memasuki fasa prediabetic atau masih lagi normal.

Malah jika kanak-kanak itu telah disahkan mengalami diabetes melalui ujian Oral Glucose Test (OGT), kanak-kanak itu harus dirawat segera. Cara yang terbaik merawat keadaan ini ialah dengan mengurangkan berat badan.

Pemakanan yang sihat dan senaman akan membantu seorang kanak-kanak menurunkan berat badannya. Insulin resistance akan respon kepada usaha mengurangkan berat badan ini dan keadaan kembali normal apabila kanak-kanak itu telah mencapai berat yang normal. Masalah kulit acanthosis nigricans juga akan beransur-ansur hilang.

Wallahu a’lam

 

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (100111)

3 comments

  1. As-salam Doc….
    Kalu org dewasa menghadapi mslh cmni, bagaimana cara untuk menyelesaikannya… Kaedah rawatan ke…

  2. saya ada penyakit ni dan saya bukanlah obese.ada doktor sarankan saya kurangkan pengambilan protein kecuali ikan dan daging lembu.alhamdilliah semakin berkurang tetapi masih ade lagi.saya harap ada ubat untuk rawat penyakit ni

  3. saya pun nak tau ade tak sebarang krim utk menghilangkn kesan hitam tersebut dan dimanakah krim tersebut boleh diambil?

Leave a Reply

Scroll To Top
error: Content is protected !!
%d bloggers like this: