Advertorial
Home » Koleksi Artikel » Umum » Khasiat Durian Belanda Masih Diperdebatkan
Khasiat Durian Belanda Masih Diperdebatkan

Khasiat Durian Belanda Masih Diperdebatkan

Saya diminta untuk memberikan pandangan terhadap kebaikan buah durian belanda. Bukan niat saya untuk memperkecilkan kebaikan buah ini, apatah lagi jika ada pihak dari Jabatan Pertanian yang ingin mempromosi buah ini. Namun biarlah kebaikan-kebaikan buah ini diberitahu berdasarkan fakta yang benar.

Saya akan berikan pandangan berdasarkan pengamatan saya terhadap kajian-kajian yang telah dibuat. Terserah pada pembaca sama ada untuk menerimanya atau menolaknya. Semoga kita selamat dari sekumpulan manusia yang suka mengambil kesempatan di atas kealpaaan kita.

Saya ucapkan terima kasih atas pertanyaan rakan FB saya.

Doktor, saya mendapat tahu dari seorang rakan bahawa buah durian belanda mempunyai khasiat untuk merawat penyakit kanser?

Awak dah beli ke produk buah durian belanda itu?”

Belum lagi doktor. Harga produk itu mahal sebab buatan luar negeri. Lagi pun saya ingat nak makan buah itu saja, tak payah beli produk sebab belakang rumah orang tua saya ada kebun durian belanda. Sedap kalau dibuat jus durian belanda.

Saya tersenyum.

Durian belanda dikenali sebagai Soursop atau dalam bahasa botaninya ialah  Annona muricata. Ia juga dikenali sebagai Graviola.

Kebanyakan kebaikan buah durian belanda dikaji oleh saintis dalam aliran rawatan komplimentari, bukannya oleh saintis perubatan moden allopati yang diamalkan oleh doktor-doktor di hospital. Jadi terdapat kelemahan ujikaji yang saya perhatikan, dan menjadi tanda tanya sama ada ia layak diiktiraf sebagai ujikaji yang layak dipanggil “clinical trial”.

Saya membaca satu artikel yang diterbitkan oleh Africa Journal of Traditional, Complementary and Alternative Medicines 2009 bertajuk “Protective Effects of Annona Muricata Linn. (Annonaceae) Leaf Aqueous Extract on Serum Lipid Profiles and Oxidative Stress in Hepatocytes of Streptozotocin-Treated Diabetic Rats” oleh Stephen O Adewole and John A O Ojewole dari Department of Pharmacology, University of KwaZulu-Natal, South Africa.

(rujuk : Afr J Tradit Complement Altern Med. 2009; 6(1): 30–41).

Dalam kajian yang dilakukan, tikus makmal telah disuntik dengan streptozotocin yang menjadikan tikus-tikus itu mempunyai kandungan gula yang tinggi dalam darah (ini akan menjadikan tikus-tikus itu seperti diabetik).

Setelah menjadi diabetik, setiap hari tikus-tikus ini disuntik dengan ektrak durian belanda selama empat minggu dan perbandingan dibuat.

Di akhir ujian ini mereka membuktikan bahawa tikus-tikus diabetik yang disuntik dengan ekstrak durian belanda mempunyai kandungan gula yang normal. Dengan itu mereka menganggap bahawa ekstrak itu boleh membantu tubuh merendahkan kandungan gula dalam darah.

Dalam ujikaji itu juga menunjukkan ekstrak durian belanda mampu mengawal kandungan kolestrol dengan mengurangkan LDL, TG dan meningkatkan HDL pada tikus yang dirawat.

Apa yang harus diperhatikan di sini ialah ujian ini hanya dilakukan ke atas tikus-tikus makmal, bukannya pada pesakit-pesakit diabetik. Sudah tentu ekstrak durian belanda ini mempunyai kesan yang berbeza pada pesakit diabetis dibandingkan tikus-tikus yang disuntik untuk menjadi diabetik.

Dalam kajian yang dilakukan oleh saintis-saintis lain, mendapati diabetes mellitus adalah satu penyakit endocrine dan metabolic di mana kandungan gula yang tinggi akan menyebabkan pembentukan partikel radikal bebas yang banyak.

Partikel radikal bebas yang banyak ini meningkatkan aktiviti enzyme fatty acyl coenzyme-A oxidase dan menggganggu metabolism lemak dan mengakibatkan tahap lemak triglycerides (TG) dan lemak density rendah lipoprotein (LDL) akan meningkat dan mengurangkan lemak density tinggi lipoprotein (HDL). Akhirnya akan menyebabkan premature atherosclerosis, iaitu penyumbatan pada saluran darah di dinding jantung dan menyebabkan kematian.

Dalam kajian ini, saintis yang terlibat sendiri mengaku tidak tahu bagaimana menerangkan ekstrak durian belanda dapat merendahkan kandungan gula dan kolestrole dalam tikus-tikus yang dirawat.

Mereka hanya menyimpulkan bahawa ekstrak durian belanda mempunyai beberapa bahan biokimia yang bermanfaat pada manusia seperti coumarins, flavonoids dan triterpenoids, yang mempunyai sifat antidiabetik dan antioksidan.

Saya berpendapat banyak lagi kajian yang khusus harus dilakukan bagi membuktikan kegunaan durian belanda kepada manusia.

Apa yang menarik perhatian saya ialah ekstrak yang digunakan dalam ujikaji ini , bukannya dari buah durian belanda yang sedap itu, tetapi dari daunnya. Ini bermakna, jika kajian ini betul, khasiat durian belanda lebih pada daunnya dan bukan buahnya.

Saya lebih rela memakan buah durian belanda dari daunnya yang pahit”, kata rakan selepas saya memberikan penerangan.

Senyuman saya terus melebar.

Bagaimana pula dakwaan ia boleh membunuh kuman bakteria dan parasit?  Bolehkah kalau demam atau bisul saya telan saja daun durian belanda?”

Saya hampir ketawa mendengar soalan nakal. ‘Telan daun durian belanda kalau demam dan bisul’.. Agak melucukan.

Terdapat satu ujikaji yang dilakukan oleh dua orang pengkaji aliran perubatan komplimentari dari US, bernama Dr Lana Dvorkin-Camiel dan Dr Julia S. Whelan. Mereka membuat kajian mengenai ekstrak durian belanda dalam rawatan jangkitan kuman. Sekali lagi ekstrak itu diambil dari daun, bukannya buah durian belanda.

Dalam Journal of Dietary Supplement yang diterbitkan pada tahun 2008 mengatakan beberapa kajian telah dilakukan pada haiwan makmal dan membuktikan bahawa ekstrak durian belanda mampu membunuh beberapa kuman bakteria dan parasit.

Antara parasite yang dapat dimatikan ialah Leishmania braziliensis, Leishmania panamensis, Nippostrongylus braziliensis, Artemia salina dan Trichomonas vaginalis. Ia juga dikatakan mampu membunuh virus Herpes simplex.

Namun kejayaan ujikaji ini tidak berjaya diulang oleh saintis lain yang melakukan ujikaji yang sama. Oleh itu banyak ujikaji harus dilakukan bagi membuktikan ketulenan penemuan ini.

“Bagaimana dengan kebolehan membunuh sel-sel kanser. Tak sangka durian belanda boleh mengubati penyakit kanser?”

Saya senyum lagi mendengarkan soalan provokasi itu.

‘Wah hebat juga durian belanda. Bagus juga kalau semua pesakit kanser disuruh makan daun durian belanda. Tak perlu kerajaan membelanjakan jutaan ringit untuk rawatan kemoterapi bagi mereka.’

Fikiran saya ikut nakal. Kalau betul pun durian belanda mengandungi bahan antioxidant yang mampu membunuh sel-sel kanser, ia hanya sesuai untuk mencegah penyakit kanser, bukan sebagai rawatan.

Saya mengibaratkan kelajuan penyakit kanser ibarat kereta lumba Formula One (sangat agresif) sementara kelajuan durian belanda ibarat menunggang basikal (sangat perlahan) untuk mendapatkan khasiatnya. Ia tidak setanding untuk dijadikan ubat rawatan penyakit kanser.

Dalam kajian yang dilakukan oleh saintis Taiwan, ekstrak durian belanda yang dihasilkan dari biji benih dan daun pokok itu, didapati dapat mengawal perkembangan sel kanser yang diuji dalam tabung uji (in vitro). Ia belum dibuktikan keberkesanannya pada pesakit-pesakit kanser. Jadi penemuan ini masih diperingkat kajian dan seharusnya tidak dihebahkan kepada masyarakat umum.

(rujuk : “Journal of Natural Products”: New Cytotoxic Monotetrahydrofuran Annonaceous Acetogenins From Annona Muricata; C.C. Liaw, et al.; April 2002)

Jadi macam mana doktor? Durian belanda ini ada manfaat tak?”

“Cuba kamu lihat kajian ini semua menggunakan ekstrak dari daun dan batang, bukannya dari buah durian belanda..”

Dia tercengang dan berfikir-fikir. Saya biarkan dia terus berfikir.

“Saya lebih suka menikmati durian belanda dari berbelanja besar membeli produk itu mengharapkan kebaikan ekstrak durian belanda yang masih di peringkat kajian..”

“Bila kamu mahu ajak saya ke rumah emak kamu makan buah durian belanda?”

Dia akhirnya tersenyum dan faham maksud hujah saya.

Wallahu a’lam.

 

Susunan: Dr Zubaidi Hj Ahmad (170811)

 

Rujukan

  1. Allain C C, Poon L S, Chon C S G, Richmond W, Fu P C. “Enzymatic determination of total serum cholesterol”Clin Chem. 1974;20:470–475.
  2. Bailey C J, Day C. “Traditional plant medicines as treatment for diabetes.” Diabetes Care.1989;12:553–564.
  3. Baynes J W. “Role of oxidative stress in development of complications in diabetes”. Diabetes.1991;40:405–412.
  4. “Journal of Dietary Supplements”; Tropical American Plants in the Treatment of Infectious Diseases; Lana Dvorkin-Camiel and Julia S. Whelan; December 2008
  5. “African Journal of Traditional, Complementary and Alternative Medicines”; Anti-hyperglycemic Activities of Annona Muricata (Linn); D.O. Adeyemi, et al.; October 2008
  6. Journal of Natural Products “New Cytotoxic Monotetrahydrofuran Annonaceous Acetogenins From Annona Muricata” C.C. Liaw, et al.; April 2002

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

Scroll To Top