Hukum ‘home birth’ atau beranak di rumah

baby
1. Amalan beranak dirumah atau ‘home birth’ pada zaman dahulu merupakan adat kebiasaan masyarakat yang lazim berdasarkan kemahiran semasa mereka seperti perbuatan bertani, bercucuk-tanam dan seumpamanya.

Hukumnya ialah harus pada zaman dahulu kerana ia termasuk dalam perkara yang disebut dalam hadith Rafi’ bin Khadij al-Ansori RA bahawa Rasulullah salallahualaihiwassalam bersabda  ”Kamu lebih mengetahui tentang urusan dunia kamu semua.” [Riwayat Muslim]

 

Justeru untung-rugi adalah berdasarkan rezeki Allah yang ber’asbab’kan kepada kemahiran dan teknologi zaman tersebut.

 

Oleh itu risiko kematian ibu bersalin, bayi lemas memang tidak dapat dielakkan pada zaman tersebut dan diterima sebagai takdir Allah seperti penyakit taun, tibi, buasir, dirrehea, demam kepialu, dan lain-lain.

 

Namun pada zaman hari ini risiko tersebut sudah tidak wujud lagi atas faktor teknologi, perkembangan ilmu perubatan dan sebagainya. Maka menolak kebaikan teknologi dan menjerumuskan diri kepada bahaya dan risiko kematian akibat bersalin dirumah tanpa ilmu yang mencukupi dan kemudahan perubatan adalah Haram serta termasuk perbuatan derhaka kepada Allah dan kufur kepada nikmat-Nya.

 

Hadith menyebut :    “Tidak boleh mendedahkan diri kepada mudharat dan melakukan kemudharatan.” [Riwayat Malik, Ibn Majah dll]

 

Kaedah ini bertepatan dengan amalan salaf yang menyebut barangsiapa yang berpuasa sedangkan dia tidak mampu lalu mati maka dia seolah-olah telah membunuh dirinya.

2. Perbuatan beranak dirumah pada hari ini adalah harus dengan syarat memiliki pengetahuan asas yang penting bagi mengelakkan risiko bahaya, mempunyai kelengkapan yang mencukupi. Tetapi sebaik-baiknya ialah menghantar isteri atau ibu mengandung ke hospital kerana hal ini bertepatan dengan Firman Allah SWT;  “Bertanyalah kepada ahli ilmu jika engkau tidak tahu.” [An-Nahl: 43].  

Iaitu merujuk sesuatu urusan kepada pakar dan ahlinya, bukan tunjuk pandai atau menjadi ruwaibidhah dalam bidang perubatan.

 

Dan kata Ali bin Abi Thalib RA, ‘Hanya keldai yang menolak layanan yang baik.’ (Riwayat Said bin Mansur dalam Sunannya). Para salaf RA, jika hidup pada hari ini pun akan ke hospital atau beranak dengan ada orang yang pakar mengendalikannya.

3. Alasan tidak mahu beranak dihospital kerana isu aurat, isu doktor lelaki merawat isteri boleh diatasi dan lebih ringan mudharatnya berbanding maslahat nyawa. Bahkan mempercayai kononnya beranak dirumah adalah lebih beragama kerana mencontohi Maryam AS adalah tidak benar. Ini kerana kejadian yang berlaku dizaman dahulu adalah sesuai dengan keadaan umatnya.
4. Hujah saya dah beranak 3 orang dirumah dan suami saya menyambut bayi saya tanpa ada masalah bukanlah hujah untuk semua. Faktor kesihatan setiap orang tidak sama, masalah kesihatan yang dihidapi setiap orang adalah berbeza dan Islam tidak pukul rata melayani semua manusia. Bahkan dalam hadith yang sahih, Rasulullah salallahualaihiwassalam pernah ditanya amalan apakah yang paling utama dan baginda menjawab dengan jawapan yang berbeza bagi setiap orang.

 

Justeru menetapkan kepercayaan bahawa saya ‘OK’ maka orang lain pun mesti ‘OK’ adalah tidak wajar dan silap.

Akhir kata, Baginda salallahualaihiwassalam pernah bersabda ;   ‘Permudahkan dan jangan persusahkan.’ [Riwayat al-Bukhari]

 

Islam ini agama yang mudah, jangan menyusahkan diri dalam hal yang tak disuruh oleh agama.

 

WA

Dipetik dari:

Leave a Reply

error: Content is protected !!