Demam Ketika Dalam Pantang Bersalin

Ramai yang menyangkakan bahawa demam ketika dalam tempoh pantang selepas melahirkan anak adalah proses fisiologi yang biasa. Saya dapati ramai yang hanya membeli ubat panadol di farmasi dan tidak datang untuk melakukan pemeriksaan sehinggalah mereka benar-benar mengalami rasa sakit pada bahagian-bahagian tertentu atau mengalami demam yang terlalu tinggi.

Demam dalam ‘tempoh pantang’ ini adakalanya merbahaya jika ia adalah sebahagian kesan komplikasi proses melahirkan anak. Di bandar-bandar besar di mana kemudahan kesihatan mudah didapati, selalunya wanita yang demam sebegini dapat dirawat segera.

Namun bagi wanita yang tinggal di kawasan pedalaman dan jauh dari kemudahan kesihatan, demam sebegini boleh membawa maut.

Demam dan rasa sakit ini selalunya disebabkan oleh jangkitan kuman yang boleh berlaku ketika proses kelahiran sama ada kelahiran normal melalui faraj (vaginal delivery) atau secara pembedahan Cesarean. Ia juga boleh berlaku di sepanjang tempoh menyusukan anak.

“Saya pernah mengalami luka yang lambat baik di kawasan faraj selepas melahirkan anak kedua saya. Saya mengalami demam yang teruk dan kemaluan saya mengeluarkan lendiran yang busuk. Kenapa saya boleh mengalami luka di situ, doktor?”

Walaupun proses kelahiran bayi adalah proses fisiologi yang normal, namun tidak semua wanita dipermudahkan ketika menjalani proses kelahiran. Jadi kecederaan fizikal boleh berlaku, dan selalunya berlaku koyakan di sepanjang saluran kelahiran bayi, sama ada di pangkal rahem (cervix) atau di faraj terutama apabila bayi yang dilahirkan bersaiz lebih besar dari yang dijangka.

Sesetengah wanita mempunyai luka dari kecederaan itu yang tidak dapat disembuhkan dengan sendirinya kerana selepas kelahiran, banyak perubahan fisiologi yang membantutkan proses penyembuhan ini.

“Doktor saya hairan mengapa pihak hospital tidak mampu mengesan masalah ini ketika di hospital. Sekarang isteri saya sudah tiga hari demam dan menggigil. Ini kecuaian pihak hospital..”

Saya cuba mengimbau semula pengalaman saya bekerja di wad bersalin di sebuah hospital awam di selatan tanah air.

Seingat saya ketika itu, setiap hari terdapat antara 30-50 wanita yang melahirkan anak di wad itu sehari, terutama di wad tiga. Dalam jumlah yang sebegitu ramai, kemudahan katil untuk digunakan semula oleh wanita yang melahirkan anak keesokan harinya amat tinggi. Selalunya wad akan penuh.

Jadi mereka dibenarkan pulang ke rumah jika tidak mempunyai apa-apa komplikasi kelahiran yang nyata. Selepas bahagian abdomen dan faraj dipastikan tiada kapas atau jarum yang tertinggal, dan bayi yang dilahirkan telah kencing dan buang air besar, para ibu akan dibenarkan pulang untuk berehat di rumah.

Malangnya kebanyakan wanita yang mengalami jangkitan kuman selalunya mengalami demam, merasa sakit pada bahagian tertentu selepas dibenarkan keluar dari hospital.

Oleh itu selalunya kebanyakan jangkitan kuman hanya dapat dikesan selepas seorang wanita itu berehat di rumah. Dalam satu kajian yang dilakukan di UK, mendapati 94% dari kes jangkitan kuman ini didiagnosa selepas wanita dibenarkan keluar dari hospital.

Dalam hal ini saya tidak merasakan ini suatu kecuaian pihak hospital. Lainlah jika wanita itu mempunyai demam tinggi semasa di wad dan dibenarkan pulang ke rumah tanpa rawatan.

“Doktor, kalau saya demam selepas sebulan melahirkan anak saya. Adakah ia bermakna bahawa saya mengalami demam akibat komplikasi melahirkan anak?”

Demam ketika pantang (Postpartum Fever) didefinasikan sebagai suhu badan yang melebihi 38.0°C pada sekurang-kurangnya 2 hari dalam masa 10 hari selepas melahirkan bayi. Demam sebegini biasanya berlaku dalam dalam masa 24 jam ketika berehat di rumah.

Jadi demam yang melebihi waktu itu selalunya disebabkan oleh masalah lain, berkemungkinan besar tidak ada kaitan dengan proses kelahiran.

“Jadi bagaimana saya boleh tahu demam yang saya alami disebabkan oleh komplikasi kelahiran?”

Selalunya jangkitan kuman disebabkan oleh luka pada saluran sistem peranakan, sama ada di dalam rahem, pangkal rahem (cervix), faraj dan kulit sekitarnya.

Jangkitan kuman pada lapisan endometrium dalam rahem (endometritis) selalunya menyebabkan sakit di bahagian abdomen dan bahagian ari-ari yang semakin hari semakin kuat. Ia jarang berlaku tetapi boleh berlaku apabila terdapat sisa uri yang tertinggal dalam rahem.

Dalam hal ini, selain demam dan sakit di bahagian abdomen, wanita ini juga mengeluarkan darah nifas yang berketul-ketul, berbau busuk dan tidak kering walaupun mendekati tempoh tamat nifas.

Jangkitan kuman jarang berlaku pada luka di bahagian pangkal rahem (cervix), kerana selalunya pendarahan yang terlalu banyak selepas melahirkan anak membuatkan doktor segera merawat koyakan dan luka itu dengan menjahitnya.

Jangkitan kuman biasa juga boleh berlaku pada luka pada faraj akibat kecederaan fizikal yang banyak semasa proses kelahiran. Walaupun telah dijahit dan diberikan antibiotik, oleh kerana luka di kawasan ini agak lembap, maka proses penyembuhan agak lambat dan mudah terdedah pada jangkitan kuman.

Pesakit biasanya mengadu mengalami rasa sakit di kawasan itu dan ada kalanya melarat di kawasan ari-ari di samping mengeluarkan lendiran dan darah nifas yang busuk.

Kecederaan fizikal dan koyak juga boleh berlaku pada lubang pembukaan air kencing (external meatus). Selain itu jangkitan kuman di kawasan faraj boleh merebak ke pundi kencing dan menyebabkan jangkitan kuman di situ. Oleh itu jika mengalami rasa sakit ketika membuang air kencing, rasa kerap mahu ke tandas dan rasa tidak puas membuang air kencing, ada kemungkinan pundi kencing telah dijangkiti kuman.

Bagi wanita yang menjalani pembedahan caserean untuk melahirkan anak, biasanya demam disebabkan oleh jangkitan kuman pada luka pembedahan caserean. Selalunya luka pada jahitan caserean menjadi sakit, merah dan mengeluarkan nanah selepas beberapa minggu jika tidak dirawat.

Bagi wanita yang menyusukan bayi, masalah utama yang dihadapi ialah jangkitan kuman pada payudara menyebabkan payudara rasa sakit, bengkak dan tanda kemerahan pada payudara. Inilah juga punca demam bagi wanita yang baru melahirkan anak.

Sebab-sebab lain bagi demam ialah jangkitan pada paru-paru akibat komplikasi bius general anesthesia, dan jangkitan kuman pada saluran darah vena yang dicucuk untuk diberikan IV drips.

Oleh itu saya sentiasa menasihatkan wanita yang baru melahirkan anak agar banyakkan rehat, minum air secukupnya dan jaga pemakanan.

Sebarang tanda ketidakselesaan pada tubuh dan rasa demam haruslah segera berjumpa dengan doktor agar punca demam dapat dikesan segera dan diberikan rawatan yang bersesuaian.

Sebagai memudahkan perbincangan ini, bagi wanita yang baru melahirkan anak, segeralah berjumpa doktor untuk pemeriksaan jika mengalami demam dan mempunyai tanda-tanda seperti berikut:

  1. Sakit di bahagian tepi dan belakang. Rasa sakit dan kerap ketika membuang air kecil.
  2. Rasa sakit, bengkak dan merah pada tempat dicucuk untuk IV drips.
  3. Batuk, sakit dada dan sukar bernafas (ada kemungkinan mengalami jangkitan kuman di paru-paru)
  4. Rasa demam dan menggigil
  5. Sakit di bahagian abdomen dan di bahagian ari-ari.
  6. Mengeluarkan lendiran dan darah nifas (lochia) yang berbau busuk
  7. Payudara bengkak dan sakit
  8. Demam yang teruk bersama muntah dan tidak boleh makan dan minum.
  9. Demam beserta sakit kepala yang berterusan bersama dengan pemandangan yang semakin terjejas.

Wallahu a’lam.

Klik sini untuk mempercepatkan pengecutan rahim dan menambah tenaga selepas bersalin

Susunan : Dr Zubaidi Hj Ahmad (020112)

[IKLAN]

Bagi wanita yang mengalami masalah kitaran haid yang tidak menentu, dan bagi wanita yang baru melahirkan anak, saya mencadangkan suplemen , selain dari vitamin C dan E. Boleh dapatkan produk Kacip Fatimah keluaran UTM di http://needsvenue.com.my

Bagi individu yang mengalami kekeringan kulit, terutamanya eczema saya mencadangkan cream Labicea Revitalizing Moisturizer. Info lanjut di https://www.facebook.com/Labicea-Revitalizing-Moisturizer-486696818067490/

Untuk pembelian menggunakan kad kredit sila klik di bawah:

Warisan tradisi silam kini dalam tangan anda

One comment

  1. Salam Dr, sy melahirkn anak melalui pembedahan, tiada drh nifas dari sehingga hari ke18. Bila drh mula turun pada hari ke 19, sy mengalami sakit seperti senggugut yg teruk dan demam sehingga kini [hari ke 21). Namun demam kebah dan sy mula berpeluh2 dgn byk slps mengambil panadol. Adakh demam ini merbahaya?

Leave a Reply

error: Content is protected !!